Siapa sangka bahan tradisional seperti serai kini boleh dinikmati dalam bentuk kiub moden yang praktikal dan memikat rasa? Inovasi terbaharu yang diperkenalkan oleh Serai Malaya Sdn. Bhd. ini menjadikan ia antara kiub masakan pertama di dunia yang menggabungkan rasa udang laut segar dan tempoyak durian asli dengan aroma serai kampung yang memikat.
Pengarah Urusan Kumpulan Serai Malaya, Johari Abu Kasim berkata, produk ini melalui proses R&Dteliti dengan mengekalkan rasa asli dan kesegaran bahan melalui teknologi seperti freeze drying dan encapsulation.
“Kelebihan utama ialah kiub dibungkus secara individu – bersih, senang disukat dan sesuai untuk gaya hidup sibuk. Hanya satu atau dua kiub diperlukan untuk satu hidangan. Mudah, cepat dan masih mengekalkan keenakan rasa warisan,” jelas Johari.
Serai Malaya juga memasang impian besar untuk menjadikan serai kampung sebagai simbol rasa dan kualiti Malaysia yang dikenali di peringkat antarabangsa. Mereka menyasarkan eksport ke lebih 28 negara dalam tempoh tiga tahun akan datang, bermula dengan penyertaan dalam Fi Asia Thailand 2025.

“Kami mahu dunia merasai keaslian serai kampung Malaysia, yang aromanya lebih kuat dan khasiatnya tinggi. Dengan pembungkusan moden dan strategi pengedaran efisien, kami yakin dapat meletakkan produk warisan ini setaraf jenama antarabangsa,” katanya lagi.
Bersempena dengan Mega Karnival 3 Dimensi (3D) 2025 yang berlangsung di MITEC, Serai Malaya melancarkan dua produk baharu yang unik dan belum pernah ada di pasaran: Kiub Pati Udang bersama Serai dan Kiub Pati Tempoyak bersama Serai.
Mengangkat slogan “From Heritage to Modern Kitchen Innovation”, Serai Malaya memberi nafas baharu kepada serai, bukan sekadar bahan pelengkap masakan, tetapi sebagai produk komersial yang berdaya saing tinggi.
Sejak ditubuhkan pada Mac 2022, Serai Malaya telah membeli lebih 120,000 tan metrik serai kampung daripada penduduk tempatan. Ini menjadikan mereka antara pembeli utama serai kampung di Malaysia. Malah, mereka kini bekerjasama dengan lebih 50 penanam serai dari kawasan seperti Batu Kikir, Beranang dan Sabak Bernam.
Model pertanian kontrak yang digunakan bukan sahaja menjamin bekalan berkualiti tetapi juga menghidupkan semula semangat gotong royong desa serta memberi pendapatan tetap kepada komuniti luar bandar.
Selain dua produk terbaharu ini, Serai Malaya turut menawarkan rangkaian lain berasaskan serai seperti Serai Racik Kering, Teh Serai, Serbuk Serai dan Kiub Pati Serai. Kesemuanya boleh didapati di pasar raya utama seperti AEON, Giant, Jaya Grocer dan juga secara dalam talian di platform seperti AirAsia Grocer dan Tabung Haji Online.

