PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin menyuarakan kebimbangan berhubung pemindahan besar-besaran secara paksa yang berterusan di Semenanjung Gaza dan memberi amaran bahawa lebih 700,000 orang telah kehilangan tempat tinggal sejak gencatan senjata tamat pada Mac susulan operasi ketenteraan Israel yang berterusan, lapor Anadolu Ajansi (AA).
“Semalam, pihak berkuasa Israel mengeluarkan satu lagi arahan pemindahan paksa bagi sebahagian kawasan Khan Younis untuk kali kedua dalam tempoh dua hari. Rakan sekerja kami menganggarkan lebih 50,000 orang berada di kawasan yang dijadualkan untuk dipindahkan,” kata jurucakap PBB, Stephane Dujarric pada sidang media.
“Kami mengingatkan anda bahawa sejak gencatan senjata berakhir pada Mac, lebih 700,000 manusia telah kehilangan tempat tinggal di Gaza, ramai antara mereka kehilangan tempat tinggal lebih daripada sekali dan mereka tiada tempat selamat untuk dituju,” katanya.
Dujarric berkata rakyat Palestin “dilaporkan terbunuh pada hujung minggu lalu ketika cuba mendapatkan makanan”, selain memaklumkan hospital kini “sesak” dengan pesakit yang cedera ketika mencari bantuan.
Baca artikel lain: Pemimpin BRICS desak gencatan senjata tanpa syarat di Gaza
“Kami sekali lagi dengan jelas mengutuk pembunuhan semua orang awam,” katanya, sambil merujuk laporan terbaharu Program Makanan Sedunia yang menyatakan “satu daripada setiap tiga orang di Gaza tidak makan selama beberapa hari, menyebabkan lebih ramai berisiko kebuluran.”
Beliau turut menggesa Israel membuka semua lintasan bagi memudahkan pengagihan bantuan di wilayah itu, sambil menekankan bahawa “untuk bulan keempat berturut-turut, pihak berkuasa Israel tidak membenarkan sebarang bekalan bahan api memasuki Gaza.”
“Bahan api adalah “nadi kehidupan” di Gaza dan pihak berkuasa Israel mesti membenarkan bekalan ini masuk tanpa sebarang kelewatan lagi,” katanya, sambil memberi amaran bahawa “Gaza boleh mengalami gangguan internet dalam masa terdekat akibat kekurangan bahan api.”
Beliau turut melaporkan bahawa tiga daripada lapan percubaan penyelarasan bantuan kemanusiaan telah ditolak Israel pada Ahad, sekali gus menghalang operasi kritikal.
— BERNAMA-ANADOLU
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

