Situasi menyayat hati seekor gajah betina yang seakan meratapi kematian anaknya yang digilis lori di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli baru-baru ini benar-benar menyentap hati seluruh rakyat Malaysia.
Insiden tragis yang berlaku pada sambutan Hari Ibu itu mengajar kita bahawa naluri keibuan dan kasih sayang bukan hanya dimiliki manusia, malah turut dirasai oleh haiwan walaupun mereka tidak mempunyai akal seperti kita.
Sememangnya konflik antara haiwan dan manusia sering berlaku dan seakan tiada noktahnya terutama melibatkan laluan di sepanjang JRTB Gerik-Jeli ini. Justeru itu Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, mantan Mufti Wilayah Persekutuan tampil memberikan 6 cadangan kepada Kerajaan Malaysia dan pihak berautoriti agar insiden haiwan liar dapat dielakkan di masa akan datang, antaranya ialah:
Pertama: Pemasangan papan amaran pintar di zon laluan haiwan liar
Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) wajar bekerjasama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk memasang papan amaran pintar berasaskan sistem amaran awal (Early Warning System) menggunakan penderia haba dan kamera pengesan pergerakan haiwan liar.
Contoh sistem serupa telah dilaksanakan di negara seperti India dan Kenya, menunjukkan pengurangan ketara insiden perlanggaran. Kawasan seperti Jalan Raya Timur-Barat Gerik-Jeli perlu dijadikan projek rintis nasional
Kedua: Pewartaan zon ekologi sensitif dan kawalan had laju khusus
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bersama Kementerian Pengangkutan Jalan boleh mewartakan Zon Ekologi Sensitif Tier 1, yang mewajibkan had laju maksimum 60 km/j ketika waktu migrasi haiwan (contohnya antara 6:00 petang hingga 6:00 pagi).
Perlu juga kempen penguatkuasaan bersama PDRM dan JPJ agar pemandu benar-benar sedar bahawa ini bukan hanya soal keselamatan lalu lintas, tetapi amanah menjaga haiwan liar.
Ketiga: Pelaksanaan koridor hidupan liar dan kawasan tadahan makanan (foraging zones) melalui wakaf
Kerajaan wajar melaksanakan koridor hidupan liar dan kawasan tadahan makanan gajah di lokasi kritikal seperti Gerik- Jeli. Bagi menjamin kelestarian tanpa bergantung pada bajet tahunan, pendekatan wakaf boleh diguna pakai.
Tanah strategik boleh diwarta sebagai wakaf khairi dengan kerjasama Yayasan Wakaf Malaysia dan MAIN, manakala dana wakaf tunai digunakan untuk pemuliharaan dan penanaman semula. Inisiatif ini menggabungkan kelestarian, nilai ihsan dan prinsip Islam, serta berpotensi menjadi model rintis wakaf alam di Malaysia dan dunia Islam.
Keempat: Penglibatan Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Mufti
Sudut agama tidak wajar diketepikan. Konsep rahmah lil a’lamin dan ihsan terhadap haiwan perlu digerakkan melalui khutbah Jumaat dan ceramah awam, dikendalikan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis-majlis Agama Negeri. Pihak masjid juga boleh mempelopori kempen kesedaran setempat seperti “Hormat laluan haiwan liar, tanda ihsan kita kepada alam.”
Kelima: Memperkasa NGO dan komuniti tempatan sebagai rakan penjaga haiwan liar (wildlife guardians)
NGO seperti Malaysian Natural Society (MNS), RIMAU dan WWF-Malaysia perlu diberikan geran tahunan berasaskan keberhasilan (outcome based grants) oleh Kementerian Kewangan dan NRES. Sementara itu komuniti orang asli yang tinggal berdekatan habitat haiwan liar wajar dijadikan rakan strategik melalui program “eco petrol” yang dibayar elaun khas untuk melaporkan pergerakan kawanan atau kumpulan besar haiwan liar secara berkala.
Keenam: Penubuhan Suruhanjaya Pemeliharaan Spesies Terancam (SPST)
Sudah sampai masanya kerajaan menubuhkan satu suruhanjaya bebas di bawah parlimen bagi menyelaras dasar pemeliharaan spesies terancam seperti gajah, harimau, dan tapir. Ini akan memastikan isu tidak ditangani secara silo oleh pelbagai kementerian tetapi melalui pendekatan lintas sektor yang lebih sistematik dan efektif. Wallahu a’lam
Artikel penuh cadangan ini boleh dibaca di aplikasi al-Inarah dan boleh dimuat turun melalui Play Store dan App Store.
___________________________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

