PASANGAN selebriti dan pempengaruh media sosial, Nur Nilam Ortiz dan Azlan Komeng, memfailkan saman fitnah individu yang dikenali sebagai Cik Pia di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Tindakan itu diambil selepas Cik Pia atau nama sebenarnya Norsufia Johari didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah dan provokasi di media sosial , telah mencemar nama baik, reputasi profesional selain menjejaskan kerjaya seni mereka dan menganggu emosi serta mental Nilam yang kini sedang sarat mengandung.
Menurut dokumen mahkamah, kenyataan yang dibuat oleh Cik Pia didakwa mengandungi fitnah, tuduhan melampau, provokatif, manipulasi dan buli siber yang menyebabkan Nilam mengalami tekanan.
Peguam dari Tetuan Kung, Yudhist, Anis, Rasyid, Aziana & Co yang mewakili mereka berkata, selain perniagaan terjejas, perjalanan karier seni Azlan turut terkesan akibat daripada isu berkenaan.
“Plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan serta injunksi bagi menghalang Defendan daripada terus mengeluarkan kenyataan fitnah yang sama atau seumpamanya,” katanya.
Namun, menurut peguam, ketika serahan saman dilakukan, ia tidak dapat diserahkan akibat daripada alamat premis-premis yang diketahui Cik Pia tidak berpenghuni termasuk premis syarikat yang diwakili Cik Pia disyaki tidak lagi beroperasi.
Perkara itu juga turut disahkan oleh peniaga setempat di mana kilang tersebut sudah tidak beroperasi dan dalam proses pemindahan.
Tarikh pengurusan kes telah ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi pada September hadapan.
Terdahulu Cik Pia yang mewakili syarikat MSH Empire Resources dalam sidang media pada 1 Julai lalu, mengambil tindakan undang-undang dengan menghantar surat tuntutan (Letter of Demand) kepada Nilam dan Azlan, yang menuntut permohonan maaf secara terbuka dan bayaran ganti rugi berjumlah RM1 juta daripada mereka.
Menurut Cik Pia, dia dan syarikat terkesan dengan dakwaan pasangan terbabit yang sudah mencemar nama baik, memberi kesan langsung terhadap jualan produk dan reputasi perniagaan.
Menurutnya, syarikat sudah difitnah secara terbuka, dituduh menjual produk berbahaya dan reputasi syarikat dan sebagai usahawan diganggu dengan niat yang jelas untuk menjatuhkannya.

