Semoga bahasa Melayu kembali gemilang di UKM dan IPTA 

Dari Penulis

Oleh KAMAL SHUKRI A.S 

 MERUJUK  ikrar Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),  Prof. Dr. Sufian Jusoh untuk memperkasa kembali bahasa Melayu di universiti itu dan persada global, kita percaya kecil tapak tangan nyiru ditadahkan oleh para pejuang bahasa Melayu dan warganegara ini umumnya.  

 Sewajarnya usaha murni tersebut disambut oleh semua pihak termasuklah kira-kira 20 orang Naib Canselor universiti awam yang lain.  Janggallah jika hanya UKM, satu sahaja universiti di negara ini melaksanakan tugas murni tersebut sedangkan universiti awam yang lain tidak ambil peduli, mengambil sikap berlepas tangan umpama melepas pucuk masing-masing.  Usaha secara bersama-sama, berganding bahu demi memartabat kembali bahasa Melayu pastinya akan menjadi lebih berkesan dan bermakna dengan hasil yang optimum.

 Ketegasan dan iltizam yang teguh perlu bagi melaksanakan tugas tersebut yang pastinya bukan mudah walaupun sebelum ini pernah digalas oleh UKM dan universiti awam yang lain dengan jayanya selama hampir 20 tahun (1983-2003).  

 Ini kerana penulis difahamkan setiap kali ada pelantikan naib canselor baharu di UKM khasnya, maka adalah menjadi klise dalam ucapan awal meraikan pelantikan jawatan tertinggi tersebut, kerap berlaku ucapan yang sama nadanya, berjanji untuk memartabat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.  Hal tersebut seterusnya diulang tayang berkali-kali walaupun tindakan ke arah usaha tersebut hampir tidak ada.  

 Para profesor dan sarjana UKM yang begitu gigih memperjuangkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu perkuliahan di kampus dan seminar serta penyelidikan, sebahagian besar daripada mereka  terutama dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan perubatan telah lama bersara atau kembali ke rahmatullah. 

 Justeru jika benarlah Naib Canselor UKM yang baharu dilantik bersungguh-sungguh berhasrat untuk  mengembalikan wibawa bahasa Melayu, antara lain beliau perlulah segera menubuhkan jawatankuasa di bawah pentadbiran beliau sendiri sebagai Naib Canselor dan perlu merentasi semua bidang ilmu untuk diajar, dikuliahkan dalam bahasa Melayu di kampusnya tanpa kecuali. 

 Sebarang kekecualian jika diberi akan memberi ruang untuk mereka yang tiada iltizam terhadap peranan unggul bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di pusat pengajian tinggi mengelakkan diri daripada terlibat dengan usaha tersebut.  

 Di samping itu proses pemantauan perlu dilaksanakan dan menjadikan penerbitan dalam bahasa Melayu meliputi penyelidikan, jurnal dan seumpamanya  sebagai Indeks Pencapaian (KPI) yang bermerit tinggi dan diambil kira untuk kenaikan pangkat sebagai pensyarah kanan, Profesor Madya dan Profesor.  

 Hanya dengan pengiktirafan tersebut barulah para pensyarah, sarjana dan profesor akan menyahut usaha mengembalikan UKM ke landasan asal perjuangan penubuhannya.  Jika tidak jadilah seperti cerita “bangau oh bangau” dan hasrat tinggal hasrat yang tidak kesampaian. 

 Syarahan Tahunan juga patut diadakan tentang bahasa Melayu yang dapat menjadi suara keramat dari UKM sebagai pedoman bertindak bagi para pemimpin utama negara.  Akademi Tamadun Melayu atau  ATMA juga perlu  diperkasakan lagi dan diberi dana yang besar supaya dapat benar-benar menjadi institut tamadun Melayu yang membongkar segala khazanah silam bangsa Melayu, pemeribumian ilmu dan menyebarkan hasilnya ke seluruh dunia termasuk pusat pengajian antarabangsa.  

