Setiap kali tibanya musim haji, salah satu perkara yang sering dilakukan oleh pemerintah Arab Saudi ialah menukar kain Kaabah (Kiswah) pada setiap 9 Dzulhijjah iaitu pada hari Arafah. Kiswah merupakan kain yang menjadi penutup Kaabah yang diperbuat daripada kain sutera asli berwarna hitam pekat dengan hiasan kaligrafi bertuliskan ayat-ayat al-Quran dari benang emas dan perak. Kiswah sendiri bermaksud “penutup” dalam Bahasa Arab.
Secara ironinya kain kiswah memiliki banyak simbolik termasuk sebagai lambang kebersihan, kesucian, dan penghormatan kepada Allah. Pada masa pra Islam, Kiswah bukan sahaja berfungsi sebagai penutup Kaabah tetapi juga sebagai simbol kehormatan dan identiti budaya suku-suku Arab.
Mereka menggunakan kain dengan warna dan motif yang berbeza, mencerminkan kepercayaan dan tradisi masing-masing. Misalnya Raja Tuba’ dari Yaman pernah menutup Kaabah dengan kain berwarna-warni.
Dalam catitan sejarah, kain kiswah yang menjadi penutup Kaabah bermula sejak dari zaman Nabi Ismail a.s. iaitu putera kepada Nabi Ibrahim a.s. Namun tidak terdapat sumber yang mengatakan kiswah pada zaman tersebut dibuat dari apa atau berwarna apa.
Hanya pada zaman pemerintahan Raja Himyar As’ad Abu Bakr dari Yaman menyebutkan bahawa kiswah terbuat dari kain tenunan. Idea dari Raja Himyar ini untuk memasang kiswah dengan kain tenunan kemudiannya diteruskan oleh generasi seterusnya hinggalah sekarang dan menjadi sebahagian dari budaya Arab apabila tibanya musim haji.

Pada masa Qusay ibnu Kilab iaitu leluhur kepada Baginda s.a.w. yang terkemuka, pemasangan kiswah pada Kaabah telah menjadi tanggungjawab masyarakat Arab dari suku Quraisy. Baginda s.a.w. sendiri pernah memerintahkan pembuatan kiswah dari kain yang berasal dari Yaman.
Manakala empat Khalifah Khulafa’ ar-Rasyidin pula memerintahkan pembuatan kain kiswah menggunakan dari benang kain kapas.
Kain kiswah terdiri dari 5 bahagian iaitu 4 sisi dan tirai pintu. Kainnya adalah dari sutera asli yang diimport secara khusus. Untuk membuatnya pula diperlukan 600 kg sutera asli.
Pada zaman kerajaan Abbasiyah, Khalifah al-Mahdi pernah memerintahkan supaya kain kiswah dibuat dari kain sutera khuz yang didatangkan dari Mesir dan Yaman.
Selanjutnya pada era penguasaan Turki Uthmani, kain kiswah didatangkan dari Istanbul Turki yang pada ketika itu mempunyai kualiti menghasilkan kain kiswah terbaik.
Pada hari ini kain kiswah telah dirancang secara khusus pembuatannya oleh 200 pekerja penduduk asli Saudi disebuah kilang kain milik kerajaan. Letaknya di al-Joud Mekah. Tinggi kiswah ialah 14 meter dan lebarnya ialah 47 meter. Bahagian atas selebar 95 cm dan dihiasi benang perak berlapis emas dengan beratnya 130 kg.
Kiswah memiliki beberapa fungsi utama antaranya menjaga kesucian Kaabah. Ia melindungi struktur fizikal Kaabah dari cuaca, debu dan kotoran.selain itu ia juga menjadi simbol kebanggaan umat Islam serta pengingat kepada spiritual disebabkan ayat-ayat al-Quran yang tertulis pada Kiswah. Wallahu a’lam
_____________________________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

