Hukum wanita botakkan kepala dan mewarna rambut

Dari Penulis

Lelaki dan wanita Islam adalah ditegah menampilkan diri dengan penampilan yang bertentangan dengan sifat-sifat semulajadi mereka. Perbuatan wanita membotakkan kepala dan berhias seperti bertindik secara aneh dan berlebih-lebihan ke atas anggota tubuh badan selain daripada cuping telinga adalah dilarang oleh Islam.

Ulama berpendapat bahawa, perbuatan membotakan kepala oleh segelintir wanita Islam adalah dilarang dan bertentangan dengan hukum syarak. Ini bersesuaian dengan hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud,

“Rasulullah s.a.w. melarang wanita mencukur rambutnya”

Syeikh Muhammad Mutawalli al-Sya’rawi ketika menjawab persoalan sama ada wanita boleh bercukur kepala atau tidak menjelaskan,

“Haram ke atas kaum wanita mencukur kepala mereka berdasarkan hadis Nabi s.a.w.”

Pengharaman tersebut adalah kerana perbuatan membotakkan kepala menyamakan seseorang wanita dengan lelaki, bermegah dengan sifat-sifat kelelakian selain menzahirkan sifat-sifat buruk dalam diri wanita tersebut.

Namun harus hukumnya bagi wanita mencukur kepalanya untuk tujuan rawatan perubatan bagi mengatasi masalah atau penyakit yang tertentu seperti terdapat kudis, bisul, kanser atau kutu yang banyak pada kulit kepala. Dalam situasi tersebut ia dianggap sebagai dharurat yang membolehkan kepalanya dicukur.

Dr. Ahmad al-Sharbasi pula menjelaskan bahawa sekiranya seorang wanita mencukur rambut mereka sebagai tanda berkabung, maka ia merupakan sebahagian daripada amalan jahiliah yang amat ditegah oleh Islam.

Sementara bagi wanita yang mencukur rambutnya dengan tujuan menyerupai lelaki maka perbuatan tersebut dihukumkan sebagai haram. Begitu juga alasan membotakkan kepala semata-mata untuk menghayati dan menjayakan watak yang dipegang dalam lakonan adalah tidak wajar kerana hukum melarang perbuatan tersebut.

Begitu juga dengan perbuatan bertindik yang seolah-olah menjadi gaya dan trend remaja hari ini juga dihukumkan haram.

Mewarnakan rambut

Haram bagi lelaki dan perempuan mewarnakan janggut dan rambut dengan warna hitam. Namun, sunat hukumnya mewarnakan uban dan rambut dengan warna yang lain sama ada kuning atau merah.

Ini berdasarkan hadis daripada Jabir r.a. katanya,

Abu Quhafah (bapa kepada Abu Bakar, nama sebenarnya Uthman yang memeluk Islam ketika pembukaan Kota Mekah) yang rambutnya putih bak bunga kemboja, dibawa menemui Rasulullah s.a.w. pada hari penawanan Kota Mekah. Lalu Baginda s.a.w. bersabda,

“Ubahlah warna uban rambutnya ini dengan sesuatu dan elakkanlah dari warna hitam”

Selain itu hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda,

“Ubahlah warna uban dan jangan menyerupai orang Yahudi”

Perbuatan menghitamkan uban mengandungi unsur-unsur pemalsuan dan mengubah keadaan yang sebenar. Dengan celupan warna hitam, seseorang dewasa kelihatan seperti remaja, orang tua kelihatan muda kepada pandangan orang ramai.

Hal ini menyebabkan sangkaan mereka berlainan daripada keadaan yang sebenar. Adapun warna yang lain tidaklah sampai ke tahap pengubahan, penipuan dan pemalsuan. Inilah pendapat dari mazhab as-Syafie.

Begitupun di sisi mazhab Maliki, Hanafi dan Hanabilah, hukum mewarnakan rambut dengan warna hitam adalah makruh dan diharuskan semasa perang. Manakala Imam Abu Yusuf daripada Hanafiah mengharuskan secara mutlak.

Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi pula menyebutkan,

“Manakala orang yang tidak setua Abu Quhafah tidak mengapa jikalau dia mewarnakan rambutnya dengan warna hitam. Dalam hal ini al-Zuhri (seorang tabiin) mengatakan, “Kami menginai rambut dengan warna hitam jikalau wajah kami masih kelihatan muda. Apabila wajah sudah berkedut dan gigi sudah bergoyang kami meninggalkannya” 

Adapun sunat mewarnakan rambut dan uban dengan warna lain sama ada warna kuning atau merah. Penggunaan pewarna rambut untuk tujuan mewarna mestilah disahkan status halalnya terlebih dahulu dan menepati tiga syarat iaitu:

Pertama: Boleh menyerap air supaya wuduk dan mandi wajib menjadi sah.

Kedua: Tidak mengandungi bahan yang memudaratkan kulit seperti kanser, kekeringan rambut, alergi dan sebagainya.

Ketiga: Dibuat daripada bahan yang tidak bercampur dengan najis dan daripada bahan yang suci dan halal.

Rambut merupakan bahagian yang wajib dibasuh ketika mandi wajib atau wuduk. Ini bererti air yang bersih mesti sampai ke semua bahagian rambut termasuklah kulit kepala ketika mandi wajib atau sebahagiannya ketika berwuduk. Jika ada sesuatu yang menghalang air untuk sampai membasahi rambut maka tidak sah mandi wajib dan wuduknya.

Jadual hukum

Pertama: Sunat (mewarna rambut kerana uban dengan apa-apa warna selain daripada warna hitam)

Kedua: Harus (mewarna rambut dengan warna hitam untuk tujuan jihad dan mewarna rambut bagi isteri dengan warna hitam untuk tujuan berhias bagi suami)

Ketiga: Makruh (mewarna rambut supaya kelihatan seperti orang soleh dan memutihkan rambut dengan apa juga bahan bagi tujuan untuk kelihatan tua atau mendapat kedudukan dalam masyarakat atau diterima percakapannya)

Keempat: Haram (mewarna rambut dengan warna hitam kecuali sebagaimana yang dinyatakan dalam bahagia dua di atas dan mewarnakan rambut sehingga menyerupai (tasyabbuh) perlakuan orang bukan Islam.

__________________________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

FacebookTwitterWhatsAppTelegramLinkedInCopy LinkShare


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Pengurusan Islam Malaysia Diiktiraf di Mekah, Dr. Zulkifli Bawa Suara Negara ke Pentas Global

MALAYSIA terus mengukuhkan kedudukannya sebagai kuasa pemikir dalam dunia Islam apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),...

More Articles Like This