BIDUANITA Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, bakal meraikan perjalanan seni selama tiga dekad dalam industri muzik menerusi konsert mega Legacy 30 Siti Nurhaliza pada 10 Januari 2026 di Stadium Nasional Bukit Jali (SNBJ), Kuala Lumpur.
Konsert bersejarah itu menjadi kemuncak sambutan 30 tahun penglibatan Siti dalam dunia seni yang bukan sahaja menandakan dedikasi, cinta dan keikhlasannya terhadap muzik, malah mengangkat warisan seni Malaysia ke persada antarabangsa.
Dengan kapasiti kira-kira 60,000 penonton, SNBJ dipilih sebagai lokasi terbaik untuk menghimpunkan peminat dan pencinta seni dari seluruh negara dan rantau Asia.
Penganjur, SN Legacy Sdn Bhd, berkata, penganjuran di stadium ikonik itu bukan bertujuan memecah rekod 70,000 penonton Konsert Fantasia Tour 2004, sebaliknya sebagai perancangan teliti bagi memberikan pengalaman konsert yang selesa, epik dan penuh makna kepada semua peminat.
“Legacy 30 bukan sekadar konsert, tetapi sebuah simbol perjalanan, pengorbanan dan kejayaan seni saya sepanjang 30 tahun.
“Saya mahu peminat yang selama ini menyokong dapat bersama-sama meraikan detik istimewa ini serta menyelami semula karya-karya yang telah menjadi sebahagian daripada kenangan dan sejarah karier saya,” kata Siti.
Penyanyi Menamakanmu Cinta yang sudah merakamkan lebih 20 album itu berkata, penganjuran konsert ini berlangsung bertepatan dengan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Momentum itu diharap dapat menarik kehadiran peminat dari pelbagai negara ke Malaysia, menikmati keindahan muzik, seni dan budaya tempatan sekali gus menyokong usaha mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan budaya dan hiburan bertaraf dunia.
Pra-jualan eksklusif dibuka hari ini jam 12 tengah hari hingga Jumaat jam 12 tengah hari.
Jualan tiket kepada orang ramai pula bermula Jumaat jam 3 petang menerusi platform ticket2u.
Harga tiket ditawarkan bermula dari RM69 hingga RM1,599 dengan pelbagai kategori tempat duduk.
Konsert Legacy 30 bukan sahaja menjadi persembahan bersejarah Siti dalam dekad ini tetapi juga manifestasi rasa syukur dan cinta kepada peminat yang telah menjadi tulang belakang sepanjang perjalanan kariernya.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

