Penyanyi rap, Sasi The Don berkongsi perasaan teruja apabila berpeluang bergandingan dengan legenda rock tanah air, Datuk Awie dalam single terbaharu berjudul Oh My Kawan.
Menurut Sasi atau nama sebenarnya Sasidharan Chandran, lagu tersebut ditulis khas buat Awie sebagai penghormatan kepada penyanyi yang cukup dihormatinya sejak sekian lama.
“Setiap lagu yang saya tulis ada ceritanya sendiri. Sewaktu menulis Oh My Kawan, saya memang bayangkan suara Awie.
“Kalau dia tak terima, saya sendiri tak pasti nak buat apa dengan lagu ini.
“Alhamdulillah, bila dia dengar melodi dan baca lirik, terus sahaja setuju tanpa ubah apa-apa. Itu buat saya lebih bersemangat,” katanya kepada URTV.
Sasi berkata demikian ketika ditemui pada majlis pra dengar album baharunya, My Perfect Yard, yang berlangsung di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Sementara itu, Awie mengakui gembira dengan projek ini kerana sudah lama meminati muzik bergenre reggae moden yang dibawakan Sasi.
“Saya kenal Sasi sejak 20 tahun lalu, malah kami sama-sama peminat Dr. Alban.
“Jadi bila Sasi datang semula dengan lagu ini, saya tak mahu kacau langsung susunan atau liriknya. Saya biarkan ia ditulis daripada hatinya,” jelasnya.
Lebih menarik, Sasi menyifatkan pengalaman merakam lagu bersama Awie sebagai sesuatu yang cukup istimewa.
“Kali pertama saya dengar suara dia di studio, terus meremang bulu roma.
“Energi dan gaya nyanyiannya memang berbeza dengan yang lain. Ia satu pengalaman indah yang tak akan saya lupakan,” ujarnya.
Melalui Oh My Kawan, kedua-dua artis ini berharap mesej lagu tersebut mampu menyatukan masyarakat tanpa mengira bangsa atau latar belakang.
“Malaysia berbilang kaum dan budaya. Saya harap lagu ini boleh jadi jambatan perpaduan buat semua rakyat,” kata Awie.
Album My Perfect Yard bakal menemui peminat secara penuh pada November depan.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

