Sebelum ini pernah ada satu penyelidikan yang dilakukan di Madrid, Sepanyol, sekumpulan saintis mendakwa jangka hayat seseorang manusia itu boleh diukur secara biologi. Dengan hanya melakukan ujian darah, seseorang itu dikatakan boleh dijangka bilakah dia akan meninggal dunia.
Kaedah ujian itu dilakukan dengan cara mengukur komposisi dari jenis kromosom di dalam tubuh seseorang. Komposisi kromosom ini disebut sebagai telomere, dan tahap ukurannya boleh dibuat dengan mudah iaitu melalui ujian darah.
Telemore ini diyakini oleh para penyelidik sebagai satu daripada penunjuk penuaan sel tubuh yang paling signifikan dan tepat. Dengan kata lain, ketika penuaan sel mencapai tahap tertentu, boleh ditafsirkan itulah tahap terakhir seseorang itu mampu melakukan aktiviti.
Tahap ukuran usia ini tentunya tidak termasuk faktor luaran lain seperti kemalangan atau penyakit yang secara tiba-tiba menyerang. Dengan menjalani ujian telemore, umur biologi boleh menjadi salah satu petunjuk bilakah usia seseorang itu akan berakhir. Atau dengan kata lainnya, seseorang itu dapat menjangka bilakah mereka akan menghembuskan nafas yang terakhir.

Menurut salah seorang penyelidik dari Pusat Penyelidikan Kanser Nasional Sepanyol, Dr. Maria Blasco, sama ada tua atau muda usia biologi seseorang itu boleh diukur berdasarkan panjang telemore mereka. Semakin panjang ukuran telomere, maka semakin tinggilah usia atau jangka hayat seseorang.
Jelas Dr. Maria Blasco, usia biologi adalah berbeza dengan usia nyata yang dimiliki oleh seorang manusia. Sebagai contoh, lelaki yang berusia 65 tahun berkemungkinan mempunyai usia biologi yang lebih muda daripada lelaki yang berusia 45 tahun, dan lelaki yang berusia 45 tahun berkemungkinan pula mempunyai usia yang lebih pendek daripada itu.
Secara sederhananya, telomere ini berfungsi untuk melindungi DNA di dalam tubuh seseorang daripada sebarang gangguan dan kerosakan. Bahagian inilah yang mengandungi segala maklumat yang diperlukan untuk mitosis ataupun pembahagian sel.
Seperti yang diketahui, sel-sel di dalam tubuh kita akan mati dan sel-sel inilah yang perlu diganti. Dengan adanya telomere, maklumat dapat diberikan agar sel-sel baru boleh terbentuk.
Seiring dengan peningkatan usia, fungsi telomere menjadi semakin berat. Maka, tahap kepanjangannya akan mengalami penyusutan dan telomere menjadi semakin memendek. Sampai ke satu tahap tertentu, telomere ini akan habis dengan sendirinya.
Ketika usia seseorang itu mencapai separuh abad, tahap penyusutan ini mencapai satu titik di mana telomere tidak mampu lagi berfungsi untuk melindungi DNA. Keadaan itu akan menjadi semakin buruk apabila sel-sel tubuh mula memisah. Kesannya adalah kulit akan menjadi longgar dan berkedut, daya tahan tubuh menjadi tidak berkesan dan penyakit-penyakit lain seperti diabetes dan jantung akan merebak dengan lebih agresif.
Penyelidikan berkaitan usia telomere ini bermula pada tahun 1984, apabila dua orang penyelidik dari England, Carol W. Greider dan Elizabeth Blackburn telah menemui sejenis enzim yang dipanggil telomerase. Enzim ini dikatakan boleh memanjangkan telomere.
Dalam kesimpulan yang dilakukan, mereka mendapati apabila telomere sentiasa kekal panjang, maka hayat seseorang itu akan menjadi lebih lama. Kedua-dua penyelidik itu juga mendakwa, penggunaan telomarase yang berpanjangan akan membuatkan seseorang tidak akan menjadi tua. Namun, fakta ini sukar dibuktikan kerana usia manusia sentiasa meningkat.

Berdasarkan rumusan itu, Dr. Maria Blasco telah mendapat indikasi yang lebih baik dengan menyatakan jangka hayat seseorang itu boleh diukur berdasarkan tahap kepanjangan telomere di dalam tubuh. Justeru, beliau bersama pasukan penyelidiknya telah mencipta sejenis peralatan yang mampu untuk mengukur telomere hanya melalui ujian darah.
Peralatan yang diberi nama Telomeres itu dipasarkan ke seluruh England dan pasukan penyelidik itu percaya bahawa ujian telomere akan menjadi popular dalam sedekad akan datang. Dan jangkaan itu memang menjadi kenyataan. Sekarang, ujian ini sudah popular terutama untuk berkaitan penuaan dan mengesan risiko penyakit berbahaya.

Fakta Tambahan
- Ujian telomere telah mula dikembangkan secara saintifik sekitar awal tahun 2000 di negara-negara Eropah.
- Antara tujuan ujian telomere dijalankan ialah untuk menilai tahap penuaan sel dan mengenal pasti risiko penyakit kronik seperti sakit jantung, kanser, diabetes dan banyak lagi.
- Faktor yang mempengaruhi panjang telomere ialah genetik, tekanan, pemakanan, gaya hidup dan pendedahan terhadap pencemaran.
- Istilah ‘telomere’ digunakan oleh Herman Muller dan Barbara McClintock yang mengkaji struktur kromosom pada 1930-an.
- Pada tahun 1970-an dan 1980an, penyelidik lain seperti Elizabeth Elizabeth Blackburn, Carol Greider, dan Jack Szostak menjumpai struktur telomere yang terdiri daripada ulangan DNA dan enzim telomerase yang memanjangkan telomere. Mereka menerima Hadiah Nobel dalam Fisiologi atau Perubatan pada tahun 2009 atas penemuan mereka mengenai telomere dan telomerase, yang berfungsi melindungi kromosom. Penyelidikan mereka menjelaskan bagaimana ‘penutup pelindung’ ini mencegah kromosom daripada merosot serta bagaimana telomerase, iaitu sejenis enzim, mengekalkan panjang telomere, yang memberi kesan terhadap proses penuaan dan penyakit seperti kanser.
- Ujian ini pada awalnya digunakan dalam kajian kesihatan, penuaan dan penyakit kronik. Namun, pada tahun 2010 ke atas, ujian ini mula dikormesialkan sebagai ujian untuk melihat tahap dan risiko kesihatan seseorang.
- Singapura, Jepun dan Korea Selatan antara negara Asia terawal yang menawarkan khidmat ujian ini.
___
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

