Jauh di timur laut Iceland, tersorok sebuah kawasan yang kelihatan seperti runtuhan kota purba. Kelihatan dinding-dinding tinggi dan lorong sempit daripada batu hitam yang berselerakan dalam formasi aneh, seolah-olah ditinggalkan oleh makhluk dari zaman silam.
Lokasi ini dikenali sebagai Dimmuborgir. Dalam bahasa Iceland ia bermaksud ‘Kota Gelap’ atau ‘benteng gelap’. Diberi nama sedemikian kerana bentuk kawasan ini yang seakan-akan kota purba. Jika anda pernah menonton rancangan TV, Game of Thrones, lokasi ini ada dimuatkan dalam siri TV tersebut.

Kota ini bukan dibina oleh tangan manusia. Ia lahir daripada kuasa alam semula jadi. Kawasan ini terbentuk lebih 2,000 tahun yang lalu hasil letusan gunung berapi.
Aliran lava telah bertembung dengan tanah berair di sini. Apabila lava menyelubungi tanah itu, air mula mendidih dengan ganas. Ia menghasilkan wap panas yang menolak ke atas menembusi lava, lalu membentuk tiang-tiang yang berongga. Saiznya pelbagai, daripada sebesar paip saliran sehinggalah setebal beberapa meter.
Apabila lava terus mengalir ke kawasan lebih rendah, bahagian atasnya mula runtuh. Tetapi tiang-tiang yang sudah beku itu kekal berdiri, menjadikan kawasan ini seolah-olah seakan rangka kota purba yang musnah.
Misteri Di Sebalik Keindahan
Hari ini, Dimmuborgir menjadi tarikan pelancong dan pencinta geologi dari seluruh dunia. Di sekelilingnya, permukaan lava lama masih kelihatan utuh.
Terdapat struktur seperti bilik dan ruang besar yang terbentuk daripada lava beku. Ada juga tiang-tiang batu yang menjulang tinggi secara dramatik, seperti menara kastil yang ditelan masa.

Sesetengah ruang di sini cukup besar untuk manusia masuk ke dalamnya. Sebahagian pengunjung yang datang ke sini memberitahu terasa seperti berada dalam kota ghaib.
Dalam masyarakat Iceland yang kaya dengan mitos dan cerita rakyat, Dimmuborgir bukan sekadar tempat yang pelik rupa bentuknya. Mereka percaya ia adalah laluan ke dunia makhluk ghaib, malah ada yang menggelarnya sebagai ‘pintu masuk ke neraka’.
Salah satu kisah terkenal menyebut bahawa Grýla, makhluk gergasi wanita yang menyeramkan dalam mitos rakyat Iceland, hidup di kawasan pergunungan. Salah satu lokasi tempat tinggalnya ialah di Dimmuborgir.
Gryla akan turun dari gunung pada musim sejuk untuk menculik dan memakan kanak-kanak yang nakal. Dan ia mempunyai 13 orang anak lelaki digelar sebagai Yule Lads, yang akan turun membuat onar di rumah manusia 13 hari sebelum menjelangnya Krismas.

Penduduk Iceland juga percaya dengan kewujudan Huldufólk, makhluk ghaib seperti peri-peri dan elf yang dikatakan tinggal di dalam gua atau batu-batu besar dan tidak suka dilihat oleh manusia. Mereka percaya, struktur batu aneh di Dimmuborgir adalah tempat tinggal golongan Huldufólk.
Selain itu, kawasan ini juga dianggap sebagai rumah troll, makhluk yang mendiami kawasan pergunungan terpencil yang dipenuhi batu dan gua. Troll dikatakan hanya keluar pada waktu malam sahaja kerana tidak boleh terkena cahaya matahari.
Formasi batu aneh di Dimmuborgir juga dianggap sebagai troll yang telah menjadi batu buat selama-lamanya kerana terkena cahaya matahari. Apatah lagi sebahagian bentuk-bentuk batu di Dimmuborgir ada yang menyerupai kepala, badan atau seperti makhluk yang sedang membongkok.

Ada juga legenda yang menyebut bahawa Dimmuborgir bukan sekadar kota biasa, tapi sebenarnya cerminan kota lain yang terletak di bawah bumi – seperti dunia terbalik.
Kononnya sesiapa yang masuk ke Dimmuborgir dan tersesat boleh tergelincir masuk ke alam lain, dan tidak dapat kembali ke dunia sebenar.
Fenomena kabus tebal yang sering berlaku di kawasan Dimmuborgir juga dikaitkan dengan kisah misteri. Penduduk tempatan percaya kabus itu ‘hidup’ dan melindungi kota gelap itu daripada dilihat sepenuhnya oleh manusia.
Ada juga versi kisah lama yang menyebut Dimmuborgir sebagai tempat roh-roh tidak tenang tinggal selepas mati. Kononnya roh-roh itu tidak dapat pergi ke syurga atau neraka, lalu terperangkap di antara dua alam dan Dimmuborgir ialah tempat persinggahan roh tersebut. Dikatakan pada malam-malam tertentu, orang boleh terdengar suara, bisikan atau bunyi tapak kaki dari dalam batu-batu gelap itu.
Walaupun mitos dan cerita rakyat menambah unsur mistik kepada tempat ini, Dimmuborgir kekal sebagai contoh menakjubkan kuasa semula jadi bumi. Ia menggabungkan elemen keindahan, geologi dan budaya yang membuat ia menarik dalam cara tersendiri.

___
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

