
‘’Baca,faham dan hormati Perlembagaan Persekutuan dan Kedaulatan Raja-Raja Melayu’’.
Wah! Nampak tegas betul ayat ini yang dilafazkan oleh beberapa pemimpin UMNO terhadap Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng yang dalam kenyataannya membantah tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pemimpin DAP itu berhujah, semua sabitan jenayah mesti dihormati dan dilaksanakan tanpa pilih kasih.
‘’Malaysia tidak boleh menjadi negara dua darjat…satu undang-undang untuk golongan elit, satu lagi untuk rakyat. Kedaulatan undang-undang mesti ditegakkan dengan saksama dan konsisten terhadap semua, tanpa pengecualian,’’ kata Lip Eng.
Walaupun kenyataan Lip Eng itu boleh dianggap tidak wajar kerana ia melibatkan soal peruntukan khas yang diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong dalam Perlembagaan tetapi apa pemimpin UMNO boleh buat?
Mereka hanya boleh menjerit melahirkan perasaan tidak puashati terhadap pemimpin DAP itu tetapi apa kesannya? Ketika UMNO kini menjadi sahabat kepada DAP? Ketika UMNO kini diterima oleh DAP untuk berada dalam kerajaan walaupun UMNO kalah teruk dalam PRU-15, ketika UMNO kini turun berkempen bersama-sama PH-DAP dalam pilihan raya dan akan bersama buat pertama kali dalam sejarah dalam Pilihan Raya Umum-16 nanti, adakah ‘jeritan’ pemimpin UMNO akan beri kesan kepada DAP?
Penulis percaya ia tidak akan memberi kesan apatah lagi mengubah sekelumit pun pendirian DAP dalam isu melibatkan Najib malah dalam beberapa isu sebelum ini DAP tetap tegas mempertahankan prinsip mereka.
UMNO tidak perlu marah kepada pemimpin DAP kerana sememangnya semua orang tahu sejak awal lagi DAP dulu, kini dan selamanya tidak berubah dalam pendiriannya tetapi mereka akan bersedia bertolak ansur jika sesuatu perkara itu akan memberi keuntungan politik kepada mereka.
Atas dasar itulah mereka bersedia menerima UMNO untuk membentuk kerajaan walaupun sebelum ini mereka menganggap UMNO parti yang penuh dengan pemimpin korup. Mereka berbuat demikian demi mendapat kuasa bukan kerana mereka mahu sangat berkawan dengan UMNO.
Oleh itu pemimpin UMNO tidak payahlah hendak melenting kepada Lip Eng kerana pemimpin DAP itu hanya mempertegaskan pendirian beliau dan partinya. Mungkin seperti biasa kita akan mendengar pemimpin UMNO akan berkata kenyataan Lip Eng tidak mewakili DAP, tetapi penulis tidak fikir dalam isu melibatkan Najib, pendirian DAP berubah.
UMNO perlu faham apabila mereka sudah bersedia berkawan dan bekerjasama dengan DAP sehingga terlahirnya istilah UMDAP-mantap, mereka perlu menerima dan menghormati pendirian DAP dalam isu-isu tertentu kerana DAP tidak akan berubah semata-mata untuk menjaga hati UMNO.
Jika DAP merasakan sesuatu isu itu bertentangan dengan prinsip mereka dan boleh menjejaskan sokongan pengundi kepada parti tersebut, DAP akan bertegas. DAP tidak seperti UMNO. Pemimpin UMNO baik, sentiasa mahu menjaga hati kawan dan mempunyai sikap tolerasi.
Sebab itulah walaupun mereka marah dengan kenyataan Lip Eng namun pada masa sama, ada pemimpin UMNO melontar keyakinan bahawa strategi gabungan PH-BN mampu meraih kemenangan besar berdasarkan dapatan daripada pilihan raya terdahulu.
