BAKI sembilan orang delegasi Malaysia yang berada di dalam kapal Free Willy, Fair Lady dan Estrella dilaporkan belum dipintas tentera rejim zionis dan meneruskan pelayaran ke Gaza.
Perkara itu dinyatakan Sumud Nusantara Command Center (SNCC) menerusi kenyataan setakat pukul 11.30 pagi ini.
Menurut SNCC, tiga rakyat Malaysia yang menyertai Global Sumud Flotilla (GSF) berada di dalam kapal Free Willy iaitu Muhd Haikal Luqman Zulkefli, Muhammad Hareez Adzrami atau Haroqs dan Taufiq Mohd Razif.
Di kapal Estrella pula, empat sukarelawan Malaysia berada di dalamnya iaitu Rahmat Ikhsan Mohd Sofyan (PU Rahmat), Norhelmi Ab Ghani, Norazman Ishak dan Mohd Asmawi Mukhtar.
Sementara itu dua lagi rakyat Malaysia berada dalam kapal Fair Lady iaitu Muhammad Abdullah (Ustaz Muhammad Kechik) dan Zainal Rashid Ahmad (ZRA).
Ketua Pengarah SNCC, Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, dua orang delegasi Malaysia yang berada di kapal Mikeno dan Inana tidak dapat dihubungi sejak serangan berlaku.
Katanya, mereka adalah Nurul Hidayah Mohd Amin (Ardell Aryana) dan Razali Awan.
“Kita menerima laporan kecemasan SOS dari delegasi Malaysia atas kapal bahawa terdapat anggaran 10 buah kapal tentera rejim Israel.
“Intimidasi pertama berlaku pada pukul 1.20 pagi waktu Malaysia ke atas kapal Alma dan Sirius. Kedudukan ketika intimidasi adalah di perairan antarabangsa (80 batu nautika dari Gaza),” katanya.
Jelas beliau, berlaku provokasi tentera rejim dengan menggunakan water cannon serta mengganggu dan menyekat semua akses komunikasi termasuk CCTV dan siaran radio.
“Pihak tentera rejim Israel telah mengarahkan kapal menukar laluan dari Gaza mengikut arahan radio ke lokasi yang belum disahkan. SNCC mengesahkan tiada laporan bunyi tembakan dan menafikan spekulasi delegasi Malaysia yang diseksa,” tambahnya.

