JENAMA francais makanan, Avocake Pukis & Delight semakin melebarkan sayapnya di Malaysia dengan mengetengahkan kuih tradisional Indonesia seperti pukis dan sempol yang diolah mengikut cita rasa tempatan.
Lebih istimewa, jenama ini turut menampilkan pelakon dan penggiat seni tersohor, Fauziah Ahmad Daud,63 atau Ogy sebagai duta rasmi selepas beliau sendiri menyaksikan operasi kiosk serta mencuba produk tersebut.
Pengarah Urusan, Shamsiah Yaakob berkata, inspirasi membawa masuk kuih pukis ke Malaysia timbul selepas menetap selama tujuh tahun di Indonesia.

“Saya memang peminat kuih pukis sejak tinggal di Indonesia. Kuih ini belum pernah dipasarkan secara meluas di Malaysia. Kalau ada pun, kebanyakannya bukan versi asli.
“Bila saya balik ke Malaysia, saya nak fokus bisnes. Sebab itulah saya buka francais untuk kembangkan makan tradisional Indonesia ini.
“Jadi saya ambil inisiatif untuk memperkenalkan versi tradisional sebenar dengan sentuhan tempatan,” katanya.
Menurutnya, kuih pukis yang berasal dari Jogjakarta biasanya hanya hadir dalam dua perisa iaitu asli dan pandan dengan taburan kacang atau coklat.
Namun, di bawah jenama Avocake Pukis & Delight, ia dipelbagaikan kepada empat perisa iaitu asli, pandan, coklat dan avocado, selain disertakan dengan pelbagai topping moden.
Selain itu, produk lain yang ditawarkan termasuk sempol ayam dan daging yang dihidangkan bersama sos gajus buatan sendiri serta rangkaian minuman dan pencuci mulut berasaskan avocado.
“Walaupun baru sebulan beroperasi, sambutan sangat menggalakkan. Ramai pelanggan yang datang semula malah membawa rakan lain.
“Lebih menarik, makanan ini bukan sahaja digemari orang Melayu, tetapi juga kaum Cina dan India,” ujarnya.
Jenama ini bakal melancarkan restoran pertama Avocake Pukis & Delight di Sri Pulai, Sikamat, Seremban pada 28 Oktober ini.
Ia akan menawarkan pelbagai menu viral makanan Indonesia dalam suasana restoran moden.
Setakat ini, rangkaian francais tersebut sudah merancang pembukaan di beberapa lokasi utama iaitu tiga cawangan di Seremban, empat di Kuala Lumpur, empat di Melaka dan dua di Johor.
Sementara itu, mengulas lanjut pemilihan seniwati popular, Ogy sebagai duta, Shamsiah berkata, kerjasama itu terjalin hasil persahabatan lama serta keyakinan terhadap mutu produk yang ditawarkan.
“Sebelum bersetuju, saya minta Kak Ogy rasa dulu. Alhamdulillah, dia terpikat dengan semua menu yang kami sajikan.
“Ibaratnya, tak kenal maka tak cinta. Prinsipnya jelas, kalau tiada keyakinan terhadap kualiti, dia tidak akan terima. Jadi bila dia bersetuju, ia tanda besar buat kami,” katanya.
Pihaknya juga mengalu-alukan mereka yang berminat membuka francais dengan modal serendah RM42,000.
Tawaran harga itu hanya terhad sehingga penghujung tahun ini. Malah, mereka juga menyediakan modul serta kelas bagi memantapkan oeprasi perniagaan.
Ogy syukur terus diberi kepercayaan
Pelakon, pengarah dan penggiat seni tersohor, Ogy menegaskan setiap langkah yang diambilnya dalam bidang seni mahupun perniagaan sentiasa berlandaskan prinsip menjaga mutu tanpa kompromi.
“Alhamdulillah, saya amat bersyukur dengan nikmat Allah kerana masih diberikan kepercayaan.
“Orang percaya pada saya kerana tahu, kalau saya kata, saya akan buat. Itu prinsip hidup saya,” katanya.

Menurut Ogy, prinsip tersebut turut diaplikasikan dalam pemilihannya sebagai duta sesuatu produk.
Malah, beliau mendedahkan sudah menolak lebih daripada 10 tawaran kerana tidak berpuas hati dengan pelan perniagaan yang dikemukakan.
“Saya bukan orang yang gelap mata. Kalau saya tolak, maknanya ada kelemahan pada perancangan bisnes itu.
“Dalam perniagaan, kita kena pandang jauh. Saya tak mahu jadi duta produk yang akhirnya gulung tikar dengan keadaan ekonomi sekarang,” ujarnya.
Beliau yang berpengalaman sebagai duta produk antarabangsa menjelaskan bahawa skop kerja duta bukan sekadar bergambar dengan produk semata-mata.
Sebaliknya, ia menuntut kehadiran turun padang, mempromosikan produk serta memahami perjalanan syarikat.
“Kalau jadi duta, kita kena wakili syarikat sepenuhnya. Kita kena ambil tahu kerana tugas kita bukan kecil.
“Saya serius dalam hal ini sebab tanggungjawab besar,” katanya lagi.
Ogy bagaimanapun akhirnya bersetuju selepas meneliti dengan teliti pelan perniagaan yang dikemukakan oleh pihak Avocake Pukis & Delight.
“Saya nampak ada misi, visi dan cita-cita jelas. Apa yang membuatkan saya setuju ialah peluang yang mereka buka, walaupun kepada sesiapa yang belum ada modal.
“Mereka akan dididik untuk menguruskan francais. Itu bagi saya sesuatu yang berbeza,” jelasnya.
Tambah Ogy, keyakinannya turut disokong oleh latar belakang Shamsiah yang pernah menjadi pensyarah di Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) dan kini sudah berjaya mengembangkan perniagaan di Indonesia sebelum membawanya ke Malaysia.
“Saya kenal beliau sejak menjadi pensyarah lagi. Jadi saya tahu dia ada pengalaman luas dalam bisnes. Itu yang meyakinkan saya untuk menerima tawaran ini,” katanya.

