ENGGAN bekas rakan kongsi terus menggunakan nama tanpa kebenaran bagi tujuan mengaut keuntungan menerusi jualan produk, pelakon Azlan Komeng dan isteri, Nur Nilam Ortiz telah mengambil tindakan undang-undang.
Menurut Nur Nilam, bekas rakan perniagaan masih menggunakan namanya untuk tujuan promosi produk, biarpun sudah tidak mempunyai sebarang kaitan.
“Sebelum ini, syarikat Nilam HQ, adalah hak saya 100 peratus. Selepas saya bergabung dengan pihak berkenaan, saya izinkan mereka menggunakan nama syarikat.
“Selepas saya menarik diri, saya membawa bersama jenama itu dan mereka tidak boleh menggunakannya lagi.
“Tetapi, selepas itu, pihak berkenaan mendaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dengan menggunakan nama Nilam HQ Resources pula,” katanya kepada URTV.
Nur Nilam berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pelancaran produk baharu di bawah syarikat Nilam Empire di sebuah hotel di Damansara, hari ini.
Ujar Nur Nilam, dia yang pada asalnya menubuhkan syarikat terbabit sekitar lima atau enam tahun lalu sebelum membuat keputusan menarik diri pada bulan Ramadan baru-baru ini.
“Sekarang perniagaan saya diteruskan pula di bawah syarikat Nilam Empire. Selain kerugian wang ringgit sehingga tujuh angka, saya juga berhadapan dengan tanggapan buruk daripada pengguna selain sukar untuk bangkit bersama syarikat baharu.
“Banyak kesan kepada kami terutama kepercayaan orang kepada saya. Sebab itu akhirnya saya bawa perkara ini ke depan selepas mengambi masa antara dua hingga tiga bulan untuk berdiam.
“Isu ini juga memberi kesan kepada mental. Jadi, saya mencari jalan penyelesaian. Selepas berbincang dengan peguam, saya fikir perlu dedahkan apa yang berlaku,” tegasnya.
Sementara itu, Azlan kesal selain mendakwa bekas rakan perniagaan itu pernah bertindak melampaui batas dengan mengganggu ahli keluarganya.
“Tindakan ini bukan sahaja tidak beretika, malah mencerminkan satu cubaan tekanan dan intimidasi terhadap keluarga kami. Lebih mengejutkan, individu terbabit turut menyebarkan kenyataan berunsur fitnah dan berniat jahat.
“Tindakan ini jelas berniat untuk merosakkan reputasi dan menjejaskan nama baik kami secara terbuka,” katanya.
Peguam yang mewakili mereka, Farhayu Aziana Mazlan daripada Tetuan Kyara & Co kini sedang mengenal pasti beberapa individu yang terbabit dalam isu berkenaan sebelum menghantar surat tuntutan (LOD).
Untuk tindakan undang-undang ini, apa yang kami ambil pada peringkat awal adalah kenal pasti individu terbabit yang perlu dihantar LOD.
“Sekarang sedang dalam proses dan ada yang kita sudah hantar. Malah, ada LOD yang bakal dihantar. Setakat ini, kami belum mulakan tindakan mahkamah.
“Kami masih menunggu jawapan dalam tempoh 14 hari untuk pihak terbabit memberi jawapan LOD itu,” katanya.
Malah, seorang peguam Isznie Anis Ismail yang turut mewakili mereka turut berkongsi beberapa tuntutan anak guamnya.
“Setakat ini, kita hantar LOD sebagai tuntutan untuk pihak berkenaan mengeluarkan sebarang hantaran membabitkan anak guam kami.
“Selain itu, LOD menuntut pihak berkenaan berhenti ‘menunggang’ atau menggunakan nama Nilam selepas berakhir usaha sama bersama syarikat lama,” katanya.