Ia termasuklah kejayaan BN di PRK apabila memenangi pusat daerah mengundi (PDM) yang dahulunya mereka tidak pernah menang kerana kawasan majoriti bukan Melayu tetapi mampu berbuat demikian dengan kerjasama PH-BN.
Berikutan keadaan itu adakah ahli-ahli UMNO yakin pemimpin mereka akan terus bertegas dengan DAP? Kalau setakat membuat kenyataan membidas pemimpin DAP mungkin sahaja, lebih daripada itu tidak mungkin apatah lagi meninggalkan kerjasama dengan DAP. Pemimpin UMNO sudah menyatakan parti itu tidak akan bertanding solo dalam PRU-16 atas alasan senario politik negara telah berubah.
Dengan pendirian itu tidak mungkin apapun kenyataan oleh pemimpin DAP dalam isu tertentu termasuk isu adendum Najib ia boleh sampai ke tahap UMNO membatalkan kerjasama dengan DAP. UMNO memahami bahawa mereka amat mengharapkan PH khususnya DAP di kawasan yang pengundi bukan Melayu menjadi pengundi penentu. Perlu ingat kekuatan PH ada kepada DAP. PH menang kerana sokongan padu pengundi DAP. Ini fakta!
Kalau UMNO tidak mendapat sokongan penyokong PH khususnya DAP tidak mungkin UMNO boleh mencapai kemenangan dalam PRU-16. Adakah tindakan UMNO itu salah? Sudah pasti tidak kerana itulah taktikal terbaik untuk memastikan UMNO menang pilihan raya. Ini memandangkan UMNO sama sekali tidak boleh bergantung kepada pengundi Melayu. Ia samalah juga seperti mana bola sepak Malaysia menggunakan pemain warisan atau naturalisasi bagi meningkatkan pencapaian pasukan negara di peringkat antarabangsa. Itulah namanya strategi.
Apabila UMNO membuat keputusan bekerjasama dengan PH, tindakan tersebut adalah taktikal kerana itu sahaja pilihan UMNO ada untuk kembali berkuasa biarpun sekadar menjadi pelengkap. Jangan marah bila penulis menggunakan istilah pelengkap kerana ia fakta berdasarkan jumlah ahli Parlimen dalam kerajaan.
Kesemuanya 154 orang, kalaupun UMNO membuat tindakan menarik sokongan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim masih mempunyai 124 sokongan – tetap jadi kerajaan biarpun tanpa majoriti dua pertiga.
Justeru tidak perlu pemimpin UMNO mahu ‘tunjuk garang sangat’ bila ada pemimpin DAP membuat kenyataan dalam sesuatu isu kerana semua orang tahu DAP tidak pernah berubah, yang berubah atau mungkin dilihat berubah adalah UMNO.
Berdasarkan keadaan itu anggap sahaja kenyataan pemimpin UMNO membidas pemimpin DAP dalam isu adendum Najib hanyalah polemik sementara, bagaimanapun PH seperti mana kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid perlu faham perasaan pihak dalam Barisan Nasional (BN) dalam isu tertentu.
“Kita faham dia tapi jangan selalu tak faham perasaan kita,” katanya biarpun dalam nada lembut tetapi ia menunjukkan ketegasan beliau dalam isu sesuatu berkaitan PH.
Pada masa sama penulis juga berpendapat kepemimpinan tertinggi UMNO perlu memahami perasaan ahli-ahli parti Melayu itu dalam kerjasama dengan DAP. Kenapa penulis berkata demikian? Rajin-rajinlah pemimpin terlibat bercakap hati ke hati dengan ahli akar umbi sebelum PRU-16!
Jangan syok sendiri sahaja buat kenyataan berkaitan kerjasama dengan PH tanpa tahu apa sebenarnya perasaan ahli-ahli tersebut. Penulis sekadar mengingatkan supaya tidak wujud slogan, ‘Kami tetap sayang UMNO tetapi terpaksa undi Bersatu-Pas’’.

