Tambang percuma LRT3, bas pengantara sebulan mulai esok – Anwar

Izzat Nasuruden
Izzat Nasuruden
Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

Dari Penulis

ORANG ramai boleh menikmati perkhidmatan percuma Laluan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam selama sebulan bermula esok hingga 31 Julai ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif itu turut membabitkan perkhidmatan bas pengantara kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) di sepanjang Laluan Shah Alam.

Beliau berkata, langkah itu diambil bagi menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam, sekali gus mengurangkan kesesakan lalu lintas di antara laluan paling sibuk di negara ini.

“Bermula 29 Jun sehingga 31 Julai, tambang bagi perkhidmatan Laluan Shah Alam serta bas pengantara di sepanjang laluan ini diberikan secara percuma selama sebulan.

“Kenapa laluan ini? Kerana ia antara laluan paling sesak di negara kita. Apabila berlaku kesesakan, ia memberi beban yang sangat besar kepada rakyat,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran LRT3 Laluan Shah Alam di Depoh LRT Johan Setia, hari ini.

Terdahulu, Anwar menaiki tren LRT3 dari Stesen Seri Andalas ke Stesen Johan Setia yang mengambil masa kira-kira 15 minit sebelum menyempurnakan pelancaran laluan berkenaan.

Hadir sama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Turut hadir Pengerusi Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Tan Sri Mohd Nasir Ahmad, serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Amir Hamdan.

Projek LRT3 Laluan Shah Alam yang menelan kos RM16.63 bilion merupakan antara pelaburan strategik kerajaan bagi memperkukuh infrastruktur pengangkutan awam negara.

Sebelum ini, Prasarana memaklumkan Laluan Shah Alam disokong 40 bas pengantara yang beroperasi di 323 hentian menerusi 13 laluan khusus, dengan tambang RM1 dari jam 6 pagi hingga 11.30 malam.

Selain itu, perkhidmatan Rapid On-Demand turut disediakan menggunakan 44 van merangkumi 20 zon pada kadar tambang RM2, dengan waktu operasi dari jam 6 pagi hingga 11.30 malam.

Semua stesen di Laluan Shah Alam turut dilengkapi kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU), termasuk tanjakan kerusi roda, tandas khas OKU dan tempat duduk khas di setiap gerabak.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Kes buli MRSM: Empat disingkirkan, dua lagi digantung

EMPAT disingkirkan manakala dua lagi pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Johor digantung persekolahan selepas terbabit kes buli. Perkara...

More Articles Like This