PERKATAAN menopaus – berhenti datang bulan, membawa maksud ngeri dalam bab-bab akhir kamus kehidupan wanita. Kadangkala, bukan kerana menopaus itu sendiri yang mendatangkan resah gelisah amat kepada wanita, sebaliknya gejala yang mengiringi menopaus tersebut.
“Menopaus bukan perkara baru yang menjadi bahan perbincangan wanita. Walaupun media berulang kali menyiarkan tentang masalah alami ini, gejala-gejala menopaus kadangkala berlaku tanpa kita sedari ia adalah petanda awal yang diberikan tubuh kita,” kata Ketua Unit Jabatan Pembangunan Kesihatan Wanita, Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan, Profesor Madya Dr. Nik Hazlina Nik Hussain.
WASPADA SIMPTOM MENOPAUS
● Pening kepala
● Panas
● Berpeluh waktu malam
● Lesu luar biasa
● Sakit belakang dan sendi
● Perubahan mood tidak menentu
● Mudah tersinggung
● Sukar untuk fokus
● Lemah daya ingatan
● Sukar tidur
● Jantung rasa berdebar-debar
● Sering rasa gatal pada kulit
UMUR BERTAMBAH, SAKIT BERTAMBAH
Menopaus mengiringi usia emas, serentak itu, badan wanita mengalami penurunan dalam penghasilan hormon estrogen. Kesannya, pelbagai masalah kesihatan datang bertandang!
Antaranya:
● Gejala putus haid
● Dinding vagina lemah
● Masalah pundi kencing
● Kulit kendur
● Sukar melepaskan tekanan
● Osteoporosis
● Aterosklerosis
● Nyanyuk
● Risiko diserang kanser
● Penyakit kardiovaskular – jantung, darah tinggi, kencing manis, buah pinggang.
“Ada wanita menyembunyikan kesakitan mereka kerana malu, tidak tahu cara mendapatkan rawatan dan takut kehilangan anggota badan!” kata Dr. Nik.
Sambil menunjukkan slaid gambar ‘derita’ seorang wanita yang mengalami masalah uterus prolaps, Dr. Nik terus meyakinkan wanita bahawa setiap masalah ada penyelesaiannya.
SETIAP SAKIT ADA UBATNYA
Kes yang dipaparkannya dapat slaid tersebut misalnya membabitkan pesakitnya yang sudah empat tahun menyembunyikan rahimnya yang sudah terkeluar.
“Bayangkan selama empat tahun itu, dia menanggung kesakitan akibat rahimnya bergesel dengan paha apabila berjalan! Akibat sudah tidak tahan, barulah dia datang berjumpa doktor,” sesalnya.
Rahim terkeluar menurut Dr. Nik adalah antara masalah biasa yang dihadapi wanita berusia terutama yang pernah melahirkan anak.
Penyelesaiannya juga mudah dan tidak menyakitkan langsung di mana satu alat berbentuk seperti cincin akan diletakkan di permukaan pintu rahim sebagai penyendal.
“Sekali dalam empat bulan Sahaja cincin ini perlu ditukar dan percayalah ia tidak akan berasa apa-apa pun di vagina,” terang Dr. Nik.
Sementara itu, bagi mengatasi satu lagi masalah yang sering menyerang wanita lanjut usia iaitu lemah pundi kencing, Dr. Nik menyarankan wanita supaya melakukan senaman ringan bagi mengelakkan gejala mudah terkucil apabila bersin dan mengangkat barang.

