PELAKON Khairul Azhar, 70 yang popular menerusi sitkom Santan Berlada dilaporkan meninggal dunia di rumahnya di Taman Sri Andalas, Klang, pukul 10.37 malam tadi.
Difahamkan Allahyarham ditemui tidak sedarkan diri dalam kereta oleh anak angkat yang juga pembantu peribadinya.
Menurut Muhammad Aizat Norazemi,27, dia cuba memberi bantuan pernafasan sebaik melihat arwah tidak sedarkan diri dalam kenderaan miliknya .
“Semalam saya kebetulan datang ke rumah arwah dan melihat dia masih berada dalam kereta. Apabila saya menghampiri, keadaanya sudah tidak sedarkan diri. Sementara menunggu pasukan perubatan tiba, saya ada cuba memberi bantuan pernafasan kepadanya tetapi sebaik ambulan tiba, pegawai perubatan mengesahkan arwah sudah meninggal dunia.
“Arwah disahkan meninggal dunia sekitar pukul 10.27 malam tadi,” katanya.
Selain berlakon dan mengacara, Khairul pernah muncul dengan trio Santan Berlada pada era 80-an bersama Allahyarham Ali Mamak dan Accapan serta pernah menghasilkan sebuah album.
Pemergian Khairul itu juga menyaksikan trio Santan Berlada sudah meninggal dunia. Allahyarham merupakan pesara dan pernah berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Kebudayaan di Majlis Perbandaran Klang (MPK).
DIa juga pemain dram dalam kombo MPK.
Jenazah Khairul akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Raja Uda, Klang selepas solat Jumaat, hari ini.
Selain sitkom Santan Berlada, Khairul banyak muncul dalam drama serta telefilem dan pernah berlakon dalam filem Mat Som bersama Imuda.
Arwah meninggalkan dua cahaya mata iaitu Nor Hafizah,41 dan Nur Shahirah,25 tahun.
Isteri arwah iaitu Norsidah Ahmat meninggal dunia pada Jun tahun lalu akibat kanser darah.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

