Dr Mahathir, Ahmad Zahid capai persefahaman tarik balik dua saman di Mahkamah Tinggi

Dari Penulis

BEKAS Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mencapai kata sepakat untuk menarik balik dua tuntutan saman fitnah yang dikemukakan antara mereka di Mahkamah Tinggi.

Dr Mahathir, 100, selaku plaintif, menarik balik saman yang difailkan terhadap Ahmad Zahid, 73, atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah berhubung isu “kutty”, tanpa kebebasan untuk memfailkan semula tuntutan itu.

Sementara itu, Ahmad Zahid pula menarik balik saman terhadap Dr Mahathir berhubung dakwaan beliau menggunakan kedudukannya bagi mempengaruhi bekas Perdana Menteri itu untuk campur tangan dalam prosiding kesnya yang masih berjalan di mahkamah.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah juga menarik balik prosiding menghina mahkamah yang difailkan terhadap Dr Mahathir berkaitan sidang akhbar yang diadakan di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 5 Dis tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong membenarkan permohonan kedua-dua pihak dan memerintahkan kes diselesaikan tanpa sebarang perintah kos.

Kes saman Dr Mahathir terhadap Ahmad Zahid berkaitan dakwaan kenyataan berbaur fitnah mengenai isu “kutty”, yang didakwa dibuat semasa Mesyuarat UMNO Bahagian Kelana Jaya pada 30 Julai 2017 dan diterbitkan semula oleh beberapa portal berita.

Prosiding menghina mahkamah pula membabitkan tindakan Dr Mahathir yang mengadakan sidang akhbar dengan menunjukkan beberapa salinan dokumen termasuk kad pengenalannya, selepas memberi keterangan dalam samannya terhadap Ahmad Zahid berhubung isu sama.

Dalam kes saman isu “kutty”, Dr Mahathir telah selesai memberi keterangan pada 5 Dis tahun lepas, manakala anaknya Datuk Seri Mukhriz Mahathir, menjadi saksi terakhir plaintif pada 9 Dis tahun sama.

Hari ini, mahkamah sepatutnya mendengar prosiding menghina mahkamah, bagaimanapun peguam Mior Nor Haidir Suhaimi yang mewakili Dr Mahathir memaklumkan bahawa kedua-dua pihak telah mencapai kata sepakat.

Perkara itu turut disahkan peguam Shahrul Fazli Kamarulzaman yang mewakili Ahmad Zahid.

Ketika ditemui media selepas prosiding, kedua-dua peguam itu berkata semua kes berkenaan dihentikan demi mengutamakan kepentingan rakyat dan memulihkan keharmonian dalam kalangan pemimpin negara.

Kedua-dua ahli politik itu tidak hadir pada prosiding hari ini.

— BERNAMA


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Dua remaja ditahan langgar anggota polis, cuba lari sekatan jalan

DUA remaja ditahan selepas dipercayai merempuh seorang anggota polis ketika cuba melarikan diri daripada sekatan jalan di Taman Panchor...

More Articles Like This