Di Hollywood, nama besar seperti Humphrey Bogart, Audrey Hepburn atau James Stewart antara yang disebut sebagai legenda layar perak. Tetapi tahukah anda, ada satu pelakon dengan lebih 600 kredit filem atas namanya yang tidak diketahui ramai. Lebih mengejutkan, pelakon itu bukan manusia!
Pelakon itu ialah seekor burung gagak pintar yang dinamakan Jimmy. Bayangkan pada zaman itu, bukan sahaja manusia, malah seekor gagak boleh menjadi bintang besar di layar perak.
Kalau anda peminat filem hitam putih klasik arahan Frank Capra pada era 1930-an hingga 1950-an, besar kemungkinan anda pernah nampak kelibat Jimmy.

Burung gagak ini ditemui pada tahun 1934 oleh seorang jurulatih haiwan Hollywood bernama Curly Twiford. Anak gagak itu kelaparan di dalam sarang terbiar di kawasan gurun Mojave, Amerika Syarikat.
Twiford kemudian membawa anak burung itu pulang dan menamakannya Jimmy. Burung itu dilatih dan dengan cepat ia belajar dan memahami arahan.
Gagak diketahui sebagai haiwan yang bijak. Jimmy belajar melakukan pelbagai perkara, daripada menaip mesin taip, membuka surat, memasukkan syiling ke dalam tabung, menyalakan rokok, malah menunggang motosikal mini khas.
Bukan itu saja, gagak ini mampu memahami ratusan perkataan Inggeris. Menurut Twiford, burung ini boleh melakukan apa sahaja yang setara dengan kebolehan kanak-kanak berusia lapan tahun.

Debut Filem
Debut Jimmy bermula dalam filem You Can’t Take It with You (1938), arahan Frank Capra. Sejak itu, Capra jatuh hati pada bakat unik burung ini dan hampir setiap filem arahannya selepas itu, akan ada babak si Jimmy.
Antara peranan paling ikonik Jimmy ialah dalam filem It’s a Wonderful Life (1946) sebagai gagak peliharaan Uncle Billy. Burung ini juga mencuri perhatian dalam Arsenic and Old Lace (1944) sebagai penghuni setia tanah perkuburan.
Namun, Jimmy bukan sekadar milik Capra. Dia turut beraksi dalam filem klasik lain seperti The Wizard of Oz (1939), The Bride Came C.O.D. (1941), Son of Dracula (1943), dan The Enchanted Forest (1945).

Popularitinya begitu tinggi sehingga syarikat Metro Goldwyn Mayer (MGM) menginsuranskan Jimmy dengan nilai USD10,000 – satu angka yang besar pada era itu. Bahkan, Jimmy mempunyai 21 burung pengganti untuk adegan yang tidak memerlukan aksi khas.
Kemunculan terakhir Jimmy di layar perak ialah dalam filem 3 Ring Circus (1954). Dua tahun kemudian, penjaga dan jurulatihnya, Twiford, meninggal dunia.
Sejak itu, tiada siapa tahu ke mana perginya burung ini. Tiada laporan rasmi tentang siapa yang menjaga Jimmy selepas itu. Apakah gagak ini dijaga orang lain, atau dilepaskan bebas? Bila ia mati? Semula persoalan itu tiada jawapan.

___
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

