Keunikan bandar Bursa di Türkiye dengan keindahan budaya, sejarah dan alam semula jadi menjadi titik pemula kepada Bursa Tourism Showcase dalam mengukuhkan kerjasama pelancongan antara Malaysia dan Türkiye.
Program eksklusif dengan kerjasama Turkish Airlines Kuala Lumpur itu membuka peluang lebih luas untuk memperkenalkan keindahan dan keunikan bandar Bursa, Türkiye kepada pasaran Malaysia.
Datuk Bandar Harmancık, Haşim Ali Arıkan menyifatkan hubungan istimewa Bursa dengan Malaysia sebagai saudara. Beliau berharap agar pelancong Malaysia bukan sekadar singgah seketika, tetapi meluangkan masa lebih lama untuk menikmati keindahan budaya, sejarah dan alam semula jadi Bursa.
“Tetamu yang berkunjung ke Bursa dapat melihat warisan ibu kota pertama Uthmaniyyah yang tersenarai dalam Senarai Warisan Dunia UNESCO, menikmati keindahan alam semula jadi sepanjang empat musim serta pelancongan musim sejuk di Uludağ, selain menumpukan kepada kesihatan melalui spa terma dunia yang terkenal di bandar kami.

“Masakan Bursa pula menawarkan kepelbagaian rasa yang kaya, daripada kebab hingga buah berangan bergula serta daripada pide hingga pencuci mulut berasaskan susu.
“Harmancık ialah syurga bagi pencinta alam dengan udara yang bersih, lembah hijau dan keindahan semula jadi. Kemudahan Eko Pelancongan Harmancık menawarkan penginapan yang dikelilingi alam semula jadi, memberikan para tetamu peluang untuk merasai keindahan alam Turki dalam suasana moden dan damai.
“Kami mempunyai kawasan yang sesuai untuk pelbagai aktiviti seperti mendaki, pendakian gunung, berbasikal dan berkhemah. Selain itu, tasik di kawasan ini turut menawarkan pemandangan unik untuk fotografi alam semula jadi,” katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar Kestel, Ferhat Erol pula menekankan nilai keagamaan dan budaya yang dikongsi bersama, pemahaman terhadap masakan halal, serta tradisi keramahan menawarkan suasana penginapan yang damai dan selamat.
“Kestel, salah satu daerah terpenting Bursa, bersedia menyambut tetamu dengan keindahan semula jadi dan warisan budayanya. Kestel merupakan syurga semula jadi yang dikelilingi lembah hijau yang subur, air terjun dan tanah tinggi di cerun timur Uludağ.
“Ia mempunyai potensi besar dari segi pelancongan alam semula jadi, aktiviti mendaki, berkhemah dan budaya tanah tinggi. Selain itu, citarasa tempatan Kestel, keramahan penduduknya serta kehidupan tradisional kampung akan menjadi pengalaman yang berbeza dan unik untuk rakan-rakan kita dari Malaysia,” katanya.
Delegasi Bursa turut menggariskan komitmen mereka terhadap pasaran Malaysia dengan sasaran untuk meningkatkan tempoh penginapan pelancong sekurang-kurangnya tiga malam di Bursa. Usaha lain termasuk membuka peluang penerbangan charter melalui Bursa Yenişehir Airport (YEI), memperkenalkan aplikasi Visit Bursa sebagai rujukan pelancong, serta mengalu-alukan program lawatan pengenalan bersama pengendali pelancongan, media dan influencer Malaysia.
Dengan sokongan Turkish Airlines yang menawarkan penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Istanbul, delegasi Bursa optimis bahawa usaha sama dengan pemain industri pelancongan tempatan akan merancakkan lagi kedatangan pelancong Malaysia ke Türkiye, khususnya ke Bursa yang terkenal dengan sejarah, budaya, kesihatan dan pelancongan alam semula jadi.