 ATMA sepatutnya menjadi institusi terulung di dunia bagi rujukan segala ilmu dan peradaban bangsa Melayu dan peribumi di negara ini.   Selainnya itu,  pihak universiti wajib memberi merit yang tinggi bagi semua penulisan berbahasa Melayu sama ada dalam bentuk buku, jurnal, penyelidikan dan lain-lain perlu sebagai pengiktirafan atas sumbangan murni memperkaya kepustakaan ilmu berbahasa Melayu berbanding penulisan dalam bahasa Inggeris yang malangnya turut diperkaya oleh sarjana kita sendiri dan juga pihak lain.    

Moga dokumen terbaru Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di IPTA (2023-2030)
tidak hanya menjadi bahan tempelan.

Sebenarnya telahpun didokumenkan rangka kerja memartabatkan bahasa Melayu di institusi pengajian tinggi yang disediakan oleh Kementerian Pengajian Tinggi pada tahun 2017 dan telah diedar ke seluruh universiti awam.  

 Malangnya difahamkan naskhah dokumen tersebut tidak diedarkan untuk rujukan mereka yang berkenaan seperti pegawai kanan fakulti untuk panduan pelaksanaan mereka.  Akhirnya terperamlah dan terkubur dasar yang sangat baik yang antara lain memperincikan usaha secara berperingkat untuk dilaksana di peringkat universiti.  

 Misalnya telahpun ada dasar untuk memartabat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di universiti awam 2016-2020 berserta pelan tindakan.  Malang sekali hanya kertas dan dokumennya yang “bertindak” di atas kertas putih yang bersih sedangkan hampir  tiada apa-apa yang berlaku dalam amalan di dewan kuliah, seminar dan sebagainya seperti yang sepatutnya untuk mencapai objektif dan matlamat yang suci lagi murni.  

 Bahang PPSMI dan “Dual-Language Programme” (DLP) masih membara dan menggencatkan usaha berterusan me-Melayukan ilmu terutama sains dan teknologi.  Moga dokumen terbaru Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di IPTA (2023-2030) tidak hanya menjadi bahan tempelan di kertas tetapi benar-benar direalisasikan pelaksanaan tersebut di semua 20 buah kampus  ITPA dan kampus lain termasuk institusi berkembar dan swasta secara berperingkat dengan segera dan tegas.  

 Jika negara maju lain boleh, mengapa Malaysia tidak boleh?  Alasan, helah atau dalih boleh sahaja dicari, diada-adakan sekiranya tiada iltizam atau kesungguhan.  Semoga pimpinan negara turut tegas dan berani mendukung tugas berat yang murni demi ilmu, bahasa dan negara.  Jika tidak pimpinan negara dan universiti kita hanya asyik sorong papan tarik papan, sekejap bahasa Melayu, sekejap lagi bahasa Inggeris.  

 Banyak masa telah dibazirkan, lebih 20 tahun (2003-2025) yang jika digunakan untuk membangun kepustakaan ilmu sains teknologi berbahasa Melayu, pastinya hasilnya amat besar dan bermanfaat.  Kesilapan seorang doktor bisa membunuh satu atau beberapa nyawa. Kesilapan pemimpin dan pendidikan bisa memudaratkan satu generasi atau kebih.  Moga pisang tidak berbuah dua kali?

Bahasa kita menjadi tanggungjawab sarjana dan pemimpin kita dan bukannya tanggungjawab sarjana dan pemimpin negara lain.  Ayuh pimpinanku dan universiti, di pundakmu terletak segala amanah termasuk tentang bahasa negara ini.  Beranilah tuan-tuan hamba bertindak dengan jujur dan tegas demi bahasa Melayu yang semakin terhimpit di negara sendiri.  Hamba berdiri teguh di sisi demi tugas murni tersebut sehingga ke hujung nyawa.

*Penulis adalalah  Pengerusi  Biro Insan Rabbani dan Komuniti Madani, Majlis Perundingan Melayu


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Gempa kuat landa Mindanao, gegaran dirasai di Semporna

GEMPA bumi kuat bermagnitud 6.8 melanda Mindanao, Filipina pada pukul 7.34 malam tadi. Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), gegaran turut...

More Articles Like This