TEKA-teki berhubung kedudukan politik Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz selepas meletakkan pengumuman peletakan jawatan dalam UMNO pada 30 Mei lalu terjawab apabila beliau mengesahkan sudah diterima menjadi ahli PKR dua minggu lalu.
Bercakap kepada wartawan Malaysia di Osaka, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu berkata, beliau kini adalah ahli PKR bagi Cabang Ampang.
“Saya tidak ingat tarikh (penerimaan permohonan) tapi ia adalah ketika perjumpaan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti, dua minggu lepas,” katanya yang mengadakan lawatan ke Pavilion Malaysia bersempena Expo 2025 Osaka.
Tengku Zafrul, menerusi surat dihantar kepada pimpinan UMNO, memaklumkan hasrat untuk meletak jawatan sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli UMNO pada 30 Mei lalu.
Ketika menjelaskan keputusannya itu Tengku Zafrul yang tewas di kerusi Parlimen Kuala Selangor pada PRU-15 berkata, ia bukan sebuah keputusan yang mudah.
‘’Sebelum membuat keputusan ini, saya sudah meminta nasihat dan pandangan dari sahabat-sahabat saya dari dalam dan luar parti termasuk dari Presiden sendiri. Saya sudah mengambil masa yang agak panjang untuk memikirkan keputusan ini secara mendalam, terutamanya kerana UMNO adalah satu-satunya parti politik yang saya pernah sertai, sejak 1997 lagi.
“Akhirnya, keputusan ini dibuat selepas bermuhasabah diri dan mengambil kira pelbagai faktor terutamanya faktor keserasian dan kesesuaian,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

