KUGIRAN retro moden popular, Masdo meraikan satu dekad perjalanan seni mereka dengan penuh gemilang menerusi konsert istimewa bertajuk “Al-Kisah Kugiran Masdo 10 Tahun” yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada malam sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-68.

Konsert yang dianjurkan oleh Hitman Solutions bersama kugiran Masdo itu menghimpunkan ribuan peminat dari pelbagai latar belakang, daripada generasi muda hingga peminat muzik retro sejati yang hadir bagi mengimbau perjalanan 10 tahun Masdo dan menyambut malam kemerdekaan dengan penuh semangat dan nostalgia.

Seawal petang, para peminat mula membanjiri lokasi konsert. Saat lampu dewan dipadam dan tayangan khas visual perjalanan Masdo sejak penubuhan mereka pada 2015 dipancarkan, suasana berubah menjadi penuh emosional.
Masdo membuka tirai persembahan dengan lagu “Teruna & Dara”, diikuti deretan lagu hits seperti “Dinda”, “Janji Manis”, “Ratu Hati”, “Bunga” dan “Berduka-Lara”.
Setiap satu dinyanyikan dengan penuh semangat oleh peminat yang memenuhi ruang Zepp KL.

Konsert ini turut dimeriahkan dengan kemunculan barisan artis jemputan yang memberi sentuhan istimewa antaranya persembahan Heidi Moru bersama Masdo dalam versi segar “Pujaanku”, Noh Salleh dengan “Inilah Jalannya”, sebelum kembali bersama Hujan mempersembahkan “Janji Manis” dan “Aku Scandal”.
Persembahan instrumental memukau oleh Nisa (biola) dan Cakam (kibod) menerusi “Ratu Hati”, Fizan (Bittersweet) mempersonakan pentas dengan “Nearly Near You”.
Kolaborasi ini menjadikan persembahan lebih dinamik dan pelbagai seiring semangat kemerdekaan yang meraikan kepelbagaian dan kesatuan.

Pengurus Masdo, Cheman, tampil mewakili kumpulan dengan ucapan penuh rasa syukur dan bangga.
“Malam ini bukan sekadar sambutan ulang tahun buat kami, tetapi penghargaan buat seluruh keluarga Masdo, peminat yang setia bersama sejak awal.
“Kami bermula dengan impian kecil, dan hari ini kami melihat ribuan suara menyanyikan lirik kami bersama. Itulah hadiah terindah buat kami,” katanya.
Sorotan paling emosional malam itu tercipta ketika lagu terakhir dimainkan dan penonton mengangkat telefon bimbit mereka, mencipta lautan cahaya yang menggetarkan suasana, seolah-olah memberi penghormatan kepada 10 tahun perjuangan seni Masdo.
Ketua Pegawai Eksekutif Hitman Solutions, Rohit Rampal turut menyifatkan kejayaan konsert ini sebagai bukti kekuatan muzik retro moden dalam era muzik masa kini.

“Konsert malam ini membuktikan bahawa retro bukan sekadar kenangan, ia terus hidup dan berkembang.
“Masdo telah mencipta legasi unik, dan kami di Hitman Solutions berbangga menjadi sebahagian daripada detik bersejarah ini,” ujarnya.
Selepas 10 tahun menongkah arus dengan gaya retro moden, Masdo membuktikan bahawa muzik mereka masih segar, diterima ramai, dan terus mencipta ruang dalam industri muzik Malaysia.
Malam Merdeka ini bukan sekadar persembahan, ia adalah kenangan, penghargaan dan simbol kasih sayang antara kugiran dan peminatnya, menjadikan konsert ini sebagai salah satu detik paling bermakna dalam sejarah seni tempatan.


Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

