JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengesyorkan semua buku berunsurkan agama disemak pihak berautoriti sebelum diterbitkan bagi memastikan kandungannya tepat dan terpelihara daripada sebarang kesilapan yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, saranan itu dibuat susulan kontroversi membabitkan kesilapan kandungan dalam sebuah buku agama yang ditulis seorang pempengaruh.
Beliau berkata, JAKIM menyokong penuh kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan yang menegaskan bahawa penerbit perlu memelihara kesucian Islam, selain memastikan semua buku agama disemak pihak berautoriti bagi mengesahkan kesahihan kandungannya sebelum diterbitkan.
“Setiap penulis perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kandungan buku yang dihasilkan.
“Pada masa sama, setiap penerbit yang menerbitkan buku berunsurkan agama perlu melantik pasukan pakar serta kakitangan berkelulusan pengajian Islam untuk membuat semakan secara dalaman terhadap semua kandungan agama sebelum diterbitkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sirajuddin berkata, JAKIM turut mengesyorkan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia supaya sentiasa mengingatkan semua penerbit agar lebih cermat dan berhati-hati dalam menerbitkan buku yang mengandungi teks al-Quran serta hadis.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan ketepatan fakta dan memelihara kesucian sumber utama ajaran Islam.
Katanya, JAKIM bersama pihak berkuasa agama Islam negeri sentiasa bersedia memberikan panduan serta bimbingan kepada semua penerbit yang menerbitkan bahan bacaan berunsurkan agama.
“Kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan kandungan buku agama yang diterbitkan adalah sahih, tepat dan tidak mengelirukan masyarakat,” katanya.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

