Berjaya Tioman Resort rai 40 tahun legasi. Bila alam bertemu kemewahan

Dari Penulis

Tersergam indah di persisiran Laut China Selatan, Berjaya Tioman Resort terus mengukuhkan legasi dengan sambutan ulang tahunnya yang ke-40 tahun ini.

Sejak ditubuhkan pada tahun 1985 sebagai hotel pertama di bawah kumpulan Berjaya, resort yang terletak di Pahang ini telah berubah daripada sebuah destinasi pantai sederhana kepada ikon pelancongan bertaraf antarabangsa.

Penolong Pengurus Besar Unit Komunikasi dan Kelestarian Berjaya Land Berhad, Mohamed Syairoz Mohd. Odman menurunkan tandatangan sebagai simbolik kepada sambutan ulang tahun ke-40 Berjaya Tioman Resort.

Penolong Pengurus Besar Unit Komunikasi dan Kelestarian Berjaya Land Berhad, Mohamed Syairoz Mohd. Odman berkata, sambutan ini lebih daripada sekadar angka. Sebaliknya ia lambang dedikasi Berjaya Tioman Resort dalam mengimbangi kemewahan dan tanggungjawab alam sekitar.

“Ulang tahun ini juga sebagai simbolik dalam menghargai semua kakitangan yang setia sejak bergenerasi, komuniti setempat dan pengunjung yang menyokong sejak awal penubuhan.

“Kami bermula sebagai resort kecil di tepi pantai dan merupakan hotel pertama di bawah Kumpulan Berjaya. Namun selepas 40 tahun, Berjaya Tioman Resort berkembang menjadi destinasi percutian tropika yang bukan sahaja indah, tetapi juga bertanggungjawab terhadap alam sekitar dan komuniti tempatan,” katanya.

Bukan sekadar syurga percutian mewah, namun apa yang menjadikan hotel ini cukup unik ialah pendekatannya terhadap kelestarian termasuk penghapusan penggunaan plastik sekali guna di bilik penginapan, program penanaman semula terumbu karang serta pembersihan laut dan aktiviti pelancongan mesra marin serta pendidikan alam sekitar untuk tetamu.

Malah lebih menarik, resort ini juga aktif menyokong operasi pemuliharaan penyu yang diusahakan oleh penduduk tempatan.

Mohd Don Mustapha, pemilik tapak pemuliharaan penyu (Campsite Sekuci) berkongsi kisah penyu kesayangan Aishah dan Jack yang kembali ke pangkuannya walaupun selepas dilepaskan ke laut.

“Usaha yang dilakukan ini menepati konsep kami terhadap tanggungjawab kepada alam sekitar. Malah ia secara tidak langsung turut memberi kesedaran kepada orang kampung dan tetamu mengapa usaha terhadap pemuliharaan marin terutama penyu ini sangat penting bagi Pulau Tioman,” tambahnya lagi.

Menurut pemilik pondok penetasan penyu, Mohd Don, dia dapat melihat sendiri penurunan angka anak penyu yang cukup drastik sejak empat dekat lalu.

“Waktu kecil apabila tiba waktu penyu bertelur, saya boleh melihat ratusan ibu penyu yang datang ke Pulau Tioman untuk bertelur. Namun hari ini, hanya dua ke tiga ekor sahaja yang datang bertelur dalam tempoh setahun.

“Sebab itu saya mengambil tanggungjawab memulakan usaha pemuliharaan ini bersama adik lelaki demi kasih sayang kami terhadap Pulau Tioman dan penyu.

“Untuk makluman, anak penyu yang baru menetas dan terus dilepaskan di laut mempunyai peratusan yang cukup nipis untuk terus hidup kerana banyak pemangsa. Dan sebab itu, kami memohon kebenaran Exco Pahang untuk menjaga telur penyu dan anak penyu yang menetas sehingga berusia tiga ke empat bulan untuk pastikan anak penyu berpeluang hidup apabila dilepaskan ke laut,” kongsinya lagi.

Tidak berdiri sendiri, sebaliknya Berjaya Tioman Resort berdiri atas tunjang daripada penduduk pulau yang menjadi sebahagian daripada warga kerja.

“Majoriti kakitangan resort ini terdiri daripada generasi kedua penduduk pulau dan ada yang telah bersama kami sejak 25 tahun lalu. Kami turut berkongsi kemudahan seperti kolam renang dan padang bola sepak dengan komuniti setempat,” katanya lagi.

Dengan pantai berpasir emas, kejernihan air laut yang memukau, terumbu karang yang masih hidup dan hutan tropika yang belum terusik, Pulau Tioman berjaya membuktikan selama empat dekad bahawa kemewahan dan kelestarian mampu berjalan seiring, sekaligus memberi pengalaman penuh makna buat pengunjung.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Taufik dan Azlina jadikan Bustana Kucing sebagai ‘rumah perlindungan’ 1,600 ekor kucing jalanan

AKSINYA yang manja dan ada kalanya nakal, menjadikan makhluk berbulu ini sering menjadi haiwan peliharaan yang bukan sahaja sebagai...

More Articles Like This