McDonald’s Malaysia terus membuktikan kepekaannya terhadap emosi rakyat tempatan dengan memperkenalkan pendekatan baharu dalam kempen pemasarannya melalui pelancaran siri mini drama bertajuk “Senyuman”. Acara pelancaran yang diadakan di ibu negara baru-baru ini menyatukan pelakon utama, media, dan peminat dalam satu majlis penuh mesra dan penuh emosi.
Siri mini drama ini menampilkan tujuh episod berdurasi satu minit setiap satu yang direka dalam format menegak, khas untuk tontonan di telefon pintar.
Walaupun ringkas, penceritaan dalam Senyuman sarat dengan mesej bermakna yang menggambarkan detik kehidupan harian rakyat Malaysia.

Menurut Ketua Pegawai Pemasaran McDonald’s Malaysia, Chin Mei Lee, Senyuman adalah kesinambungan kepada strategi pemasaran jenama itu yang kini semakin menekankan elemen feel-good dan pendekatan naratif beremosi.
Ini merupakan mini drama ketujuh selepas kejayaan kempen terdahulu seperti “Love at McD”, “Rugi Tau Tak Pakai App McD”, dan “Kau Sundaeku”.
“Dengan Senyuman, kami ingin menyampaikan kisah tentang hubungan, keprihatinan dan harapan semua ini disampaikan dalam bentuk yang mudah diakses tetapi menyentuh hati,” katanya.

Drama pendek ini membariskan Jack sebagai Ming, seorang pemuda yang menyimpan luka emosi, dan Nabila Razali sebagai June, rakan sekerja yang ceria dan perlahan-lahan menghidupkan semula semangat Ming.
Pelakon Lim Jian Wen, yang dikenali menerusi filem Ola Bola, turut tampil dalam siri ini, memberikan dimensi tambahan kepada cerita.
Format vertikal menjadi antara tarikan unik dalam siri ini.
Nabila menyifatkan penggambaran dalam format ini sebagai satu cabaran berbeza yang menuntut ekspresi emosi yang lebih mendalam dalam ruang yang terhad.
Namun baginya, pengalaman ini lebih daripada sekadar tugasan seni, ia menjadi titik kenangan penting dalam kerjayanya.

“Biasanya kalau kita buat iklan, kita terus jual produk. Tapi dengan Senyuman, kita bawa emosi. Kita bercerita tentang kehidupan bukan sekadar iklan, tapi pengalaman,” jelasnya.
Dia juga mengakui gementar bergandingan dengan Jack Tan, pelakon filem Abang Adik, namun menyifatkan Jack sebagai rakan pelakon yang menyenangkan dan merendah diri.
“Dia banyak bantu Bella untuk rasa selesa. Harap penonton dapat lihat keserasian itu dalam drama,” katanya kepada URTV.
Dalam sesi temu bual bersama media, Nabila turut berkongsi kisah peribadi sebagai ibu muda yang kini giat meneruskan kerjaya dalam dunia hiburan.

Anak sulungnya yang berusia lebih tujuh bulan, menjadi sumber kekuatan dan inspirasi buat dirinya.
Menurutnya, keluarga memainkan peranan penting dalam membantunya mengimbangi kehidupan sebagai ibu dan artis.
“Memang penat, tapi semua ini Bella buat untuk anak. Keluarga pun banyak membantu jaga anak, jadi Bella lebih tenang bekerja,” ujarnya sambil tersenyum.

Melangkaui sekadar penceritaan biasa, Senyuman membawa mesej yang menyentuh hati bahawa sebuah senyuman, sekecil mana pun, mampu membawa perubahan besar dalam hidup seseorang.
Ia menyerlahkan nilai empati dan kemanusiaan yang menjadi tunjang dalam pendekatan baharu McDonald’s.
Dengan penekanan kepada penceritaan digital yang dekat dengan realiti kehidupan, McDonald’s bukan sahaja terus relevan di mata pengguna muda, malah turut memantapkan kedudukannya sebagai jenama yang memahami denyut nadi masyarakat Malaysia.
Saksikan Senyuman bermula 7 Ogos 2025, jam 8 malam di platform digital rasmi McDonald’s Malaysia, Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube.
Setiap hari, satu kisah pendek menanti untuk dikongsi kerana dalam dunia yang pantas ini, satu senyuman kecil mungkin cukup untuk mengubah segalanya.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

