PENYANYI Syamel sekali lagi mencuri perhatian apabila muncul dengan karya terbaharu berjudul Beribu Tanda Tanya, lagu yang sarat dengan emosi, persoalan dan luahan hati tentang rasa tidak pasti dalam sebuah hubungan.
Menariknya, single ini bukan sekadar istimewa dari segi melodi dan lirik, malah keseluruhan proses rakamannya dilakukan di Voltalab Sound Studio, Manchester, United Kingdom, di bawah bimbingan komposer ternama Edry Abdul Halim yang juga bertindak sebagai penulis lirik, komposer dan penerbit lagu ini.
“Lagu ini boleh dikatakan antara karya paling ‘mahal’ pernah saya hasilkan. Semua proses dari rakaman hingga ke pembikinan visualizer dilakukan sepenuhnya di Manchester.
“Malah, studio ini pernah digunakan oleh kumpulan legenda UK seperti Oasis, jadi saya rasa sangat dihormati dapat rakam lagu di sana,” kata Syamel.
Menurutnya, Beribu Tanda Tanya mengangkat tema keresahan hati yang sering menghantui seseorang apabila berdepan persoalan yang tidak pernah terjawab.
“Lagu ini tentang seseorang yang banyak persoalan dalam hati dan fikiran.
“Dia meluahkan semuanya melalui nyanyian, penuh dengan harapan, kesedihan dan tanda tanya yang tidak berpenghujung,” jelasnya.
Projek ini merupakan hasil kerjasama antara Universal Music Malaysia dan Alternate Records, sekali gus menandakan satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan karier Syamel.
Lebih menarik, Beribu Tanda Tanya turut diangkat sebagai lagu tema (OST) bagi drama bersiri terbaru Doa Yang Terlindung, yang bakal ditayangkan di saluran Media Prima tidak lama lagi.
Drama tersebut dijangka menyentuh hati penonton dengan jalan cerita penuh konflik emosi dan kasih sayang.
Berkongsi harapan terhadap lagu tersebut, Syamel mahu karyanya kali ini menjadi lagu yang kekal relevan dan ‘evergreen’ buat peminat muzik tanah air.
“Saya harap lagu ini bukan sekadar sedap didengar, tetapi juga memberi makna kepada pendengar.
“Kadang-kadang, lebih baik kita bertanya daripada terus berdiam diri.
“Semoga lagu ini hidup lama dan terus dekat di hati peminat saya,” ujarnya menutup bicara.
Dengan vokal yang matang dan penyampaian penuh jiwa, Beribu Tanda Tanya sekali lagi membuktikan kemampuan Syamel sebagai salah seorang penyanyi lelaki terbaik tanah air.
Lagu ini kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital utama.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

