MNC Pictures bakal menyajikan sebuah sinetron baharu berjudul Cinta Sepenuh Jiwa yang dijangka mencuri perhatian penonton apabila ditayangkan eksklusif di saluran RCTI tidak lama lagi.
Membariskan pelakon muda berbakat seperti Cut Syifa, Ibrahim Risyad, dan Kenny Austin, sinetron ini mengetengahkan kisah cinta yang penuh emosi, pengorbanan dan makna mendalam.

Lebih istimewa, sinetron ini turut mempersembahkan lagu Menamakanmu Cinta nyanyian penyanyi tersohor Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai lagu tema rasmi (OST).
Lagu ini merupakan ciptaan komposer terkenal Ade Govinda, yang turut dikenali dengan karya-karya emosional dan puitis.
“Selaras dengan judul sinetronnya, Menamakanmu Cinta menjadi bentuk ungkapan rasa cinta yang kita rasakan kepada orang tersayang.
“Sepenuh jiwa kita mencintai seseorang tapi kadang tak sepenuh jiwa diungkapkannya,” kata Ade.
Sejak dilancarkan, lagu Menamakanmu Cinta telah menerima sambutan luar biasa daripada para pendengar.
Video lirik rasmi yang dimuat naik pada 18 Julai yang lalu telah ditonton lebih 3.3 juta kali.
Manakala video muziknya pula yang dilancarkan pada 12 September yang lalu meraih lebih 395 ribu tontonan di YouTube.
Lagu tersebut juga mencatat lebih 4.9 juta strim di YouTube Music dan 2.1 juta strim di Spotify, menjadikannya salah satu lagu cinta paling hangat ketika ini.
Kehadiran vokal merdu dan penuh perasaan Siti Nurhaliza dalam sinetron ini dijangka akan memperkuat naratif cinta yang diangkat, sekaligus memberikan pengalaman tontonan yang lebih menyentuh jiwa kepada penonton.
Dengan barisan pelakon muda yang sedang meningkat naik, jalan cerita yang mendalam serta runut bunyi yang menggetarkan jiwa, Cinta Sepenuh Jiwa berpotensi menjadi antara sinetron kegemaran rakyat Indonesia.
Ia juga memperlihatkan kolaborasi rentas negara yang membanggakan antara Malaysia dan Indonesia dalam bidang seni.
Sinetron Cinta Sepenuh Jiwa bakal menemui penonton hanya di RCTI.
Jangan ketinggalan untuk menyaksikan kisah cinta yang bukan sahaja merobek hati, malah meninggalkan kesan mendalam dengan iringan suara emas Siti Nurhaliza.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

