Kisah Rasulullah s.a.w. mengajar sahabat doa melangsaikan hutang

Dari Penulis

Menurut satu riwayat yang masyhur daripada Abu Daud bahawa telah berkata Abu Said al-Khudri r.a. pada suatu hari Baginda Rasulullah s.a.w. masuk ke masjid di Madinah al-Munawwarah, lalu terpandang oleh Baginda seorang sahabat daripada kaum Ansar yang bernama Abu Umamah.

Sahabat Baginda itu sedang termenung dengan seraut wajah yang mencerminkan kesedihan dan kedukaan. Baginda s.a.w. yang terkenal dengan sikap prihatin terhadap para sahabat dan umatnya bertanya kepada Abu Umamah,

“Apakah yang membuatkan engkau berada di masjid pada waktu begini, (ketika bukan waktu solat) wahai Abu Umamah?

Abu Umamah menjawab, “Aku sedang bingung kerana terlalu banyak hutang wahai Rasulullah”

Kemudian Rasulullah bertanya lagi, “Sukakah engkau sekiranya aku ajarkan satu doa yang dapat melangsaikan hutang-hutangmu dan melenyapkan duka dan kesedihanmu?”

Abu Umamah berkata, “Tentulah aku suka ya Rasulullah”

“Bacalah setiap pagi dan petang bacaan ini” kata Baginda s.a.w.

Lantas Baginda s.a.w. mengajarkan kepada Abu Umamah doa tersebut yang bermaksud,

“Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung kepada Mu daripada kesusahan dan kesedihan. Aku berlindung kepada Mu daripada kelemahan dan kemalasan. Aku berlindung kepada Mu daripada sifat pengecut dan bakhil dan aku berlindung kepada Mu daripada beban hutan dan kekerasan manusia”

Kemudian Abu Umamah berkata,

“Doa tersebut aku amalkan dan akhirnya Allah menyelesaikan segala hutang-hutangku. Begitu juga kesusahanku”

Kisah ini sangat menarik untuk kita jadikan iktibar dan pengajaran bagi menghadapi kehidupan seharian. Lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang, di mana kita sering menghadapi berbagai-bagai cubaan yang berpunca daripada permasalahan ekonomi dan kewangan.

Dunia, baik hari ini mahupun pada zaman Rasulullah s.a.w. tidak dapat lari daripada unsur-unsur yang bersifat material. Sesiapa yang mempunyai tanggapan bahawa wang tidak penting mungkin tersalah tafsir terhadap realiti kehidupan, maka hakikatnya kisah yang menimpa sahabat Rasulullah ini ditakdirkan berlaku oleh Allah sebagai pengajaran untuk umat yang mendatang.

Pengajaran hadis

Pengajaran pertama dan terpenting sekali daripada hadis ini ialah Rasulullah s.a.w. tidak mengajar kita untuk meminta-minta kepada sesama manusia. Kisah ini menunjukkan bahawa betapa Rasulullah s.a.w. seorang insan mulia yang amat prihatin kepada masalah para sahabat.

Baginda tidak terus membuka pintu baitulmal semata-mata untuk membantu Abu Umamah dan Baginda juga tidak menyarankan Abu Umamah untuk meminta-minta daripada sahabat-sahabat lain yang lebih kaya.

Malah Baginda juga tidak menyuruh Abu Umamah untuk membentang tikar sejadah atau serban di pintu masuk masjid semata-mata untuk meminta sedekah daripada orang lain yang mengunjungi masjid tersebut.

Akan tetapi Rasulullah s.a.w. mengajar Abu Umamah dan seluruh umat Baginda untuk terus mengadu kepada Allah tentang kesusahan dan kemelut kehidupan yang melanda. Ini berbeza sama sekali dengan sikap kita yang suka bergantung harap kepada selain dari Allah untuk memberi kebajikan kepada kita dalam menghadapi cabaran yang seumpama.

Pengajaran kedua yang harus kita pelajari ialah, kita perlu berusaha untuk mendapatkan sesuatu dan bukan berpeluk tubuh dan mengharapkan kepada kebajikan dan pemberian orang. Ini amat jelas dicerminkan dalam hadis ini di mana Rasulullah bertanya kepada sahabatnya apa yang dibuatnya di masjid sedangkan ketika itu bukan waktu solat.

Ini adalah satu perkara yang menarik sekali dalam hadis ini. Kenapa Rasulullah begitu hairan melihat seorang berada di masjid di luar waktu solat? Tidakkah masjid tempat yang mulia untuk kita duduk di dalamnya? Tidakkah Baginda Rasulullah sukakan orang yang beribadat dan sentiasa duduk di masjid?

Persoalan ini terjawab melalui doa ini di mana Rasulullah juga menyuruh kita berdoa dan berlindung dengan Allah daripada sifat kelemahan dan kemalasan. Ternyata daripada kisah yang penuh hikmah ini, bahawa Rasulullah tidak suka umat yang lemah dan bersikap malas. 

Pelajaran ketiga pula adalah berkaitan dengan sikap mengambil dan menguruskan risiko dengan baik dan berkesan. Mungkin inilah yang dimaksudkan dengan kalimah aku berlindung dengan Allah dari sifat pengecut dan bakhil dalam doa tersebut.

Seseorang yang pengecut tidak mungkin akan berani mengambil risiko, dan sekaligus mendorong kepada sifat bakhil. Ini terjadi kerana seorang yang pengecut akan hanya mementingkan kepentingan sendiri semata-mata dan lantaran itu akan mencetus sifat kebakhilan.

Seterusnya pengajaran keempat daripada hadis ini mungkin ada kaitannya dengan anjuran untuk kita menguruskan hal ehwal kewangan kita dengan bijaksana supaya kita tidak menjadi mangsa hutang dan kekerasan manusia.

Menarik sekali untuk kita renung di sini bahawa masalah hutang bukan baharu di dunia ini. Ia bukan sahaja masalah pada hari ini, malah ia juga telah berlaku sejak di zaman Nabi lagi. Kita perlu yakin melalui doa dan kalimah ini bahawasanya Allah akan memberi kita ilmu dan kebijaksanaan untuk menguruskan kewangan agar kita tidak terjerumus dalam kancah hutang yang membebankan.

Di samping itu kita juga perlu mencari dan mempelajari ilmu pengurusan kewangan dengan sebaik mungkin. Apa yang perlu kita capai ialah kemerdekaan kewangan. Sekiranya kita merdeka dari segi kewangan, kitab bebas untuk membuat keputusan dan pilihan dalam hidup kita, dan kita juga tidak mudah tunduk dan dipengaruhi oleh perintah orang lain yang mungkin tidak sejajar dengan iltizam dan matlamat hidup kita.

Seharusnya apabila kita dapat menghayati pengajaran daripada hadis ini maka kita dapat mengamalnya dengan lebih khusyuk dan tawaduk untuk mendapat rahmat dan perkenan. Hanya Allah jualah yang Maha Mengetahui segalanya. Wallahu a’lam 

_________________________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Syarahan Perdana Tokoh Maal Hijrah 1448H Beri Fokus Kepada Mesej Keamanan & Peradaban Kontemporari

PERISTIWA Maal Hijrah tidak seharusnya dibiarkan berlalu sekadar penceritaan lipatan sejarah dan sambutan tahunan semata-mata, sebaliknya ia perlu diangkat...

More Articles Like This