STATUS sebagai pengantin baharu nyata membawa warna tersendiri dalam kehidupan pelakon dan penyanyi Erra Fazira apabila dia dan suaminya, Ezwan Zain, mula menerima tawaran kerja bersama sejak mendirikan rumah tangga pada 12 Disember tahun lalu.
Bagaimanapun, Erra menegaskan perjalanan kerjayanya masih berjalan seperti biasa, cuma terdapat pihak tertentu yang mahu melihat mereka tampil bersama di lapangan kerja.
Menurut Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 52, permintaan itu dipercayai hadir kerana aura pasangan pengantin baharu yang masih dirasai.
“Tugasan kerja saya berjalan seperti biasa, cuma kadang-kadang ada permintaan untuk bersama suami.
“Setakat ini saya rasa jemputan kerja untuk kami berdua kerana aura pengantin baharu itu masih ada lagi.
“Saya rasa tiada masalah kerana suami juga faham cara kerja saya,” katanya kepada URTV.
Pada masa sama, Erra meluahkan rasa terharu apabila dipilih sebagai selebriti jemputan sempena pelancaran premis pertama Cluck’n Cone yang berlangsung di Jalan Changkat, Bukit Bintang, Kuala Lumpur, pada Jumaat.
Pelakon filem Sembilu itu percaya seri sebagai pasangan pengantin baharu menjadi antara faktor mereka menerima perhatian dan tawaran kerjasama daripada pelbagai pihak.
“Mungkin mereka mahukan vibes pengantin baharu, jadi mereka mahu kami berdua.
“Banyak juga permintaan untuk kami bekerjasama. Syaratnya kena dua-dua bersetuju tanpa paksaan. Jika ia memberi manfaat, rasanya tak salah,” ujarnya.
Sementara itu, Erra melihat penglibatan dalam promosi produk sebagai satu bentuk sokongan terhadap perniagaan tempatan, khususnya jenama Bumiputera.
Tambahnya, selagi tawaran yang diterima membawa kebaikan dan dipersetujui bersama, dia tidak mempunyai sebarang halangan untuk terus bekerjasama dengan suami.
“Saya rasa bertanggungjawab juga untuk memberi sokongan kepada perniagaan produk lokal.
“Kalau kita lihat nama restoran ini, ia nampak macam jenama antarabangsa, tetapi siapa sangka ia produk tempatan.
“Alhamdulillah, ini juga perniagaan Bumiputera. Saya bertanya dengan suami dan dia okay saja. Disebabkan itu kami memberi kerjasama,” katanya.
Untuk rekod, Cluck’n Cone merupakan jenama Malaysia milik seratus peratus Muslim yang mengetengahkan konsep grab-and-go dengan menawarkan ayam goreng dalam bentuk kon.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

