Konsert penuh jiwa, Bunga Citra Lestari sentuh hati peminat dengan kisah cinta & kehilangan

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis

KONSERT Eternal Love, Timeless Romance yang dipersembahkan oleh penyanyi tersohor Indonesia, Bunga Citra Lestari (BCL) pada Sabtu lalu meninggalkan kenangan penuh emosi buat para penonton.

Bukan sekadar dihiburkan dengan 17 lagu hitsnya, konsert lebih dua jam itu turut membawa audiens menyelami makna cinta, kehilangan dan kekuatan seorang wanita yang bangkit selepas berduka.

Acara dimulakan dengan petikan biola indah daripada Dennis Lau, diikuti persembahan penyanyi undangan Fajar Noor menerusi lagu Menjaga Hati dan Tuhan Tahu Kita Saling Cinta. Suasana semakin meriah apabila penyanyi bertenaga, Jaclyn Victor, menghiburkan penonton dengan lagu Racun, Rentakku dan Gemilang.

Selepas hampir sejam menanti, BCL akhirnya membuka tirai persembahannya dengan lagu Jangan Gila. Turut mencuri perhatian, persembahan duet istimewa bersama Yuna menerusi lagu Watak Utama.

Uniknya, BCL menyelitkan segmen interaktif ala talkshow dengan menjemput dua penonton bertuah berkongsi kisah cinta mereka, sebelum beliau secara spontan menyampaikan lagu yang berkaitan dengan cerita mereka.

Namun, momen paling menyentuh hati adalah ketika BCL mendendangkan lagu Wanita Terbahagia yang didedikasikan kepada arwah suaminya, pelakon Ashraf Sinclair, yang meninggal dunia pada 17 Februari 2020.

“Lagu ini untuk arwah Ashraf. Kehadiran Ashraf dan Noah (anak) menjadikan saya wanita paling bahagia… kehilangan beliau begitu mengejutkan, ketika kami masih banyak perancangan bersama,” luahnya sebak.

BCL turut berkongsi bahawa kehilangan insan tercinta menjadi inspirasi kepada penciptaan lagu 12 Tahun Terindah.

“Ketika melalui fasa itu, saya menulis setiap hari sebagai cara mengubati kesedihan. Pesan saya, hargailah masa bersama insan tersayang kerana kita tidak tahu bila mereka akan pergi,” katanya.

Namun, di sebalik duka, penyanyi berusia 41 tahun itu tidak menafikan kini sudah bersedia membuka lembaran baharu selepas mendirikan rumah tangga dengan Tiko Aryawardhana pada 2 Disember 2023 di Bali, Indonesia.

“Lagu dan video malam ini bukan untuk menangis, tetapi untuk berkongsi perjalanan hidup saya. Suami saya hari ini juga menerima keluarga arwah Ashraf, malah saya kini dianggap anak oleh Ummi (ibu Ashraf),” katanya tersenyum.

Konsert berprestij itu turut menyaksikan BCL mempersembahkan rangkaian lagu popularnya seperti Ingkar, Selalu Ada Di Nadimu, Memulai Kembali, Karena Ku Cinta Kau dan Cinta Sejati, menjadikan malam tersebut sebagai perayaan cinta dan kehidupan yang sukar dilupakan peminat.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Demi masa depan, Kim K ketepikan ego, sanggup beratur panjang uji bakat Suria Records

SEMANGAT kental peserta program realiti Talk To My Manager musim kedua, Kim K dalam mengejar impian sebagai anak seni...

More Articles Like This