Lelaki ini mula mendapat perhatian meluas sekitar tahun 2010 apabila kelibatnya sering kali muncul di belakang wartawan yang sedang membuat siaran langsung di kaca TV.
Bagi mereka yang gemar menonton laporan berita di saluran BBC, ITV, Sky atau Channel 4, wajah ini bukanlah asing lagi. Dalam diam, dia menjadi bayang tetap dalam puluhan siaran langsung — seolah-olah satu figura misteri yang ‘menghantui’ berita-berita utama Britain.
Kelibat lelaki ini sering kali berada berdekatan atau di belakang pengacara yang sedang membuat liputan berkenaan supaya wajahnya dapat disiarkan dalam televisyen. Lelaki ini selalunya berpura-pura menarik beg, membaca akhbar atau berbual-bual melalui telefon bimbitnya ketika siaran langsung itu diadakan.

Selain saluran UK seperti BBC, ITV, Channel 4, dan Sky News, lelaki ini juga pernah muncul di latar belakang siaran langsung saluran Al Jazeera — menunjukkan betapa konsisten dan strategiknya dia dalam memilih lokasi dan masa siaran langsung berlaku.
Siapa lelaki ini?
Nama lelaki ini ialah Paul Yarrow berasal dari selatan London, berusia 38 tahun ketika namanya menjadi sebutan ketika itu.
Walaupun ramai menganggap kemunculannya sebagai jenaka atau sekadar pelengkap latar belakang, tak kurang juga yang mengatakan dia hanya mencari glamour, Paul sebenarnya mempunyai tujuan mengapa dia melakukan perkara tersebut.
Menurutnya, perlakuannya muncul dalam siaran langsung itu bukan satu hobi, sebaliknya adalah satu tanda protes senyap terhadap budaya media yang terlalu mementingkan rupa paras.
“Saya gemuk, dan orang seperti saya selalu tidak diendahkan. Saya mungkin ada pendapat bernas tentang sesuatu isu, tapi mikrofon selalunya diberikan kepada orang yang lebih kurus dan segak di sebelah saya. Saya cuma mahu orang tahu bahawa orang seperti saya juga ada suara. Dan selagi golongan seperti kami dipinggirkan, saya akan tetap berdiri — walau di belakang kamera sekalipun ” kata Paul.

Tambahnya lagi, apa yang dilakukannya bukan sekadar mahu masuk TV. Tetapi beliau mahu mencabar kebiasaan di mana hanya individu yang berfizikal menarik sahaja yang layak diberi ruang bersuara di kaca televisyen.
Kehadiran Paul yang berulang kali ‘terselit’ di dalam rakaman lintas langsung, dari protes di Kedutaan Israel hingga ke Dataran Parlimen, semuanya dilakukan demi membuka mata masyarakat terhadap golongan yang sering disisihkan hanya kerana penampilan.
“Ada yang menggelar saya sebagai lelaki gemuk yang terdesak mahu masuk TV. Itu membuat saya berasa marah. Itu bukan saya. Saya bukan watak jenaka dan saya bukan badut,” ujarnya.

Setelah membuat lebih 50 penampilan dalam siaran langsung dan ketika namanya menjadi sebutan sehingga mengumpul ramai peminat, Paul membuat keputusan untuk ‘bersara’ daripada kempen yang dilakukannya.
Mengapa? Kerana Paul tidak lagi tahan berdepan dengan perhatian media dan orang awam sehingga ada yang mengejarnya ketika berada di jalanan semata-mata mahu bergambar dengannya.
“Orang mengejar saya mahu bergambar. Wartawan berkampung di luar rumah saya. Sana sini orang hubungi saya minta ditemubual. Saya tidak lagi tahan dengan keadaan ini. Ia satu tekanan, sedangkan saya mahu hidup tenang,” kata Paul yang akhirnya mengambil keputusan berhenti daripada muncul di kaca TV sekitar tahun 2012.

Fakta Tambahan
- Paul Yarrow mula mendapat perhatian meluas sekitar tahun 2010 apabila pengguna internet mula perasan kelibatnya yang berulang kali muncul di belakang wartawan semasa siaran langsung berita sehingga ada yang menyangka ia hanyalah satu gurauan atau trolling.
2. Peminatnya telah mencipta laman blog dan akaun media sosial yang mengesan dan merekodkan kemunculan Yarrow dalam setiap siaran berita. Antaranya termasuk blog seperti “The Paul Yarrow Spotting Blog” yang menyenaraikan setiap penampilannya.
3. Walaupun kempen medianya menjadi terkenal, Paul sebenarnya sudah lama menjadi aktivis komuniti. Dia menyokong pelbagai protes dan gerakan awam, termasuk berkaitan isu Palestin, anti-perang dan keadilan sosial. Beliau menggunakan kehadirannya sebagai ‘bayang dalam berita’ untuk menarik perhatian terhadap isu yang disokongnya.
4. Sebelum popular, Paul pernah bekerja sebagai pengiring keselamatan untuk Kementerian Pertahanan. Ini menunjukkan dia bukan sekadar watak lucu — tetapi individu yang pernah menjalankan tugas penting dan serius.
5. Sejak usia 12 tahun, Paul sudah menjadi penjaga untuk ahli keluarganya yang sakit. Beliau menjaga ayahnya sehingga meninggal dunia pada 2008, dan kemudian menjaga ibunya yang uzur.
6. Sejak memberitahu untuk ‘bersara’ daripada kempen medianya itu, tidak lagi diketahui apakah perkembangan terbaru Paul Yarrow. Lelaki ini juga tidak aktif di media sosial secara peribadi, malah kebanyakan akaun dan blog tentangnya dikendalikan oleh peminat atau pemerhati luar.

____
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

