Kesihatan yang baik bermula dengan langkah pencegahan, namun realitinya masih ramai rakyat Malaysia hanya bertindak apabila penyakit sudah mula menunjukkan tanda.
Menyedari cabaran ini, FWD Takaful Berhad dan FWD Insurance Berhad tampil dengan inisiatif baharu melalui kerjasama strategik bersama Innoquest Pathology Malaysia. Usaha ini bertujuan memudahkan akses kepada pemeriksaan kesihatan pencegahan serta mendorong masyarakat untuk mengambil pendekatan lebih proaktif dalam menjaga kesihatan.

Ketua Pegawai Eksekutif FWD Takaful Berhad, Aman Chowla, menekankan bahawa usaha ini akan memperkasakan rakyat Malaysia untuk menjadikan pemeriksaan awal sebagai sebahagian daripada rutin hidup mereka. Ia juga selaras dengan visi syarikat untuk menjadikan takaful lebih relevan, peribadi dan bermakna pada setiap peringkat kehidupan.
Bagi FWD, inisiatif ini adalah cara untuk tampil sebagai “rakan kesihatan” sebenar. Bukan sekadar hadir ketika musibah, tetapi sentiasa ada dalam setiap langkah pencegahan.
“Menurut kajian, kurang daripada 30 peratus rakyat Malaysia yang menjalani pemeriksaan kesihatan yang diberikan secara percuma oleh kerajaan. Ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia masih kurang kesedaran akan pentingnya mencegah sebelum merawat.
“Usaha ini bukan sekadar kerjasama biasa, tetapi satu gerakan untuk mengubah cara rakyat Malaysia menjaga kesihatan, daripada menunggu sakit kepada langkah pencegahan awal.
“Malah orang Malaysia suka bertangguh dengan pelbagai alasan seperti takut darah, masih muda, malah ada yang beranggapan ianya ‘bad luck’. Kami menyedari permasalahan ini dan akan cuba membuat penambahbaikan dari semasa ke semasa,” katanya.

Kerjasama ini menjadi sebahagian daripada program FWD HealthyMe, yang dirangka untuk menggabungkan perlindungan insurans dengan diagnostik dan akses klinikal dalam satu pengalaman menyeluruh.
Ia mencerminkan visi baharu FWD untuk tidak sekadar dilihat sebagai penyedia perlindungan kewangan, tetapi juga sebagai rakan kesihatan seumur hidup yang membantu individu membuat keputusan lebih bijak mengenai kesejahteraan diri mereka.
Statistik semasa menunjukkan masih banyak ruang untuk ditambah baik. Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2023, dua daripada lima rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas tidak menjalani sebarang pemeriksaan kesihatan sepanjang tahun lalu.
Walaupun majoriti mereka yang berumur antara 40 hingga 60 tahun mengakui pernah membuat pemeriksaan, hanya dua pertiga melakukannya secara konsisten setiap tahun.
Hal ini menunjukkan bahawa walaupun kesedaran semakin meningkat, masih ramai yang memandang ringan kepentingan pengesanan awal, biarpun mereka mempunyai sejarah keluarga dengan penyakit kronik.

Sebagai rakan strategik, Innoquest membawa kepakaran dalam bidang diagnostik, dengan teknologi ujian ketepatan yang mampu mengesan risiko penyakit bertahun-tahun lebih awal sebelum keadaan menjadi serius.
Ketua Pegawai Eksekutif Innoquest Pathology Malaysia, Adam Hathsey Bronson, menegaskan bahawa pengesanan awal bukan sahaja mampu menyelamatkan nyawa, malah memberi impak besar kepada keluarga, majikan dan sistem penjagaan kesihatan secara keseluruhan.
Dengan rangkaian serantau yang kukuh serta inovasi generasi baharu, Innoquest memastikan teknologi diagnostik ini sampai terus kepada doktor, rakan kongsi dan pesakit di seluruh Asia.
“Kami mahu membawa perkhidmatan lebih mudah diakses walaupun mereka tinggal di kawasan pendalaman. Pemeriksaan ini membantu mereka apa risiko penyakit yang bakal dihadapi dan cara untuk tangani,” tambahnya.

Sebagai permulaan, kerjasama ini diperkenalkan melalui pelancaran HealthIQ, iaitu ujian saringan kesihatan pencegahan pertama seumpamanya di Malaysia yang dibangunkan oleh Nightingale Health dan disediakan oleh Innoquest.
HealthIQ mampu mengesan tanda awal risiko penyakit utama seperti serangan jantung, strok dan diabetes jenis 2. Lebih daripada sekadar laporan perubatan, ia turut memberikan skor risiko penyakit yang membantu individu membuat keputusan kesihatan dengan lebih proaktif.
Pelanggan FWD akan menjadi antara yang terawal menikmati ujian ini pada kadar pengenalan istimewa, sekali gus merasai sendiri pengalaman baharu dalam pengurusan kesihatan pencegahan.
Kerjasama FWD dan Innoquest ini pada dasarnya mahu membawa mesej penting bahawa kesihatan tidak seharusnya menunggu hingga terlambat. Pemeriksaan awal adalah hadiah paling berharga yang kita boleh beri kepada diri sendiri dan orang tersayang. Ia bukan sahaja tentang mengesan penyakit, tetapi tentang membina gaya hidup sihat yang berterusan, diiringi sokongan perlindungan dan pengetahuan yang tepat.
Hakikatnya, pemeriksaan kesihatan bukan lagi pilihan, tetapi satu keperluan. Pengesanan awal memberi peluang untuk hidup lebih lama, lebih sihat dan lebih bermakna. Dengan langkah ini, Malaysia kini berada di landasan yang betul menuju masa depan yang lebih sihat, selangkah demi selangkah.

