Syarikat penerbangan Filipina, Philippine Airlines membuka pintu kepada destinasi baharu Kuala Lumpur – Guam bagi memberikan pengalaman silang budaya buat rakyat Malaysia.
Penolong Naib Presiden – Agihan Jualan, Philippine Airlines, Gene Pauline Banzon berkata, pihaknya yakin laluan itu mampu meletakkan Guam sebagai destinasi baharu untuk pasaran Malaysia di samping menjadikan syarikat penerangan itu sebagai pilihan utama ke mana-mana destinasi.

“Penerbangan ke Guam dengan Philippine Airlines dari KLIA akan melalui transit di Manila sebelum menyambung penerbangan terbang terus ke Guam di mana penumpang boleh memilih sama ada penerbangan kelas bisnes mahu pun ekonomi.
“Bermula dari hanya MYR 1,950.00 (tidak termasuk cukai), para penumpang kini boleh menikmati penerbangan harian dari Manila ke Guam, termasuk sambungan dari Kuala Lumpur. Ini membuka peluang lebih luas kepada pelancong Malaysia dan serantau yang ingin meneroka destinasi tropika yang unik di Pasifik Barat,” katanya menerusi satu kenyataan.

Laluan dari Kuala Lumpur ke Manila telah mula beroperasi sejak Jun 2017, manakala sambungan dari Manila ke Guam telah wujud sejak tahun 1990-an, dengan Philippine Airlines mengendalikan beberapa penerbangan setiap minggu.
Bermula 26 Oktober 2014, Philippine Airlines menaik taraf laluan Manila–Guam kepada penerbangan harian tanpa henti.
Malah, tambah , Gene Pauline, Philippine Airlines turut menitikberatkan soal pilihan hidangan halal di atas penerbangan di mana semua penerbangan antara Kuala Lumpur dan Manila sudah disahkan halal.
“Untuk penumpang yang memerlukan pilihan makanan halal, semua penerbangan antara Kuala Lumpur dan Manila sudah disahkan halal. Manakala bagi laluan Manila ke Guam dan sebaliknya, penumpang boleh membuat permintaan khas untuk makanan halal semasa tempahan.
“Perjalanan ke Guam menjadi lebih mudah dan fleksibel dengan penerbangan harian dua hala antara Manila dan Guam, termasuk sambungan harian dari Kuala Lumpur. Philippine Airlines menyediakan satu penerbangan setiap hari dari Kuala Lumpur ke Manila, dan dari Manila ke Guam — serta penerbangan pulang harian bagi kedua-dua laluan,” katanya lagi.
Bagi menambah nilai dalam pengalaman terbang bersama Philippine Airlines, syarikat ini turut menyediakan perkhidmatan Lounge Eksklusif dengan hanya serendah RM211 seorang dan boleh dinikmati sewaktu proses transit.

Baru-baru ini, Philippine Airlines dengan kerjasama Biro Pelancongan Guam telah membawa seramai 23 wakil agensi pelancongan dan 14 wakil media tempatan ke Guam sebagai sebahagian daripada inisiatif promosi bagi memperkenalkan serta merancakkan sektor pelancongan ke pulau tersebut.
Wakil media dibawa meneroka Guam, sebuah wilayah milik Amerika Syarikat (AS) dan terkenal dengan pangkalan tentera AS. Guam mempunyai jumlah penduduk dianggarkan mencecah 169,000 orang.


Apa yang menarik, penduduk asli Guam yang dikenali sebagai Chamorro mempunyai persamaan identiti dan cara hidup susur galur budaya Nusantara. Meskipun pesat membangun sebagai destinasi moden, Guam tetap teguh memelihara warisan budaya nenek moyangnya, menjadikan pulau ini unik dengan gabungan tradisi dan kemodenan.
Ikuti perjalanan dan pengembaraan Wanita ke Guam dalam siri penulisan seterusnya.

