Mungkin ramai tidak menyangka, Sabah yang terletak di utara pulau Borneo, adalah syurga bagi pencinta burung. Dengan lebih 600 spesies burung yang unik dan sebahagiannya adalah spesies endemik iaitu hanya boleh ditemui di Sabah, ini merupakan peluang terbaik buat peminat atau pemerhati bagi mencerap burung untuk lebih dekat dengan alam semula jadi.
Dari pergunungan hutan ke hutan hujan tanah rendah hingga ke kawasan paya, setiap habitat membawa simfoni dan karakter burung yang tersendiri.
Fokus pada perkara asas dan mudah dahulu
Mungkin anda teruja dengan kepelbagaian burung di Sabah, namun cara terbaik untuk bermula adalah dengan memberi tumpuan kepada spesies biasa dan mudah dikenali seperti burung-burung yang sering terlihat di taman, kebun, dan tepi jalan seperti burung merbah, burung kelicap, dan burung raja udang.
Burung-burung ini biasanya berwarna-warni, mudah didengari, dan senang dilihat, menjadikannya pilihan sesuai untuk pemula. Ini dapat membantu anda mempelajari dan mengenal pasti spesies ini melalui bunyi-bunyian dan seterusnya membina asas yang kukuh.
Latihan ini membantu mata anda mengenali perbezaan halus pada warna bulu, bentuk badan, dan tingkah laku, serta melatih telinga untuk membezakan panggilan dan nyanyian mereka yang unik. Lama-kelamaan, asas ini akan memberi anda keyakinan dan kemampuan untuk meneroka hutan-hutan Sabah yang lebih padat, di mana burung-burungnya lebih sukar ditemui dan pengenalan menjadi lebih mencabar.

Belajar bahasa burung
Semasa aktiviti mencerap burung, peka kepada bunyi dan fokus kepada penglihatan. Banyak spesies burung yang bersifat pemalu dan mempunyai corak penyamaran yang hebat, menjadikan penglihatan secara langsung agak mencabar.
Namun panggilan dan nyanyian burung sering menjadi petunjuk utama kehadiran mereka. Oleh itu, luangkan masa untuk mempelajari bunyi burung yang biasa didengar adalah salah satu cara paling berkesan untuk meningkatkan kemahiran.
Aplikasi seperti Merlin Bird ID dan BirdNET sangat berguna terutamanya bagi penggiat baharu kerana ia dilengkapi dengan fungsi pengenalan suara yang membolehkan anda mengenal pasti spesies burung berdasarkan panggilan yang tidak dikenali.
Penggunaan aplikasi secara konsisten, serta merakam sendiri suara burung di sekitar dapat membantu meningkatkan lagi kepekaan pendengaran. Apabila anda semakin biasa dengan kepelbagaian vokalisasi burung, aktiviti mengesan dan mengenal pasti spesies yang sukar dilihat di dalam kanopi atau semak tebal pun akan menjadi semakin mudah.

Tidak perlu berlebihan, labur pada peralatan asas
Hobi ini tidak mahal dan tidak memerlukan peralatan yang rumit. Sebuah teropong 8×42 yang berkualiti adalah pilihan permulaan yang terbaik kerana ia memberikan keseimbangan sempurna antara pembesaran, kecerahan, dan kemudahan penggunaan. Dipadankan lagi dengan panduan lapangan seperti Field Guide to the Birds of Borneo oleh Quentin Phillipps, anda sudah memiliki alat asas yang memadai untuk memulakan pengembaraan memerhati burung.
Seiring dengan masa dan minat yang semakin mendapat, barulah naik taraf peralatan seperti teropong yang lebih canggih atau kamera yang berkualiti tinggi. Namun, perlu diingatkan bahawa kemahiran seperti kesabaran, ketelitian, dan pengetahuan jauh lebih penting daripada peralatan-peralatan yang canggih.

Tanam sifat sabar dan enjoy the journey
Ia bukan sekadar hobi, namun ia juga melatih tahap kesabaran. Ada rezeki, anda dapat saksikan spesies burung secara aktif, namun pada waktu lain, mungkin penantian itu satu penyiksaan.
Gunakan saat-saat itu untuk menikmati keindahan alam sekeliling, berkomunikasi dengan tumbuhan dan pokok dan anda mungkin terkejut bagaimana respon alam terhadap manusia dan setiap gerak geri kita.
Pengalaman sebegini bukan sahaja mengeratkan hubungan anda dengan ekosistem alam semula jadi, malah turut meningkatkan lagi kemahiran pemerhatian anda.

Sertai kumpulan pemerhati burung tempatan dan lawatan berpandu
Sabah mempunyai komuniti pemerhati burung yang aktif dan mesra, sentiasa bersedia berkongsi ilmu serta minat. Sertai kumpulan pemerhati burung tempatan, sama ada melalui WhatsApp, Telegram, Facebook, atau kelab secara bersemuka, boleh membantu kemahiran anda.
Komuniti ini juga sering berkongsi maklumat terkini mengenai penampakan burung dan menganjurkan aktiviti berkumpulan. Malah lawatan berpandu yang dikendalikan oleh pemerhati burung tempatan yang berpengalaman sangat bernilai, terutama bagi mereka yang baru ingin menceburi bidang ini. Mereka mempunyai pengetahuan mendalam tentang habitat burung, tingkah laku, serta corak bermusim burung di Sabah.
Dengan bimbingan mereka, anda akan dibawa ke lokasi-lokasi terbaik untuk mencerap, dibantu mengenal pasti spesies yang sukar ditemui, dan diajar cara membaca selok-belok di dalam hutan.

Cara menempah aktiviti mencerap burung pertama anda
Dah bersedia nak memulakan pengembaraan pertama memerhati burung di Sabah? Tempah dengan agensi pelancongan berlesen yang menganjurkan lawatan berpandu khususnya untuk pemerhati burung atau hubungi badan-badan seperti Persatuan Pemerhati Burung Sabah (Sabah Birdwatchers Association) atau Borneo Bird Club.
Agensi-agensi ini menyediakan pemandu pelancongan berpengalaman yang memiliki pengetahuan mendalam mengenai lokasi terbaik, tingkah laku burung, serta mampu menyesuaikan aktiviti mengikut tahap kemahiran peserta.

Selain itu, Festival Burung Borneo yang dianjurkan setiap tahun akan kembali berlangsung pada 25 hingga 26 Oktober 2025 di Rainforest Discovery Centre, Sandakan. Festival ini mengumpulkan peminat burung tempatan dan antarabangsa, jurugambar, serta pejuang pemuliharaan dalam satu acara penuh semangat untuk meraikan keindahan alam sekitar dan kepelbagaian burung di Sabah.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi di www.sabahtourism.com.

