Konsert Barbarik Pentas Peluru Cokelat bakal uji adrenalin secara total!

Dari Penulis

SEMPENA kelahiran album sulung Peluru Cokelat pada 9 November tahun lalu, Barbarik bakal muncul dengan konsert yang diberi nama Barbarik Pentas Peluru Cokelat pada 28 Jun depan, 8.30 malam di Zepp Kuala Lumpur.

Meskipun band yang dianggotai oleh Muss (vokalis), JoBranko (gitar), Rozaimi (bass) dan Ainol (dram) baru berusia tiga tahun, namun mereka telah sukses dengan empat buah konsert sebelum ini iaitu BARBARIK PENTAS KERAS 1.0 (2022), DOUBLE TROUBLE 2: SEARCH X BARBARIK (2023), BERBARIK PENTAS KERAS 2.0 (2023) dan BARBARIK PENTAS KERAS 3.0 (2024).

Namun uniknya, konsert kali ini adalah buat julung kalinya, mereka akan mendendangkan barisan lagu daripada album mereka sendiri.

“Jika sebelum ini kami mendendangkan lagu-lagu ketika Muss bersama Wings iaitu dalam enam buah album, tetapi kali ini ada buah tangan baharu yang menampilkan identiti Barbarik sendiri.

“Setiap konsert pasti mempunyai perbezaan dan terdapat elemen kejutan pada pembukaan, pertengahan dan penutup konsert. Kami memberi jaminan kepada semua peminat, konsert ini bakal menguji adrenalin anda secara total dari mula hingga akhir.

“Konsert akan berlangsung selama dua jam dan kami akan mendendangkan sekitar 20 buah lagu, termasuk lagu lama dan juga lagu baharu.

“Apa yang boleh kami janjikan adalah sebuah persembahan yang membuatkan penonton tidak berganjak walau sedikit pun,” kata JoBranko.

Konsert itu dibawakan oleh KARRI TALK PRODUCTION dengan penganjur bersama oleh PENTAS BARBARIK SDN. BHD.

INFORMASI

ACARA: BARBARIK PENTAS PELURU COKELAT 

LOKASI: ZEPP KUALA LUMPUR

TARIKH: 28 JUN 2025 (SABTU)

MASA: 8.30 MALAM

PENGANJUR: KARRI TALK PRODUCTION & PENTAS BARBARIK SDN BHD.

HARGA TIKET: CAT 1 FREE STANDING (RM150), CAT 2 VVIP SEATING (RM380), CAT 3 VIP SEATING (RM280) dan VIP BOX (RM8,000)

PEMBELIAN: ilassotickets.com

ALBUM PELURU COKELAT

Berbicara tentang  album sulung Peluru Cokelat, Barbarik yang membawa semangat muzik rock era 1980-an dan 1990-an itu menjelaskan, album berkenaan adalah tanda serius mereka dalam industri muzik.

Walaupun hakikatnya band berkenaan terhasil daripada konsert BARBARIK PENTAS KERAS 1.0 pada 24 Disember 2022. Tujuan konsert tersebut diadakan bagi mengubati kerinduan peminat tegar untuk melihat gandingan antara JoBranko dengan Muss yang mana mereka pernah bergandingan bersama kumpulan Wings dalam enam buah album dari tahun 1996 hingga 2000. 

Mereka melaksanakan hutang yang tertunggak kepada peminat kerana Muss tidak sempat menyanyikan walau sebuah lagu pun di dalam album Mr. Barbarik  secara langsung kerana Muss tinggalkan Wings tidak lama selepas album Mr. Barbarik dilancarkan pada tahun 2000.

“Tujuan kami menghasilkan album PELURU COKELAT adalah untuk menandakan bahawa kami serius sebagai sebuah band. Bukan sekadar sebuah projek band atau mengambil kesempatan atas sejarah kami.

“Dengan ada material baharu, kami dapat bergerak dan menyusun strategi dengan lebih kemas untuk terus berada dalam radar muzik mainstream tempatan. Jika peminat mendengar album PELURU COKELAT mereka akan tahu inilah identiti band BARBARIK,” jelas JoBranko.

Album PELURU COKELAT  yang dirakam pada Mac 2024 menjalani tempoh rakaman selama enam bulan dan menghasilkan sebanyak tujuh buah lagu iaitu Peluru Cokelat, Golok Kayu (featuring Karl Cromok), Didakap Pesona, Kasmaran Selamanya, Nasib Baik, Marcapada, Gelap Nan Terang (instrumental) dan Didakap Pesona (radio edit).

Lagu PELURU COKELAT ciptaan JoBranko dan lirik oleh penulis lirik prolifik Nasir Jani dipilih sebagai tema keseluruhan dan menjadi judul album sulung BARBARIK kerana ‘zeit geist’ atau cerminan dekad ini, terkait konflik di bumi Palestin.

Kesemua lagu adalah hasil ciptaan JoBranko, manakala barisan penulis lirik terdiri daripada Nasir Jani, Muss, Bambino, Nuar Botak dan Jo Branko sendiri. Sementara, itu proses mastering dilakukan di Benchmark Mastering oleh Don Bartley di Brisbane Australia.

Album ini juga menampilkan dua orang pemuzik undangan iaitu gitaris ternama Karl Cromok dan pemain keyboard Adi Yamin.

ALBUM 4 FORMAT

Menariknya, band BARBARIK sanggup melakukan ‘kerja gila’ apabila melancarkan album PELURU COKELAT dengan empat buah format iaitu tiga format fizikal (cakera padat, piring hitam dan kad USB) sementara album digital melalui hantaran emel.

“Kami cuba beradaptasi dengan teknologi melalui pemasaran album secara digital, tetapi ramai daripada kalangan peminat kami adalah ‘collector’ dan permintaan terhadap album fizikal memang sangat memberansangkan.

“Jika diikutkan memang kami buat kerja gila, mana ada lagi penyanyi yang keluarkan album fizikal pada zaman ini. Tetapi kami mendengar permintaan peminat yang masih mahukan album fizikal dan bagi saya sendiri album fizikal ada nostalgia yang tersendiri,” kata JoBranko.

Buat peminat yang ingin mendapatkan album BARBARIK PELURU COKELAT boleh dapatkan di laman web dan aplikasi Shopee menerusi akaun rasmi iaitu Pentas  Barbarik Store.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Fajar Noor buka lembaran baharu, Sementara, Selamanya jadi manifestasi kematangan emosi

SETELAH sekian lama dinanti, penyanyi yang sinonim dengan naskhah muzik yang menyentuh jiwa, Fajar Noor akhirnya kembali mengubat rindu...

More Articles Like This