Acara Weddings by Marriott Bonvoy: Indonesia & Malaysia 2025 Showcase telah melabuhkan tirainya dengan menyatukan detik cinta dan impian dalam satu pengalaman luar biasa yang berlangsung di dua destinasi hebat ,The Starhill Atrium di Kuala Lumpur dan The St. Regis Jakarta.
Naib Presiden Wilayah, Indonesia dan Malaysia untuk Marriott International, Ramesh Jackson berkata komitmen Marriott Bonvoy dalam mencipta pengalaman perkahwinan yang luar biasa dan peribadi untuk setiap pasangan, selaras dengan reputasi jenama itu sebagai peneraju hospitaliti bertaraf dunia.
“Weddings by Marriott Bonvoy bukan sekadar sebuah acara, tetapi sebuah perayaan untuk detik cinta yang paling bermakna.
“Majlis ini menyatukan pasangan, penyedia perkhidmatan serta pasukan kami yang berdedikasi, dan mencipta suasana di mana impian benar-benar menjadi kenyataan,” katanya.
Daripada keindahan pantai Bali yang romantik, ke suasana taman yang damai di Langkawi, hinggalah ke keanggunan dewan mewah di Kuala Lumpur dan Jakarta, acara ini berjaya mengetengahkan pelbagai konsep dan sentuhan kreatif untuk memenuhi cita rasa setiap pasangan.

Marriott Bonvoy turut mengumumkan para pemenang utama bagi setiap lokasi di mana hadiah “Wedding on Us” yang bernilai RM150,000 untuk majlis perkahwinan di mana-mana hotel Marriott Bonvoy telah dimenangi oleh pasangan Tiong Yuang Kiat (Jack) dan Melody Yong, yang akan diraikan di The Westin Langkawi Resort & Spa.
Sementara itu, hadiah “Honeymoon on Us”, iaitu percutian mewah selama empat hari tiga malam di The Ritz-Carlton Langkawi lengkap dengan tiket penerbangan kelas perniagaan, telah dimenangi oleh Benjamin Tay Jay Han dan Khong Jo Ann, yang bakal melangsungkan perkahwinan mereka di Element Kuala Lumpur.

Hadiah “Points on Us” berupa 250,000 mata ganjaran Marriott Bonvoy pula dimenangi oleh Aaron Chien Seong Kin dan Yew Jie Ying, yang akan menyambut hari bahagia mereka di The Majestic Kuala Lumpur.

Bagi pemenang dari Indonesia, hadiah “Wedding on Us” bernilai sehingga IDR 500 juta telah dimenangi oleh Stephen Santoso Djongianto dan Edita Prawira, yang akan diraikan dalam suasana penuh keanggunan di The St. Regis Jakarta.
Pasangan Eddy Anggry dan Jilly Tania pula memenangi hadiah “Honeymoon on Us” berupa penginapan tiga malam di Mandapa, a Ritz-Carlton Reserve di Bali, termasuk kemudahan mewah sepanjang percutian mereka.
Manakala Wahyudi Suyanto dan Josephine Djulamsah menerima hadiah “Points on Us” sebanyak 250,000 mata ganjaran Marriott Bonvoy dan akan diraikan di The St. Regis Jakarta.
Sepanjang dua hari acara, lebih daripada 40 hotel dan resort di bawah jenama Marriott Bonvoy telah mengambil bahagian, mempersembahkan pelbagai inspirasi perkahwinan, perkhidmatan premium dan pengalaman eksklusif yang dirancang khas untuk pasangan yang ingin mencipta majlis perkahwinan idaman mereka.
Weddings by Marriott Bonvoy terus menginspirasikan pasangan untuk memulakan perjalanan baharu mereka di lokasi-lokasi paling menakjubkan. Sama ada di tepi pantai yang mempesona di Bali, dalam suasana taman tropika di Langkawi, atau di ballroom mewah di Jakarta dan Kuala Lumpur, Marriott Bonvoy menjanjikan pengalaman yang anggun, peribadi dan tidak dapat dilupakan.

