SKDS diperluas kepada jip, pikap syarikat mulai 15 Julai

Izzat Nasuruden
Izzat Nasuruden
Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

Dari Penulis

KERAJAAN memperluaskan kelayakan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) kepada kenderaan persendirian syarikat kategori jip dan pikap, sekali gus membolehkan lebih ramai peniaga mikro serta kecil menikmati subsidi diesel bersasar.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, permohonan bagi sektor baharu itu dibuka bermula hari ini, manakala kelayakan subsidi akan berkuat kuasa pada 15 Julai ini, tertakluk kepada kelulusan permohonan serta pemilikan kad armada (fleet card).

Beliau berkata, peluasan itu menjadikan sektor berkenaan sebagai tambahan kepada dua sektor sedia ada di bawah SKDS, iaitu Sektor Pengangkutan Darat (Awam) dan Sektor Pengangkutan Darat (Barangan Keperluan Pengguna).

“Dengan penambahan sektor baharu ini, jumlah keseluruhan jenis kenderaan dan kelas kegunaan yang layak di bawah SKDS meningkat kepada 35 kategori,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Armizan berkata, penyaluran subsidi diesel bersasar dilaksanakan melalui beberapa mekanisme mengikut kumpulan penerima, termasuk BUDI Diesel untuk individu dan BUDI Agri-Komoditi bagi petani, penternak serta pekebun kecil yang dikawal selia Kementerian Kewangan.

Katanya, Skim Subsidi Diesel Nelayan pula dikendalikan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, manakala SKDS diuruskan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Beliau berkata, melalui SKDS, subsidi diesel disalurkan kepada entiti perniagaan, syarikat dan koperasi yang layak di seluruh negara menerusi penggunaan kad armada dengan kadar kuota tetap yang ditentukan mengikut jenis badan, kelas kegunaan dan kategori teknikal kenderaan.

Mengulas syarat kelayakan bagi sektor baharu itu, Armizan berkata, kenderaan mestilah didaftarkan sebagai kenderaan perniagaan dengan kelas atau kod kegunaan Persendirian Syarikat (AE) dalam sistem MySikap Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Selain itu, katanya, perniagaan perlu berdaftar sebagai pemilikan tunggal atau perkongsian melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau pihak berkuasa tempatan bagi Sabah dan Sarawak.

“Subsidi ini disasarkan untuk memanfaatkan peniaga mikro dan kecil yang berdaftar sebagai perniagaan milikan tunggal serta perkongsian.

“Sehubungan itu, pemilik perniagaan yang memenuhi syarat digesa mengemukakan permohonan dengan segera melalui portal MySubsidi,” katanya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Pemuda 23 tahun jatuh 9 meter ketika baiki silo di Ipoh

SEORANG pekerja kilang berdepan detik cemas apabila terjatuh dari ketinggian kira-kira sembilan meter ketika menjalankan kerja pembaikan di sebuah...

More Articles Like This