Hargai makna persahabatan, Rossa ‘belanja’ segmen Tribute To Siti Nurhaliza, dewan bertukar riuh Biduanita Negara spontan nyanyi Percayalah!

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis

MENGHARGAI hubungan persahabatan yang dibina sejak bertahun lalu membuatkan penyanyi Datuk Seri Rossa berbesar hati menghiburkan peminat dengan rangkaian lagu-lagu daripada Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza pada Konsert Rossa Here I Am di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam tadi.

Menerusi segmen tribute istimewa itu, Rossa menyampaikan empat buah lagu iaitu Gelora Asmara, Percayalah, Biarlah Rahsia dan Bukan Cinta Biasa.

Rossa akui cukup teruja setiap kali datang ke Malaysia yang sudah dianggap sebagai rumah keduanya selain bersahabat baik dengan rakan-rakan artis di negara ini.

“Saya sentiasa teruja dan gembira bila datang kembali ke Malaysia yang sudah seperti rumah kedua saya.

“Saya memiliki ramai teman-teman dalam kalangan artis di Malaysia yang sangat baik.

“Antaranya Siti Nurhaliza yang sudah bersahabat dengan saya sejak bertahun lamanya. 

“Pada malam ini (semalam) dia hadir ke konsert saya. Jadinya, tak mungkinlah saya tidak menghadiahkan lagu nyanyiannya,” katanya.

Ketika Rossa sedang mempersembahkan lagu Percayalah, keadaan dewan bertukar gamat dengan tepukan serta sorakan apabila Siti yang duduk di kerusi jemputan khas secara spontan menyambung lagu berkenaan.

Nyata aksi tersebut membuatkan peminat di dalam dewan menjerit teruja disebabkan tidak menyangka penyanyi nombor satu negara itu akan turut menyanyi.

Selepas selesai menyanyikan lagu itu, Rossa sempat meluahkan rasa tidak sabar untuk hadir ke konsert solo Siti, Violet Skies Datuk Seri Siti Nurhaliza Live In Arena Of Stars di Genting Highlands, Pahang, bulan depan.

“Saya tak sabar untuk hadir ke konsert kamu di Genting Highlands, Julai nanti,” katanya.

Konsert Rossa Here I Am yang berlangsung tiga jam itu turut menampilkan lebih 30 buah lagu popular antaranya Hey Ladies, Ayat-Ayat Cinta, Atas Nama Cinta, Hati Yang Kau Sakiti, Tegar dan banyak lagi.

Malah, Rossa turut menjemput penyanyi undangan seperti Ariel Noah, Ernie Zakri, MK K-Clique, empat finalis One In A Million iaitu Mary Grace, Kau Deva, Jimi serta Zazzleen dan The Ladies yang dibarisi alumni Indonesian Idol iaitu Rimar, Jemimah, Awdella dan Syarla.

Konsert anjuran Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dan Inspire Production dengan kerjasama promosi serta pemasaran daripada Sah Entertainment itu juga menjadi platform buat Rossa berkongsi perjalanan seninya sepanjang dua dekad bergelar anak seni.

Yang pasti, peminat pulang dengan hati yang puas apabila penyanyi kesayangan ramai itu berjaya memberikan momen terbahagia buat mereka yang hadir.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

“Saya tak kejar populariti, cukuplah lagu saya menggamit memori…,” – Jamal Abdillah bicara soal gelaran Biduan Negara

MENGHAMPIRI lima dekad mendaki puncak populariti dalam industri muzik tanah air, nama Raja Pop negara, Datuk Jamal Abdillah, tidak...

More Articles Like This