ANAK Presiden UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid sah bertanding bagi merebut dua jawatan iaitu Exco Wanita UMNO dan Ketua Wanita Bahagian Bagan Datuk dalam pemilihan parti itu.
Ia sekali gus menyangkal khabar angin bahawa beliau akan menawarkan diri sebagai Ketua Pergerakan Puteri UMNO.
Memetik laporan BH Online, Nurulhidayah telah pun menghantar borang pencalonan untuk bertanding dua jawatan itu di Menara Dato’ Onn, hari ini.
Menurut Nurulhidayah, beliau memilih untuk bermula daripada bawah dengan bertanding di peringkat Exco Wanita dan bukan jawatan lebih tinggi.
Ketika ditanya mengapa beliau tidak bertanding di peringkat Puteri, Nurulhidayah memaklumkan lebih selesa dengan tugas dan peranan Wanita dalam UMNO.
“Ini bukan parti bapa saya. Bila saya sertai UMNO, saya perlu masuk secara berperingkat, berhemah dan bukan guna pengaruh bapa.
“Setiap cabang dalam UMNO ada tugas tersendiri. Puteri bertugas untuk menarik minat orang muda kepada UMNO. Tugas Wanita lebih matang dan peranan Wanita UMNO untuk mengukuhkan lagi parti,” jelasnya.
Baca artikel berkaitan: Shahrizat tanding Ketua Wanita UMNO?
Anak sulung Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu turut menepis tanggapan umum bahawa beliau akan menjadi ‘telinga’ bapanya dalam UMNO.
Beliau berkata, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) adalah ‘telinga’ Presiden dalam parti.
“Saya tidak terlibat dengan MKT. Mungkin selepas abah bersara saya akan pertimbangkan,” katanya.
Mengenai perancangannya kepada Wanita UMNO, Nurulhidayah berkata, beliau mahu sayap yang menjadi tulang belakang parti itu sebagai wadah perjuangan yang tidak dipandang enteng dan disia-siakan parti.
Malah, beliau mahu mengekalkan momentum tiada seorang pun ahli Wanita yang melompat parti di samping memberi semangat baharu.
“Saya mahu Wanita UMNO kekal relevan dalam arena politik negara. Wanita UMNO harus mengangkat semangat kerajaan perpaduan dan sentiasa sedia bekerjasama dengan semua parti,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

