‘Sembang kari’  TVET patahkan semangat belia miskin

Dari Penulis

 DALAM tempoh sebulan lalu, saya diuji Allah untuk membantu tiga kes belia yang boleh dikategorikan golongan B40 menghadapi masalah untuk memenuhi cita-cita mendapatkan tempat dalam kemahiran TVET.

Dalam kes pertama, anak seorang sahabat saya yang sangat berminat dalam kemahiran gunting rambut kerana beliau bercita-cita mahu membuka kedai gunting rambut, memandangkan beliau sudah berjinak membantu kenalannya yang mengusahakan ‘mini barber’ di Ipoh.

Beliau memohon salah satu pusat latihan di bawah agensi yang membantu Bumiputera di Gopeng, Perak. Pusat kemahiran ini memang sudah wujud sejak tahun 1980an lagi untuk menangani masalah remaja Melayu tercicir. Kursus pendek 3 bulan dalam dandanan rambut ini gagal diperolehi beliau kerana difahamkan, kuota pelatih untuk tahun ini hanyalah sekitar 20 orang sahaja.

Sebagai keluarga B40, sudah pasti mereka tidak mampu membiayai yuran yang tinggi untuk belajar di pusat latihan swasta. Seperkara lagi ialah lokasi. Keluarganya berharap agar dapat belajar di Ipoh bagi menjimatkan kos dan meneruskan kerjaya dengan membuka kedai gunting rambut secara kecil-kecilan di Ipoh juga.

Dalam keadaan buntu, keluarga ini mencari saya dan akhirnya saya mencadangkan beliau untuk belajar di Kuala Lumpur, di salah sebuah pusat latihan kemahiran swasta dalam bidang dandanan rambut yang berada di bawah ILKS kerjasama dengan kami.

Memandangkan beliau golongan B40, kami sama-sama mendapatkan bantuan pembiayaan asnaf daripada agensi berkaitan sehingga boleh melapor diri di ILKS berkenaan,bukanlah mudah terutama menghadapi karenah birokrasi tajaan. Keluarganya sendiri hampir putus asa tetapi saya tenangkan dengan diiringi usaha saya sendiri memastikan anaknya dapat belajar.

Akhirnya, berjaya juga belia itu melapor diri dan difahamkan sudah memasuki kelas kemahiran yang disediakan. Namun semangatnya memang nyata apabila sanggup meredah lebuhraya menaiki motosikal yang sarat dengan pelbagai keperluannya untuk tinggal di asrama yang disediakan untuk tempoh tiga bulan akan datang. Jika kita melihat keadaan itu sebagai ibu bapa, pastinya akan timbul rasa sebak juga tetapi kagum dengan semangat TVET mereka.

Dalam kes kedua pula, seorang lagi anak miskin yang asalnya memohon bidang elektrik melalui permohonan berpusat TVET yang disediakan kerajaan dalam bidang eletrikal. Beliau memaklumkan kepada saya beliau gagal mendapat tempat dengan alasan tempat sudah penuh. Beliau berusaha menghubungi ILKA berkenaan dan jawapan yang diberikan ialah “mohon lagi tahun hadapan sebab tahun ini ILKA kami dah penuh”.

Beliau bertanya pula kepada ILKA lain yang turut dipohon. Kali ini tiada jawapan.

Saya bertanya kepada belia yang nampak kecewa ini apakah pilihannya sekarang?. Beliau telah diminta oleh ibunya untuk bekerja sahaja dan melupakan dulu Impian untuk belajar TVET.

Dalam kes yang ketiga pula, melibatkan belia yang sudah berada di sebuah sekolah vokasional. Setelah menamatkan pendidikan peringkat sijil, mereka sepatutnya menyambung pula peringkat diploma di sekolah berkenaan. Namun anak muda ini pada mulanya memilih untuk tidak menyambung peringkat diploma kerana mereka tidak dibekalkan elaun saradiri. Difahamkan pihak kerajaan tidak menyediakan elaun saradiri untuk tempoh 3 tahun pengajian diploma tersebut.

Tambahnya lagi, beliau menjangkakan 40 peratus rakan-rakannya yang rata-rata adalah anak miskin mungkin tidak akan menyambung sesi diploma berkenaan pada hujung bulan ini. Walau bagaimanapun, saya berbincang dengan keluarganya dengan menyusun kos pengajian yang boleh dijimatkan memandangkan lokasi sekolah berkenaan tidak jauh dengan rumah mereka. Akhirnya anak ini bersetuju meneruskan pengajian diplomanya.

Berdasarkan cerita di atas, timbul persoalan-persoalan berikut:

1.             Sejauh manakah kebenaran kononnya kerajaan telah menyediakan 300,000 peluang dan tempat TVET terutama untuk lepasan SPM? Kononnya juga tahun ini disasarkan 500,000 tempat pula. Realitinya betulkah?

2.             Dalam kes belia 1, apakah berbaloi kerajaan mengekalkan sesebuah pusat latihan dengan kapasiti kuota tidak lebih 20 orang setahun? Saya yakin kos operasinya lebih tinggi berbanding keberhasilannya.

3.             Bagi kes belia kedua, apakah calon-calon tidak ditempatkan di ILKA lain sebagai pilihan kedua secara automatik dalam sistem permohonan berpusat TVET yang disediakan?

4.             Jika pelajar tingkatan enam diberikan elaun khas, kenapa pelatih peringkat diploma di sekolah kerajaan tidak disediakan elaun untuk bidang TVET?

Saya ajukan semua persoalan ini kepada mereka yang sedang berkuasa di Putrajaya. Jawapan melucukan saya diberikan mereka yang antara lainnya ialah mereka bangga kerana ramai anak muda mahu menyertai TVET hingga tidak cukup tempat.Namun mereka gagal menjawab berapakah sebenarnya tempat yang disediakan? Belum lagi persoalan post latihan untuk memastikan kualiti kebolehpasaran sebenar (kononnya sehingga 85 peratus kebolehpasaran). Zaman berubah tetapi cara bekerja kita masih ‘belum ada reformasi’ seperti yang dijanjikan sekian lama.

Dalam tiga kes yang saya kendalikan itu, dua daripadanya berjaya dipujuk untuk meneruskan niat TVET mereka. Seorang lagi memilih untuk bekerja sahaja. Setidak-tidaknya mereka masih bernasib baik sebab mendapat kaunselor seperti saya. Saya yakin, ramai lagi yang menerima nasib yang sama di luar sana.

Saya tidak mahu terlalu terperinci menjelaskan hal ini terutama menyebut terus institusi berkenaan kerana hari ini, komen kita bukan sahaja dikecam balik oleh orang politik yang koyak rabak tetapi mereka yang memegang jawatan dalam kuasa kerajaan juga tidak suka jika kita menonjolkan sedikit kepandaian dan kebolehan kita.

Maka teringat saya kata-kata salah seorang anak muda yang menemui saya tempoh hari iaitu : “Dengar ‘sembang TVET’ ini memang berdegar-degar pakcik. Tapi bila kami pun jenuh nak mengharunginya…SEMBANG KARI!

Kepada orang politik, ingatlah bahawa mereka ini adalah pengundi berumur 18 tahun yang menjadi cabaran PRU akan datang.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

PRN Johor: Kempen makin panas, billboard calon PH dirosakkan pihak tertentu – Nie Ching

KEHANGATAN Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semakin terasa apabila beberapa insiden sabotaj terhadap kempen calon Pakatan Harapan (PH) dilaporkan...

More Articles Like This