
ADAKAH UMNO akan melepaskan Hishammuddin Tun Hussein daripada penggantungan selama enam tahun? Adakah bekas Naib Presiden UMNO itu harus membuat rayuan? Wajarkah anak bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Hussein Onn tersebut berbuat demikian?
Sebelum penulis mengulas lebih lanjut, cuba imbas kembali apakah punca bekas Naib Presiden UMNO itu digantung keahliannya bermula pada 27 Januari 2023? Adakah Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menyatakan dengan jelas apakah kesalahan Ahli Parlimen Sembrong itu?
Jawapannya TIDAK ADA! Yang ada hanyalah kenyataan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr.Puad Zarkashi yang mendedahkan dalam Facebook beliau pada 28 Januari 2023 bahawa Hishammuddin digantung kerana menjadi dalang menggerakkan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Tetapi itu kenyataan Dr.Puad entah betul entah tidak, kalau benarlah itu tuduhan atau kesalahan tersebut kenapakah ia tidak dinyatakan secara rasmi oleh kepemimpinan UMNO kepada Hishammuddin? Kenapakah sampai ke sudah, Hishammuddin tidak diberitahu apa kesalahan beliau?
Ini bukannya soal Hishammuddin ‘berlagak bodoh sombong’ atau mahu UMNO ‘terhengeh-hengeh’ merayu kepada beliau kembali kepada parti tetapi soal keadilan atau menghukum dengan adil. Hishammuddin tidak mendapat keadilan. Tiba-tiba sahaja MKT mengumumkan beliau digantung keahlian selama enam tahun atau dua kali pemilihan MKT.
Wajarkah Hishammuddin terhengeh-hengeh hendak membuat rayuan terhadap satu hukuman yang beliau sendiri tidak tahu apa salahnya! Sebab itulah Hishammuddin konsisten tidak mahu membuat rayuan.
Pada 22 Februari 2023, Hishammuddin berkata, beliau tidak akan merayu kerana sehingga hari ini punca penggantungannya tidak diketahui.
“Jadi, nak rayu buat apa? Kedua, dia (MKT UMNO) gantung tak ikut proses dan tak ikut prosedur. Saya tak diminta untuk jawab ke Lembaga Disiplin UMNO. Tak ada surat dikeluarkan Lembaga Disiplin UMNO untuk sekurang-kurangnya panggil saya untuk jawab secara bertulis,” katanya.
Pada 11 Disember 2024, Hishammuddin sekali menegaskan, “Buat apa saya nak merayu (dengan Presiden UMNO) sampai sekarang pun saya tidak tahu mengapa digantung”.
Isu penggantungan Hishammuddin kembali hangat diperkatakan apabila Pengerusi Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memberi jaminan akan membawa usul daripada UMNO Bahagian Sembrong ke peringkat tertinggi parti bagi mencadangkan Hishammuddin diterima semula dalam kepimpinan parti.
Onn Hafiz yang juga Menteri Besar Johor berkata usul tersebut merupakan manifestasi penghargaan akar umbi terhadap bekas Ketua UMNO Bahagian Sembrong itu yang banyak menyumbang kepada parti, termasuk membimbing beliau secara peribadi dalam arena politik.
“Sembrong ini bukan sekadar kawasan politik, ia tempat saya mula belajar berpolitik dan mengenal erti perjuangan. Orang yang membawa saya ketika itu adalah Datuk Seri (Hishammuddin),” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sembrong pada 21 Jun lalu.
Oleh itu sebelum mana-mana pemimpin kanan UMNO gelisah dengan cadangan UMNO Sembrong tersebut atau beria-ia mahu Hishammuddin membuat rayuan jika ingin dibebaskan daripada penggantungan, fikirkanlah dulu adakah Hishammuddin dihukum secara adil?
Bagaimana mungkin dalam sebuah parti besar seperti UMNO, hukuman ke atas seseorang dilakukan tanpa dinyatakan kesalahan? Bagaimana mungkin pemimpin yang dihukum seperti Hishammuddin dapat mempertahan atau membela kalau beliau sendiri tidak tahu apa salahnya?
