Di pantai barat daya Cyprus, ada kawasan batu yang dipanggil batu Aphrodite, juga dikenali sebagai ‘Petra tou Romiou’. Bukan sekadar batu, ia adalah formasi geologi dan menjadi mercu tanda Cyprus kerana kononnya, di sinilah kelahiran Aphrodite, dewi cinta yang popular dalam mitos Yunani.
Batu Aphrodite ialah bongkah batu laut, terletak di luar pantai di sepanjang jalan utama dari Paphos ke Limassol. Gabungan keindahan kawasan ini dan statusnya dalam mitologi sebagai tempat kelahiran Aphrodite menjadikannya lokasi pelancongan yang popular.

Walaupun batu itu sangat terkenal kerana mitosnya, namun pengunjung tidak dibenarkan memanjat batu tersebut. Berenang juga dilarang kerana keadaan laut di sini yang bergelora. Dewi Aphrodite dikatakan ‘lahir’ daripada buih putih yang terbentuk di sekitar batu ini.
Ada banyak versi tentang mitos dewa dewi Yunani dikaitkan dengan tempat ini. Versi tempatan menceritakan bahawa batu Aphrodite adalah sebahagian daripada bahagian bawah tubuh dewa Uranus.
Legenda ini mengatakan bahawa Cronus menyerang bapanya (Uranus) secara mengejut dan memotongnya di bahagian pinggang dengan sebilah sabit. Sewaktu Uranus cuba melarikan diri dengan terbang, bahagian tubuhnya yang telah terpotong (alat kelamin) telah jatuh ke dalam laut. Dari situ muncul buih putih, lalu seorang gadis ‘lahir’ daripadanya.
Ombak membawa gadis itu ke Kythera sebelum menghantarnya ke Cyprus. Gadis itu bernama Aphrodite, orang Rom banyak merujuknya sebagai Venus.

Aphrodite menarik pengikut kultus yang besar di Paphos, yang akhirnya dihancurkan oleh orang Rom. Hal ini dikaitkan dengan kewujudan Kuil Aphrodite di Paphos Lama, Kouklia.
Mitos tempatan juga menyebut bahawa sesiapa yang berenang mengelilingi Batu Aphrodite akan dikurniakan kecantikan abadi.
Legenda lain pula mengaitkan nama Achni dengan pantai berdekatan, dan menghubungkannya dengan tempat di mana orang Achaean mendarat selepas pulang dari pertempuran Troy.
Gelaran ‘Petra tou Romiou’ atau ‘batu Yunani’ pula mengaitkan tempat ini dengan kisah kepahlawanan Basil yang tercatat dalam Digenes Akritas. Legenda menyatakan bahawa Basil, seorang Kristian, telah melontarkan batu besar dari pergunungan Troodos untuk menangkis penceroboh Saracen. Kerana itu, sebuah batu berdekatan kawasan ini turut dikenali sebagai Batu Saracen.
Berenang nak cantik, subur
Pesona batu ini yang dilingkari dengan kisah Aphrodite, dewi Yunani yang terkenal dengan cinta, kecantikan, kesuburan dan seksualiti menyebabkan ramai yang mahu mengambil ‘berkat’ daripada batu ini.

Kawasan ini dianggap sebagai tempat yang romantik dan suci untuk pasangan kekasih. Ramai percaya jika berenang mengelilingi batu ini akan membawa keberkatan cinta, awet muda, subur dan kecantikan abadi, mengambil aura sang dewi.
Sebenarnya, berenang di kawasan ini adalah dilarang kerana laut di sini ombaknya bergelora dengan pusaran yang kuat dan berbahaya. Malah pihak berkuasa tempatan turut meletakkan papan tanda amaran dilarang berenang dan mendaki di sini kerana berbahaya.
Pun begitu, masih ada yang taksub dengan mitos ini dan melanggar peraturan yang ditetapkan dengan terjun ke laut dan cuba berenang mengelilingi batu ini. Maka tidak hairanlah jika ada yang pernah lemas di kawasan sekitar batu ini.
Kawasan ini terkenal dengan pemandangan pesisir pantai yang menakjubkan, menjadikannya lokasi popular untuk fotografi. Ia dianggap sebagai tempat romantis dan suci, sebab itu ramai pasangan kekasih datang ke sini. Walaupun tidak perlu berenang mengelilingi batu tersebut, cukup sekadar hadir ke sini untuk mengambil keberkatan tempat ini dalam menyuburkan cinta mereka.
Itu kepercayaan mereka ya. Sekadar simbol sejarah, budaya dan mitologi Cyprus yang berjaya menarik perhatian pengunjung untuk datang menikmati keindahan kawasan tersebut.
Kita sebagai orang Islam adalah dilarang untuk percaya dengan kisah begini. Namun sekadar untuk berkunjung ke sini bagi menghayati keindahan alam ciptaan Allah, mengambil ibrah daripada sejarah dan budaya tanpa terlibat dalam amalan yang bertentangan, maka nikmati saja pemandangan indah pantai ini.
___
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

