PENDARAHAN dalaman di otot pinggul kanan atau exsanguination from psoas muscle tear didapati menjadi punca seorang pelajar lelaki Tingkatan Empat meninggal dunia ketika menyertai Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Peringkat Kebangsaan 2025 di Ipoh, semalam.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad memaklumkan, keputusan itu adalah berdasarkan bedah siasat ke atas mayat Muhammad Fauzan Mohd Sulaiman, 16, yang meninggal dunia secara mengejut.
Beliau berkata, bedah siasat ke atas pelajar Sekolah Menengah Sains (SMS) Johor itu dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.
Menurut Abang Zainal Abidin, ketika kejadian, mangsa dilaporkan rebah secara tiba-tiba di hadapan khemah kira-kira pukul 10.30 pagi ketika hendak memasuki padang untuk meneruskan separuh masa kedua dalam perlawanan menentang pasukan SMS Rembau.
“Hasil temu bual awal bersama guru pengiring mendapati mangsa tidak menunjukkan sebarang tanda sakit atau keletihan semasa bermain pada separuh masa pertama perlawanan tersebut.
“Pegawai perubatan yang bertugas di lokasi kejadian segera memberi rawatan awal selepas mendapati mangsa mengalami kekejangan otot dan disyaki terkena sawan.
“Bantuan pernafasan (CPR) turut diberikan selepas nadi mangsa dikesan berada dalam keadaan lemah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel lain: Murid meninggal dunia mengejut, KPM batal kejohanan ragbi
Mengulas lanjut, Abang Zainal Abidin berkata, mangsa kemudian dibawa ke HRPB untuk rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 11.18 pagi.
Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) dan tiada unsur jenayah dikesan dalam kejadian itu.
Terdahulu, Kementerian Pendidikan (KPM) membatalkan Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan SBP Peringkat Kebangsaan itu selepas seorang murid yang menyertai kejohanan itu meninggal dunia secara mengejut, semalam.
KPM dalam kenyataan memaklumkan, kejohanan yang sepatutnya berlangsung sehingga esok itu dibatalkan bagi menghormati pemergian murid berkenaan.
Sehubungan itu, katanya, kejohanan berkenaan akan dijadualkan semula pada tarikh baharu kelak.
Pada masa sama, KPM turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Muhammad Fauzan Mohd Sulaiman, 16, yang meninggal dunia secara mengejut sewaktu perlawanan ragbi.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

