Di sebalik gemerlapan dunia seni, tahun 2025 menjadi saksi kepada ikatan suci perkahwinan selebriti tanah air.
Detik bahagia ini bukan sekadar meraikan cinta, sebaliknya mengangkat nilai kesetiaan, pengorbanan dan doa yang mengiringi sebuah permulaan baharu.
Setiap lafaz akad yang disempurnakan bukan sekadar menyatukan dua insan, sebaliknya menjadi permulaan baharu kepada sebuah perjalanan hidup yang penuh ujian, pengorbanan dan kasih sayang.
WANNA ALI

Pelakon Wanna Ali memilih Khairul Amri Khalid sebagai teman hidupnya pada 9 Februari 2025 dalam sebuah majlis pernikahan yang berlangsung di Petaling Jaya.
Wanna atau Norsyazwana Mohd Ali, 28, dinikahkan Ustaz Abdul Salam Mahmud dengan berwalikan bapanya, Mohd Ali.
Wanna yang juga anak penerbit filem dan drama, Datuk Ayu Puteh menerima mas kahwin 10 dinar emas serta sebentuk cincin daripada suaminya.
EZAIDI AZIZ

Pelakon Ezaidi Aziz bergelar suami kepada Wan Afeeqah Wan Azmi pada 8 Februari 2025 di Shah Alam.
Pada majlis pernikahan itu, Ezaidi menyerahkan mas kahwin bernilai RM300 beserta tujuh dulang hantaran dan berbalas tujuh daripada pihak perempuan. Sementara wang hantaran sebanyak RM15,000.
FIKRY IBRAHIM

Dalam diam-diam, rupanay pengacara dan pelakon Fikry Ibrahim sudah selamat bernikah dengan wanita bernama Khalizah Alihan di Jitra, Kedah pada 12 Februari 2025.
Majlis yang berlangsung tertutup itu bagaimanapun mula disedari umum selepas dikongsikan oleh tetamu yang hadir ke hari bahagia mereka.
SYAFIQ KYLE & MIMI LANA

Pasangan selebriti Syafiq Kyle dan Mimi Lana disatukan sebagai suami isteri di sebuah premis acara di Taiping, Perak pada 14 Februari 2025.
Hubungan mereka melalui onak dan duri apabila sebelum ini pernah membatalkan pernikahan seminggu sebelum majlis yang sepatutnya berlangsung pada 18 Ogos 2023.
SITI SALEHA

Tiga tahun bergelar janda, akhirnya pada 15 Februari 2025, pelakon Siti Saleha kembali bergelar isteri kepada pereka fesyen, Joshua Fitton.
Majlis pernikahan mereka itu berlangsung di sebuah resort di Janda Baik, Pahang.
Untuk info, Siti Saleha pernah berkahwin dengan Ahmad Lutfi Azhar pada 28 Julai 2017 sebelum bercerai pada 2022.
ATIQ AZMAN

Pelakon Atiq Azman, 25, selamat bernikah dengan wanita pilihannya juga seorang pramugari dikenali, Alia Natasha dalam majlis yang berlangsung di Seremban, Negeri Sembilan, malam tadi.
Terdahulu, Atiq dan Alia mengikat pertunangan pada 26 Oktober tahun lalu dan dalam tempoh empat bulan, mereka membuat keputusan melangkah ke fasa mendirikan rumah tangga.
NAUFAL AZRIN

Penyanyi lagu Casablanca, Naufal Azrin menamatkan zaman bujang bersama wanita pilihannya yang juga seorang guru, Fatin Farhanah Fauzi pada 31 Ogos 2025.
Naufal atau nama sebenarnya Ahmad Naufal Azrin,26, sah bergelar suami dengan tiga kali lafaz dan menyerahkan mas kahwin berjumlah RM7,000 serta seutas gelang emas buat isterinya.
Terdahulu, pasangan ini mengikat tali pertunangan pada Februari lalu selepas menjalin hubungan cinta selama tujuh tahun.
NEERA AZIZI

Pelakon Neera Azizi memilih seorang mutawif dikenali sebagai Hafizi sebagai teman hidupnya pada 11 Julai 2025.
Neera menerima seutas gelang emas dan cincin sebagai mas kahwin serta wang hantaran RM20,000.
Untuk rekod, pasangan ini sbeelum itu bertunang pada Oktober 2024 selepas setahun mengenali hati budi masing-masing.
QI RAZALI

Pelakon filem Babah, Qi Razali, 48, selamat bernikah dengan wanita pilihannya dikenali Wardah, 30, yang merupakan seorang jurusolek pada 25 Mei 2025.
Majlis pernikahan itu berlangsung di Gopeng, Perak.
Qi atau nama sebenarnya Qushairi Mohammed Razali Wong menyerahkan mas kahwin sebanyak RM101.00 kepada isterinya, manakala jumlah hantaran dirahsiakan.
JACLYN VICTOR

Penyanyi Jaclyn Victor mendedahkan sudah kembali menggalas status isteri kepada lelaki pilihan, Calvin T Samuel pada 25 Mei 2025.
Menurut Jaclyn, keputusan untuk tidak mengumumkan perkahwinan bersama paderi, Calvin T Samuel disebabkan statusnya sebagai ibu tunggal dan faktor usia.
Untuk info, Jaclyn sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi Amerika Syarikat (AS), Shawn Rivera pada 2014.
Namun, perkahwinan mereka berakhir pada 2019. Mereka dikurniakan dua cahaya mata, iaitu Jonah, 10, dan Molly,
SUFIAN SUHAIMI

