SELEPAS enam tahun menanti, akhirnya penyanyi muzik kerohanian bertaraf antarabangsa, Maher Zain, kembali menyapa peminat Malaysia menerusi konsert eksklusif “The Journey to the Far East: Maher Zain — The Live Experience (Kuala Lumpur)”, yang berlangsung meriah di Idea Live Arena, 3 Damansara, malam tadi.
Dianjurkan oleh Yayasan Tengku Abdullah (YTA) dengan kerjasama promoter rasmi Hitman Solutions dan Happymoon, acara ini menyaksikan lebih 5,000 peminat dari pelbagai lapisan umur berhimpun bagi meraikan kepulangan semula ikon muzik Islamik ini ke pentas Malaysia.

Konsert dibuka dengan lagu ikonik “Assalamu Alayka”, yang serta-merta mengubah dewan menjadi lautan suara peminat yang menyanyi penuh semangat dan penghayatan.
Sepanjang hampir dua jam, Maher mempersembahkan deretan lagu popular seperti “InshaAllah”, “Alayka Salla Allah”, “Baraka Allahu Lakuma”, “Close To You” dan “For The Rest of My Life”.
Setiap persembahan mencetuskan momen penuh emosi, ada yang menangis, ada yang berpelukan, malah ramai yang mengangkat tangan dengan hati yang tersentuh dan penuh kesyukuran.
“Malam ini saya sungguh tersentuh. Malaysia akan sentiasa berada di tempat yang istimewa dalam hati saya.

“Terima kasih kerana menyokong saya selama ini. Insya-Allah, saya akan kembali lagi,” ujar Maher dengan penuh rasa terharu sebelum menutup malam dengan lagu “Ya Nabi Salam Alayka”.
Pengerusi dan Pengasas YTA, YM Tengku Shaheera Tengku Tan Sri Abdullah menyatakan bahawa konsert ini bukan hanya hiburan semata-mata, tetapi sebuah momen yang merangkumi nilai iman, kemanusiaan dan kasih sayang.

“Apabila ribuan orang berkumpul di bawah satu bumbung untuk meraikan mesej cinta dan harapan, ia adalah bukti bahawa muzik mampu menyatukan hati.
“Kami bersyukur dapat menjadi sebahagian daripada detik istimewa ini,” katanya.

Konsert ini bukan sahaja mencipta pengalaman rohani bagi peminat, tetapi juga mengukuhkan peranan YTA dalam memperkasa komuniti melalui inisiatif seni dan budaya yang bermakna.


Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

