PERNAHKAH anda bermain hula hoop? Permainan lingkaran gelung ini sudah dimainkan oleh anak-anak Mesir dan Yunani kuno sejak ribuan tahun dahulu. Manakala versi moden pula diperkenalkan oleh syarikat mainan Wham-O pada tahun 1958 sehingga memberi inspirasi kepada peminatnya untuk melakar pelbagai rekod dunia.

Sejak dahulu, bermacam-macam rekod dunia cuba dicipta oleh para pemain gelung ini. Antara rekod yang pernah dicipta termasuklah larian jarak jauh gelung hula paling lama, iaitu 74 jam dan 54 minit.

Beberapa rekod lain juga berjaya dilakar seperti jumlah putaran gelung terbanyak kira-kira 243 kali dalam masa seminit dan jumlah gegelung paling banyak diputar secara serentak iaitu sebanyak 200 kali.

Beberapa tahun lalu, seorang lelaki dari Jepun bernama Yuya Yamada telah tampil untuk membuat rekod baru bagi memusingkan gelung hula yang diperbuat daripada aluminium bersaiz raksasa, berukuran diameter 5.14 meter.

Yamada mencipta rekod baru dalam dunia gelang hula.

Mampukah dia? Pada awal dia menyatakan Hasrat tersebut, ramai pesimis terhadap kemampuan lelaki ini. Rata-rata berpendapat bahawa adalah mustahil untuk seseorang memusingkan gelung sebesar itu tanpa menggunakan sebarang bantuan.

Ternyata, Yamada yang ketika itu berusia 37 tahun berjaya menunjukkan bahawa tiada yang mustahil dilakukan selagi mana ada kemahuan. Beliau berhasil melakukan aksi luar biasa dengan memusingkan gelung hula berukuran gergasi hanya menggunakan gerakan badannya. Malah, aksi tersebut telah memecahkan rekod dunia sekali gus nama beliau tercatat sebagai pemutar gelung hula terbesar di dunia dalam Rekod Dunia Guinness.

Yamada telah melakukan percubaan itu di Yokohama, Kanagawa, pada 9 November 2017. Syarat untuk mencipta rekod berkenaan, beliau perlu melengkapkan sekurang-kurangnya tiga pusingan gelung hula.

Melihat pada saiz gelung berkenaan, ramai kurang yakin dia mampu memutarkannya. Ternyata, aksi itu agak mudah bagi Yamada. Buktinya, dia bukan sahaja dapat melengkapkan tiga putaran, bahkan berjaya memusingkan gelung hula gergasi itu sebanyak enam kali dengan ayunan badannya. Malah, Yamada berjaya mengatasi rekod sebelumnya yang dipegang oleh Ashrita Furman dari Amerika Syarikat.

Yamada berjaya memusingkan gelung hula gergasi.
Berjaya mencipta rekod Guinness.

Yamada yang dikenali sebagai ‘Hoop Man Yu-Ya’ di negaranya terkenal dengan keupayaan mengimbangi hula hoop. Dia bukan sahaja mampu beraksi hebat dengan memutarkan gelung bersaiz besar, malah lebih daripada itu.

Antara aksi lain, Yamada berupaya memusingkan gelung hula sambil berlari, memutarkan gelung hula secara menegak menggunakan kepala dan bahagian belakangnya serta memusing berpuluh-puluh gelung secara serentak dengan lenggokan tubuhnya. Kesemua pertunjukan tersebut dilakukannya dengan cemerlang tanpa pernah gagal.

Cuma, dalam usaha mengatasi rekod dunia sebelumnya, Yamada perlu melakukan pendekatan yang lebih baik, berbeza dan tidak pernah dibuat oleh siapa pun. Maka, dia nekad mencabar kebolehan dirinya untuk memutarkan gelung hula aluminium berukuran gergasi dengan diameter 5.14 m.

Gelung hula umumnya berukuran diameter sekitar 71 sentimeter untuk kanak-kanak dan kira-kira 1.02 m untuk orang dewasa. Walaupun tidaklah seberapa besar, tetapi bukan semua orang mampu memutarkannya, apatah lagi gelung hula gergasi yang bersamaan dengan kira-kira 26 gelung bersaiz normal seperti yang dilakukan Yamada.

______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

FacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare