Tidak tidur hampir 4 hari, lelaki ini berjaga hanya untuk menonton TV tanpa henti untuk cipta rekod dunia

Dari Penulis

Berapa lama anda boleh menonton televisyen? Dua jam? Tiga jam? Secara purata, seorang individu disarankan menonton televisyen tidak lebih dari dua jam sehari. Andai kata menonton lebih dari waktu tersebut kemungkinan besar boleh mengundang pelbagai risiko terhadap kesihatan.

Apa jadi jika menonton TV terlalu lama? Baik, anda boleh baca kisah lelaki ini. Tahukah anda, seorang lelaki dari Brooklyn, Amerika Syarikat adalah pemegang rekod dunia sebagai manusia yang menonton TV paling lama tanpa henti.

Alejandro Fragoso mencatatkan rekod menonton TV tanpa henti selama 94 jam pada April 2016, sekaligus  mencipta rekod baru Guiness World Record. Rekod sebelum itu dipegang lima orang anak muda negara Austria iaitu selama 92 jam.

Fragoso memecahkan rekod menonton TV paling lama tanpa tidur.

Bayangkan, Frogoso menonton TV selama 94 jam bersamaan hampir empat hari tanpa henti, tanpa tidur! Ketika ujian bermula, Alejandro yang ketika itu berusia 25 tahun meragui kebolehannya untuk meneruskan cabaran tersebut.

Sewaktu ujian dijalankan, dia telah menghabiskan beberapa jenis filem bersiri bagi melengkapkan rekod tersebut. Antaranya Curb Your Enthusiasm, Game of Thrones, Twilight Zone, Battlestar Galactica, Bob’s Burgers dan Adventure Time. Kesemua siri filem ini ditonton secara langsung menerusi stesen televisyen berbayar, Netflix.

Selain Fragoso, ujian tersebut turut dianggotai dua lagi peserta lain iaitu Louise Matsakis dan Molly Ennis. Pada 10 jam pertama, Matsakis menjadi peserta pertama menarik diri. Manakala Ennis menjadi peserta kedua tersingkir selepas hilang tumpuan pada tempoh 56 jam ujian berlangsung.

Hanya Fragoso seorang yang bertahan sehingga hampir 4 hari menonton tanpa henti.

Bagaimana lelaki ini dapat menahan rasa mengantuk dan bosan ketika melakukan cabaran tersebut? 

Kalau anda semua ingin tahu, Fragoso merupakan seorang pengatur cara bagi sebuah aplikasi terkenal dunia iaitu iOS. Menurutnya, dia sudah terbiasa berjaga sepanjang malam dan tidak tidur selama beberapa hari bagi menyelesaikan projek yang diberikan oleh syarikat. Mungkin disebabkan corak hidup tersebut, lelaki ini mampu bertahan tidak tidur berhari-hari.

Selain suka berjaga malam, Fragoso memberitahu aspek pemakanan turut menjadi penyumbang kepada kejayaannya mencipta rekod tersebut. Beliau menjelaskan, sepanjang ujian dijalankan dia kerap mengambil minuman kafein, makanan kekacang, coklat bar, sushi dan ayam. Pada masa yang sama, lelaki ini mengakui terpaksa merokok ketika sesi ujian dijalankan.

Sewaktu ujian, setiap tempoh satu jam, dia akan diberikan rehat selama lima minit. Pada tempoh itu, Fragoso tidak melepaskan peluang melakukan beberapa aktiviti bagi mengekalkan ketahanan badannya. Sebagai contoh, dia akan membasahkan muka dengan tuala basah, mandi, merokok dan sebagainya untuk terus kekal fokus dalam cabaran itu.

Bagi mengelakkan kebosanan sewaktu menonton televisyen, lelaki ini mendakwa kerap mengalihkan siaran yang tidak diminatinya. Kata Fragoso, dia terpaksa berbuat demikian bagi mengekalkan daya tumpuan pada sesi ujian itu.

Keadaan Fragoso sentiasa dipantau oleh petugas kesihatan semasa melakukan cabaran ini.

Ketika ujian dijalankan, pihak penganjur turut menyediakan pakar perubatan. Setiap beberapa jam, doktor akan melakukan pemeriksaan kesihatan kepada peserta yang terlibat. Pemantauan ini penting bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Menurut Fragoso, menonton televisyen pada tempoh masa lama dianggap sebagai satu pengalaman menakutkan. Ketika hari kedua ujian berlangsung, Fragoso mendakwa telah mengalami halusinasi. Pada saat itu dia mendakwa seperti berada di sebuah tempat lain meskipun sedang menonton televisyen.

Selepas melepasi tempoh 72 jam berjaga menonton TV, doktor mendapati Fragoso mula mengalami kekejangan otot, halusinasi ringan dan kekeliruan kerana keletihan mental. Namun, Fragoso masih mahu meneruskan cabaran tersebut.

Apabila mencapai 94 jam, doktor yang memantau memintanya untuk berhenti kerana keadaan tahap kesihatannya kurang baik. Fragoso terpaksa akur walaupun dia bercadang mahu bertahan lebih lama.

Walaupun ada beberapa percubaan lain selepas itu, belum ada yang berjaya mengatasi rekod 94 jam yang dipegang Fragoso sehingga kini. Apabila ditanya apakah dia mahu melakukan lagi cabaran ini untuk rekod baru, Fragoso berkata, “Saya tidak akan melakukannya lagi, dan saya juga tidak syorkan kepada sesiapa untuk melakukannya.”

Pakar perubatan sangat tidak mengesyorkan aktiviti menonton televisyen dalam satu tempoh yang lama kerana ia hanya mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan.

___

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

‘Di dasar laut, saya menemui kebesaran Allah’ – Afizah 

"Saya sangka dasar laut hanya dipenuhi ikan dan batu karang. Rupa-rupanya, di situlah saya belajar erti kehidupan." Luah Pengasas Mikraj...

More Articles Like This