Sama ada barisan kepemimpinan UMNO hari ini mahu menerima atau tidak, satu fakta yang tidak boleh dinafikan ialah apabila UMNO Johor menyatakan akan meminta UMNO pusat melepaskan penggantungan Hishammuddin, ia bukan sahaja mendapat reaksi positif dalam kalangan ahli UMNO tetapi mereka yang tidak berparti.
Ketika berbual-bual dengan sekelompok golongan profesional yang tidak menjadi ahli-ahli mana-mana parti mereka menyokong dan bersetuju dengan usaha membebaskan Hishammuddin daripada penggantungan.
Mereka menganggap pemimpin seperti Hishammuddin dan Khairy Jamaluddin adalah pemimpin masa depan UMNO. Mereka mengimbas kembali bagaimana kewibawaan Hishammuddin menguruskan isu kehilangan MH370 dan Khairy menangani Covid-19.
Mereka juga melihat Hishammuddin dan Khairy mempunyai material sebagai Perdana Menteri, soalnya adakah kedua-dua mereka digantung kerana melakukan apa-apa kesalahan atau dilihat boleh menjadi ancaman politik kepada pemimpin lain?
Lebih menarik ada pihak melihat seolah-olah ada cahaya di hujung terowong untuk UMNO jika kedua-dua pemimpin itu kembali aktif dalam parti tersebut. Ia memandangkan ketika ini sama ada suka atau tidak, bukan kata orang luar malah ahli UMNO sendiri percaya kehadiran Hishammuddin dan Khairy mampu akan memberi manfaat besar kepada politik UMNO.
Tetapi soalnya adakah kepemimpinan kanan UMNO akan berasa selesa dengan kehadiran dua pemimpin tersebut? Adakah pucuk pimpinan UMNO atas semangat demi kepentingan masa depan parti akan menghulur salam menyambut kembali dua insan berkenaan?
Penulis tidak pasti tetapi apa yang pasti, UMNO kini berada dalam satu kedudukan tidak memiliki seorang pemimpin yang boleh dilihat mampu membawa UMNO kembali untuk meraih sokongan rakyat khususnya orang Melayu.
UMNO juga dilihat tidak mempunyai apa-apa kelebihan berbanding parti politik lain sebaliknya sekadar menjadi pelengkap dalam kerajaan. Atas sebab itulah apabila ada pemimpin UMNO mahu parti tersebut kembali dominan dalam Pilihan Raya Ke-16 (PRU-16), ia boleh dianggap ‘mimpi indah di siang hari’.
Setakat ini tidak ada pemimpin UMNO yang dilihat mempunyai karisma mampu menarik sokongan khususnya anak muda kepada parti tersebut. Dan keadaan itu hanya boleh dibaiki jika berlaku perubahan dalam barisan kanan kepemimpinan UMNO.
Penulis tidak perlu berlapik dalam soal ini kerana di mana-mana pun orang bercakap kalau ‘orang itu’ tidak ada, situasi UMNO mungkin berbeza dan tidak mustahil mendapat kembali sokongan orang Melayu.
Justeru itulah, kehadiran Hishammuddin dan Khairy boleh dianggap mampu menyelamatkan UMNO daripada terus hanyut dalam PRU-6. Penulis tidak menafikan setiap pemimpin UMNO termasuklah barisan kepemimpinan tertinggi sekarang mempunyai jasa kepada parti tetapi ia belum mencukupi.
Ia memandangkan masa depan UMNO bukan bergantung kepada ahli UMNO sahaja dan ia sudah terbukti apabila 3.5 juta ahli parti itu gagal membantu memastikan UMNO terus berkuasa selepas PRU-14 pada tahun 2018. UMNO perlukan sokongan pengundi Melayu untuk terus hidup.
Oleh itu kalaulah ada dalam kalangan kepemimpinan UMNO lebih cenderung melihat ancaman politik peribadi berbanding kepentingan politik parti dalam kes Hishammuddin dan Khairy, percayalah ia akan memberi kesan buruk kepada UMNO dalam pilihan raya.
Penulis tidak kata Hishammuddin dan Khairy boleh pastikan kejayaan cemerlang untuk UMNO tetapi sekurang-kurangnya di situ ada ‘cahaya di hujung terowong’ berbanding kedudukan UMNO sekarang yang dilihat masih meraba-raba dalam kegelapan mencari hala tuju untuk mencapai kemenangan.

