TURKIYE dan Jordan adalah antara negara yang telah memberikan jaminan untuk membantu Malaysia membawa pulang 23 sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan rejim zionis Israel.
Pada masa sama, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan, negara-negara ASEAN turut memberikan bantuan konsular kepada rakyat Malaysia yang telah ditahan itu.
Menurut Mohamad, beliau sendiri telah berhubung dengan rakan sejawatnya dari Jordan dan Mesir mengenai isu itu selain Timbalan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) semasa beliau berada di New York, sebelum ini.
“Malaysia tiada kedutaan di Israel kerana tidak mempunyai hubungan diplomatik. Vietnam selaku negara yang ada kedutaan di sana menjadi Pengerusi kepada negara-negara ASEAN di Israel.
“Kita telah minta supaya negara-negara ASEAN memberikan bantuan konsular kepada rakyat kita yang ditahan.
“Menteri Luar Jordan, Jordan Ayman Safadi telah memberikan jaminan yang mana beliau mengarahkan Kementerian Luar dan agensi lain Jordan untuk membantu rakyat Malaysia seperti mana rakyat Jordan yang ditahan.
“Turkiye juga memberi jaminan untuk membantu rakyat Malaysia sebaik mungkin, jadi kita banyak rakan, ini baiknya kita sebagai sebuah negara yang bersahabat dengan banyak negara,” katanya dalam sidang media hari ini.
Baca artikel lain: Aktivis Global Sumud Flotilla dipaksa melutut lima jam, tangan diikat zip tie
Mengulas lanjut, Mohamad memaklumkan, kerajaan mempunyai beberapa pilihan dan saluran untuk membawa pulang 23 aktivis Malaysia itu.
Sebelum ini, katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah menelefon Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan yang berjanji untuk membawa pulang melalui Istanbul atau Ankara.
Selain itu, Mohamad berkata, semua pihak termasuk Kedutaan Besar Malaysia di Jordan, Turkiye dan Mesir turut bersedia menantikan tempoh sukarelawan Malaysia itu dibawa keluar.
“Jika mereka keluar dari Jordan, kita ada dua tiga pintu, tetapi yang paling senang ialah melalui pintu King Hussein.
“Kalau daripada sana nanti, kita bawa balik mereka dari Amman balik ke Doha dan terus ke Kuala Lumpur atau dari Amman terus ke Kuala Lumpur,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

