NAMA Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ‘rosak’ kerana mempertahankan UMNO ketika mana diugut untuk membubarkan parti itu selepas kekalahan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Exco Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid berkata, bapanya itu bukan maksum dan lebih jauh dari sempurna, tetapi beliau tidak pernah lupa tanggungjawab dan amanah yang diberikan sejak diamanahkan oleh perwakilan sebagai Presiden UMNO.
Menurut Nurulhidayah, Ahmad Zahid juga tidak pernah tunduk kepada tekanan kerana menjaga amanah perwakilan dan kepimpinan terdahulu untuk menjaga parti keramat UMNO.
“Politik bukan tentang jawatan tetapi tentang cinta, amanah dan sebuah kesetiaan,” katanya dalam hantaran di media sosial.
Mengulas lanjut, Nurulhidayah berkata, Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memaktubkan bahawa Islam adalah agama Persekutuan dan Bahasa Melayu, hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera, serta kedudukan Raja-raja Melayu tetap utuh dilindungi.
Beliau berkata, tidak ada satu pun parti dalam kerajaan hari ini yang mampu mengubah perkara ini sewenang-wenangnya dan segala perubahan mesti mendapat persetujuan majoriti besar Parlimen dan perkenan Majlis Raja-raja.
“BN, khususnya UMNO, berada dalam kerajaan bukan untuk menyerah kalah, tetapi untuk memastikan suara Melayu dan Islam tetap bergema dalam setiap dasar dan keputusan.
“Kita (UMNO) diberikan tanggungjawab untuk mentadbir kementerian seperti Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), MARA dan Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri (I) adalah Pengerusi kepada 29 Jawatankuasa Kabinet yang ditugaskan untuk membantu menyelaraskan tugasan khas mana-mana kementerian yang terlibat.
“Pastinya dalam 29 jawatankuasa kabinet yang beliau pengerusikan, salah satunya mempunyai agenda Melayu & Islam untuk terus diangkat dan dimartabatkan, sebagai contoh Dasar Tahfiz Negara dan Dasar TVET Negara,” katanya.
Nurulhidayah menambah, Melayu dan Islam tidak pernah terancam tetapi sebaliknya, semua pihak perlu memimpin kerajaan dengan maruah, memastikan keharmonian terjaga, kestabilan dikekalkan, dan masa depan generasi akan datang terjamin.
Beliau berkata, musuh sebenar Melayu dan Islam adalah perpecahan sesama sendiri.
“Bila kita berpecah, bila kita sibuk menjatuhkan sesama kita, bila kita lupa nilai persaudaraan dan perjuangan, ketika itulah kita benar-benar terancam,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