Penyanyi, Sufian Suhaimi, 33, selamat melangsungkan pernikahan dengan pilihan hatinya, Rania Al Sadat, 25, dalam sebuah majlis akad nikah yang berlangsung secara tertutup di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada 2 Mei 2025.
Pasangan itu dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan sendiri, Syaraff Al Sadat, dengan mas kahwin satu dinar emas serta tiga dulang hantaran berbalas lima, termasuk sebentuk cincin dan gelang buat Rania.
Mereka mula berkenalan sejak 2022 dan mengikat tali pertunangan pada awal Februari 2025.
Namun, sekitar April 2024, mereka pernah putus tunang sebelum cinta kembali terjalin awal Januari 2025.
EYKA FARHANA

Pelakon Eyka Farhana selamat bergelar isteri dengan sekali lafaz kepada pemain bola sepak kebangsaan dan Terengganu FC , Akhyar Rashid.
Majlis pernikahan mereka berlangsung di Ampang pada 2 Mei 2025.
Eyka menerima mas kahwin sebanyak RM3,200.
Pasangan itu bertunang pada 4 Ogos tahun lalu selepas lima tahun menjalin hubungan cinta.
SABRONZO DOLLA

Anggota kumpula Dolla iaitu Sabronzo menamatkan zaman solo dengan DJ Dash Berlin pada September 2025.
Bagaimanapun, tarikh sebenar mereka bernikah sehingga kini tidak didedahkan kepada umum.
Majlis resepsi mereka diraikan di sebuah pantai peranginan di Bali, Indonesia
MAS KHAN

Pelakon Mas Khan, 31, sah bergelar suami kepada wanita pilihannya iaitu Anatasha Diana dengan sekali lafaz pada 25 Mei 2025.
Pasangan berkenaan dinikahkan bapa pengantin perempuan iaitu Abdul Aziz Abd Mutalib.
Mas Khan menyerahkan mas berkahwin berjumlah RM1,497 selain RM20,000 sebagai wang hantaran dan seutas gelang emas kepada Anatasha pada acara penuh bahagia itu.
Majlis pernikahan berlangsung di Gombak, Selangor itu dihadiri ahli keluarga serta teman rapat.
SHARIFAH SAKINAH

Pelakon Sharifah Sakinah bertemu jodoh dengan lelaki Perancis iaitu Cyril Congo.
Berita itu dikongsikan sendiri Sakinah pada 14 April 2025 dan mendedahkan sudah bernikah dengan jejaka tersebut seminggu sebelum pendedahannya itu.
Ini merupakan perkahwinan ketiga Sakinah selepas dua kali gagal menerusi pernikahan sebelum ini.
Untuk rekod, Sakinah pernah bernikah dengan Aliff Adha pada 2015 sebelum bercerai pada 2020.
Menerusi perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang zuriat perempuan iaitu Anais Adha.
Setahun bergelar janda, Sakinah kembali bergelar isteri kepada lelaki berasal dari Sweden yang dikenali sebagai Michael Hansen pada 2021.
Bagaimanapun, rumah tanggannya tidak bertahan lama dan memilih perceraian selepas dua tahun bersama.
SISSY IMANN

Penyanyi Sissy Imann, 30, selamat diijabkabulkan dengan pilihan hatinya, Dr. Zamir Hilman Dr Hamzah, 41, dalam majlis akad nikaH di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada 12 Disember 2025.
Pasangan berkenaan dinikahkan sendiri oleh bapa Sissy iaitu Mohammad Kamil Mustaffa, disaksikan ahli keluarga terdekat serta rakan rapat.
Sissy menerima seutas gelang emas bernilai RM6,840 sebagai mas kahwin.
Perkenalan mereka bermula tidak sengaja selepas Sissy mendapatkan rawatan di sebuah pusat perubatan di mana Dr Zamir bekerja pada awal tahun ini.
FATTAH AMIN & AMIRA OTHMAN

Pasangan selebriti, Fattah Amin, 35, selamat bernikah sekali gus bergelar suami kepada penyanyi, Amira Othman, 32, pada 14 September 2025.
Pasangan itu dinikahkan oleh jurunikah iaitu bekas mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri mewakili bapa pengantin perempuan, Othman Abdul Kadir.
Untuk rekod, Fattah pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Nur Fazura pada 27 November 2017 sebelum sah bercerai talak satu pada 7 Oktober tahun lalu.
Hasil perkahwinan itu, Fattah dikurniakan seorang anak perempuan, Nur Fatima Aisya yang kini berusia lima tahun.
ERRA FAZIRA

Dua tahun berkenalan, primadona filem Melayu, Erra Fazira, 51, sah bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Mohamad Ezwan Mohamad Zain, 44, dengan sekali lafaz pada 12 Disember 2025.
Pada majlis yang berlangsung di Kampung Melayu Subang, Shah Alam itu, Ezwan menyerahkan mas kahwin berjumlah 24 dinar emas yang digubah menjadi sepohon pokok bunga emas kepada Erra.
Sebelum ini, Erra pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon dan vokalis KRU, Datuk Yusry Abdul Halim, namun, bercerai pada 2006 selepas tiga tahun berkahwin.
Erra kemudian berkahwin dengan Engku Emran Engku Zainal Abidin pada 2007 dan dikurniakan seorang anak perempuan, Engku Aleesya,16, sebelum berpisah pada 2014.
Ezwan pula sudah lapan tahun bergelar duda dan mempunyai seorang cahaya mata perempuan yang juga berusia 16 tahun.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

